Bagi menyelesaikan masalah tersebut, dua pensyarah kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Noraznawati Ismail dan Dr. Mariam Taib menghasilkan kit pengesan endotoksin daripada ekstrak darah belangkas dikenali sebagai TAL Kit. Menurut Dr. Noraznawati, ekstrak daripada darah belangkas yang dikenali sebagai AL (amoebocyte lysate) merupakan sebatian yang begitu sensitif terhadap bakteria gram negatif.

Jelasnya, ketepatan ekstrak tersebut mengesan bakteria gram negatif sehingga tahap 10 setiap gram (g).

“Kegunaan kit ini adalah bagi mengesan bakteria gram negatif dalam peralatan dan ubat-ubatan dalam bidang perubatan, keaslian ubat dan juga diagnosis klinikal.

“Ekstrak AL diambil daripada darah belangkas yang berasal dari negara ini iaitu spesies tachypleis gigas,” katanya ketika di temui di ibu negara baru-baru ini.

Tambah Dr. Noraznawati, sumber AL daripada belangkas merupakan alternatif yang lebih murah berbanding kit LAL (limulus AL) yang terdapat di pasaran kini.

LAL perlu diimport dari Amerika Syarikat (AS) menjadikan bahan tersebut mahal. Sebagai contok LAL kit komersial yang dikeluarkan Lonza, AS memerlukan kos RM14 untuk setiap ujian dan RM4, 240 bagi 300 ujian.

Jika keluaran GenScript juga di AS memerlukan kos sebanyak RM35 untuk setiap satu ujian dan RM1140 untuk 32 ujian.

Berbanding LAL Kit, TAL Kit hanya memerlukan kos sebanyak RM10 untuk satu-satu ujian selain amat sensitif iaitu sekitar 0.005 hingga 0.5 EU/milimeter (ml). Selain itu, teknik pengambilan darah juga tidak memberi kesan kepada belangkas dan haiwan tersebut dilepaskan semula setelah proses itu selesai.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan TAL Kit tersebut, terdapat resipinya yang tersendiri dan bahan utama yang menjadikan TAL Kit mampu menyaingi LAL Kit daripada luar negara adalah keberadaan BoG-pNA di dalamnya.

Bahan tersebut ditemui oleh rakan kongsi Dr. Noraznawati iaitu Dr. Mariam.

Jelas Dr. Mariam, BoG-pNA merupakan sejenis bahan kimia kromofor atau substrat kromogenik yang dihasilkan sebagai pelengkap bagi TAL-Kit.

“Tindak balas kimia antara enzim khas yang dihasilkan oleh bakteria dan lysate (ekstrak daripada belangkas) serta BoG-pNA akan menyebabkan berlakunya perubahan warna sampel.

“Perubahan warna sampel daripada jernih kepada putih kekuningan merupakan tanda kehadiran bakteria endotoksin,” katanya.

Berbanding bahan kimia kromofor yang berada di pasaran, BoG-pNA lebih berkesan dan murah.

Hal demikian kerana kajian yang dilakukan hanya menggunakan gabungan sejenis asid amino dan p-nitroanilin berbanding produk lain yang menggunakan lebih daripada satu asid amino.

BoG-pNA juga mampu mengesan kehadiran bakteria endotoksin pada kepekatan yang lebih rendah iaitu sekitar 0.03 EU/ml hingga 1 EU/ml dalam jangka masa kurang daripada 15 minit.

Kebolehupayaan BoG-pNA juga jauh lebih baik berbanding beberapa produk komersial kromogenik substrat lain yang juga lebih mahal.

Produk itu juga membolehkan TAL-Kit menganalisis peralatan perubatan, ubat-ubatan dan makanan daripada sebarang pencemaran endotoksin.

Dihasilkan sejak 2015, BoG-pNA hanya akan berfungsi dengan kehadiran AL yang diekstrak daripada darah belangkas. Menerusi kit tersebut kini pasukan perubatan dapat mengesan kehadiran bakteria gram negatif seperti Escherichia coli (E. coli) dan Salmonella typhimurium. Kedua-dua bakteria tersebut amat popular di negara ini yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami penyakit cirit-birit dan demam kepialu. Kini, TAL-Kit dalam proses ujian validasi dan di bawah pemantauan serius sebelum dikomersialkan.