Tiga spesies tersebut ialah dua spesies marin iaitu Tachypleus gigas dan T. tridentatussementara satu spesies bakau iaitu Carcinoscorpius rotundicauda.

Satu-satunya spesies yang tiada di perairan Malaysia ialah spesies Atlantik iaitu Limulus polyphemus yang telah lama digunakan dengan giatnya dalam bidang farmaseutikal dan perubatan di Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, populasi dan bilangan belangkas semakin berkurangan bukan sahaja di Malaysia juga pada peringkat antarabangsa.

Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dari Kumpulan penyelidikan belangkas (HCRG) berjaya menghasilkan produk berasaskan darah belangkas yang telah dipatenkan pada tahun 2015.

Produk yang dikenali sebagai Kit TAL adalah sedia untuk dikomersialkan. Walau bagaimanapun, masalah yang paling meruncing adalah bekalan belangkas yang mungkin tidak mencukupi untuk penghasilan produk tersebut.

Sehubungan itu, Setiu yang pernah menjadi habitat semula jadi belangkas serta termasuk dalam kawasan yang digazetkan sebagai Terengganu State Park (Taman Negeri Terengganu) telah dipilih sebagai tapak konservasi dan juga sumber haiwan bagi tujuan penghasilan Kit TAL.

Pelaksanaan projek tersebut membawa beberapa kepentingan seperti membuka peluang pekerjaan kepada komuniti melalui bekalan belangkas dan penyediaan sangkar untuk kegunaan projek, potensi produk ekopelancongan menerusi aktiviti-aktiviti pemuliharaan termasuk kem kesedaran, pelepasan dan lain-lain.

Tiga kampung di Mukim Pantai, daerah Setiu telah dipilih untuk projek ini dijalankan iaitu Kg. Gong Batu, Kg. Fikri dan Kg. Mangkuk. Projek dimulakan dengan 10 orang peserta rintis di setiap kampung.

Berdasarkan laporan Fasa 1, projek tersebut mempunyai potensi untuk meningkatkan populasi belangkas di perairan Setiu menerusi kerjasama dengan komuniti setempat

Dalam aspek ekologi dan pemuliharaan, manfaat secara langsung kepada komuniti adalah dengan meningkatkan pendapatan sampingan kepada masyarakat setempat, pembuka peluang pekerjaan kepada komuniti dan meningkatkan tarikan pelancongan.

Fasa tersebut yang dilaksanakan sepanjang tempoh antara April hingga Julai tahun lalu memilih komuniti setempat seramai 10 orang dari Kampong Gong Batu, Setiu untuk menyertai program rintis mengenali belangkas, menjaga dan memulihara habitat belangkas di Setiu.

Beberapa siri perjumpaan dengan komuniti telah dijalankan dalam proses pengenalan projek bagi memahami dan menghayati secara mendalam kepentingan projek kepada komuniti.

Justeru sepanjang Julai tahun lalu hingga Mac tahun ini pelepasan pertama sebanyak 99 ekor (31 jantan dan 68 betina) telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan pada satu majlis pelancaran projek pada 23 Julai, tahun lalu di pekarangan jeti Kampung Gong Batu, Setiu.

Program tersebut turut dihadiri Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.

Ia diikuti empat pelepasan seterusnya di kawasan sekitar Setiu melibatkan 647 ekor belangkas yang disertai nelayan rintis projek dan juga orang awam. Sebanyak 40 ekor turut dilepaskan di kawasan lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Penangkapan semula belangkas untuk projek rintis pertama telah dilakukan di Kg. Gong Batu, Setiu pada 23 Ogos tahun lalu, iaitu sebulan selepas pelepasan pertama.

Seramai lima nelayan rintis menerima hasil pertama jualan belangkas pada hari tersebut sebagai hasil projek translasional ini.

Pemuliharaan belangkas kini sedang dilaksanakan bersama dengan komuniti setempat untuk meningkatkan populasi belangkas yang akan memberi manfaat pemuliharaan dan juga sebagai bagi penghasilan Kit TAL.

Pembangunan pusat pemindahan ilmu dan pemprosesan

Mengikut cadangan, pusat ini akan dibangunkan mengikut spesifikasi yang dipersetujui terdiri daripada sebuah kabin (pasang siap), sebuah makmal kering dan basah, sebuah pusat penetasan dan tangki penyimpanan air masin bersama alatan-alatan yang sesuai untuk kefungsian secara maksimum.

Pelaksanaan atau pembangunan infrastruktur projek berkenaan dijangka melonjakkan lagi hasrat supaya matlamat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pelaksanaan projek ini melibatkan pembinaan sangkar, pengumpulan belangkas, pembelian stok belangkas pelbagai spesies dari Kuala Kemaman, dan pembelian semula belangkas dari Setiu.

Seterusnya ia telah memberi sumber pendapatan sampingan kepada beberapa pihak yang terlibat, terutama komuniti nelayan tempatan.

Komuniti nelayan di Terengganu telah mendapat pendapatan sampingan daripada Projek Translasional ini mengikut aktiviti-aktiviti yang melibatkan belangkas.

Fasa pertama projek ini telah berjalan mengikut perancangan awal. Peningkatan kejayaan untuk objektif satu dan dua projek berkenaan bergantung sepenuhnya kepada kejayaan pembinaan pusat penetasan air masin untuk penetasan belangkas juvenll dan penyediaan holding facilities untuk pengekstrakan darah belangkas yang kini di dalam proses pembangunan.

Dalam pada itu, kem kesedaran belangkas dicadangkan dijalankan di 13 buah sekolah di Mukim Pantai, daerah Setiu. Kem tersebut ini telah pun dilaksanakan di dua buah sekolah rendah disertai pelajar-pelajar Sek. Keb. Kg. Fikri (Pantai) dan Sek. Keb. Kuala Setiu.

Kem tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang belangkas dalam kalangan guru dan pelajar yang merupakan pewaris Setiu pada masa akan datang.

Pelajar telah didedahkan dengan berbagai aktiviti dalam modul yang telah disediakan terutama peluang mengenali belangkas dengan menyentuh dan memerhati sendiri belangkas hidup yang dibekalkan.