Tahukah anda, jumlah sisa makanan itu sebenarnya boleh menampung makanan untuk 10 juta orang sebanyak tiga kali sehari? Menjelang tahun 2020, sisa makanan yang dihasilkan di Semenanjung Malaysia sahaja mampu mengisi hampir 16 buah Menara Berkembar Petronas.

Jumlah tersebut sebenarnya sangat membimbangkan kerana semakin banyak sisa makanan dibuang, maka kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang semakin tinggi untuk menguruskannya.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga terpaksa berbelanja lebih banyak untuk menghasilkan makanan atau mengimport makanan, dan sebagai pengguna, membuang makanan bermakna kita telah membuang duit kita.

Oleh itu, sebuah inisiatif di bawah naungan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, (FAO) yang bukan hanya sekadar kempen, bahkan diharap dapat menjadi program yang mampu mengubah dan mendidik masyarakat telah dilaksanakan iaitu Save Food Campaign

Inisiatif ini telah dilaksanakan di perigkat global sejak tahun 2011, kini terdapat lebih 350 organisasi di lebih 50 buah negara yang sudah bersama-sama berganding bahu menjayakannya, manakala Save Food Campaign Malaysia (My Save Food) pula bermula pada tahun 2015.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi agensinya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula menjadi koordinator untuk kempen tersebut di negara ini.

Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa Pusat Komunikasi Korporat dan Kualiti MARDI, Dr. Ainu Husna M. S. Suhaimi berkata, kepentingan inisiatif ini adalah untuk mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan.

“Kehilangan dan pembaziran ini merangkumi apa-apa sahaja makanan yang hilang dari ladang, kemudian kedai, rumah dan termasuklah makanan yang dimasak dan dibuang. Pihak yang terlibat pula termasuklah kesemuanya bermula dari petani, pembekal, peniaga sehingga pengguna.

“Oleh itu, kami telah menyasarkan keseluruhan rantaian makanan bermula di ladang hingga ke isi rumah yang merupakan pengguna untuk sama-sama memainkan peranan agar dapat mengawal kesan yang lebih buruk akibat daripada kehilangan dan pembaziran makanan,” katanya letika ditemui di ibu pejabat MARDI, Serdang baru-baru ini.

Jelasnya, statistik dunia menunjukkan berlaku pembaziran sehingga mencecah 1.3 bilion tan metrik setahun, tetapi senario pembaziran dan kehilangan makanan itu berbeza-beza mengikut negara.

Misalnya, di negara membangun berlaku banyak kehilangan makanan disebabkan kekurangan teknologi yang digunakan dalam proses penghasilan makanan, memungut hasil, pembungkusan, pengedaran dan sebagainya, manakala di negara maju pula berlaku banyak pembaziran.

“Di Malaysia, kedua-dua senario terjadi apabila makanan seperti padi hilang daripada ladang sebanyak 28.5 peratus iaitu bersamaan RM918 juta setahun pada tahun 1985. Namun begitu, setelah teknologi diperbaiki dan beberapa pendekatan diambil, jumlah tersebut telah berkurang kepada RM380 juta pada tahun 2015.

“Justeru, kami di MARDI sangat prihatin dan telah melakukan banyak penyelidikan dan membangunkan teknologi untuk mengurangkan masalah kehilangan makanan terutama yang berasaskan padi.

“Menerusi kempen ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kehilangan dan pembaziran makanan dengan adanya jaringan MY Save Food Ini,” katanya.

Umum sedia maklum bahawa kesan daripada masalah kehilangan dan pembaziran makanan bukan sahaja boleh menjejaskan jaminan bekalan makanan, malah ia juga boleh membawa pelbagai kesan lain.

Menurut Dr. Ainu Husna, antara kesan lain yang diperoleh akibat masalah tersebut ialah pembaziran sumber seperti tanah, buruh, air dan tenaga.

“Bukan itu sahaja, ia juga akan menjadi punca kepada pengeluaran gas rumah hijau tertinggi di seluruh dunia dan dalam masa yang sama menyebabkan peningkatan kos hidup serta kekurangan makanan pada masa hadapan.

“Jadi pelbagai langkah dan cara untuk mengatasi masalah tersebut perlu ditangani oleh semua pihak terutama individu demi memastikan ia tidak berada di tahap membimbangkan.

“Misalnya, dengan mengurangkan kehilangan lepas tuai di ladang menerusi pembangunan teknologi lepas tuai dan peningkatan kesedaran petani mengenai kehilangan makanan, ia dapat membantu mengatasi masalah kehilangan makanan.

“Dalam pada itu, setiap individu juga harus mengurangkan pembaziran di pejabat dan mengurangkan pembaziran di rumah dengan merancang perbelanjaan, semak tarikh luput dan gunakan lebihan makanan untuk dijadikan menu kreatif baharu,” jelasnya.

Menerusi kempen ini, pelbagai aktiviti telah dirancang dan dilaksanakan bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk sama-sama menyertai dan menjayakan hasrat murni tersebut.

Sebagaimana pada Oktober tahun lalu, bengkel Establishment of Malaysia Save Food Network Workshorp telah disertai kira-kira 60 orang wakil dari pelbagai kementerian, agensi kerajaan, majlis perbandaran dan sektor swasta untuk sama-sama membincangkan mengenai kehilangan dan pembaziran makanan.

Sementara itu, pada bulan lepas, satu pelancaran di peringkat kebangsaan telah diadakan semasa pembukaan Persidangan FAO Rantau Asia Pasifik di Putrajaya yang memberi tumpuan kepada peluang dan cabaran di rantau asia selain keutamaan dalam bidang pekerjaan untuk meningkatkan keselamatan makanan, produktiviti pertanian, taraf hidup dan populasi luar bandar yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih mampan.

Kemudian, pada bulan April ini akan diadakan sebuah forum Save Food Malaysia bagi membincangkan inisiatif untuk mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan di negara ini selain penyebaran bahan kesedaran kepada orang awam menerusi media sosial, penambahan keahlian dan aktiviti jaringan My Save Food.