Untuk tujuan tersebut, negara perlu berubah daripada sebuah negara pengguna kepada sebuah negara pengeluar agar ekonomi dapat berkembang dengan lebih cepat.

Menjadi sebuah negara pengeluar bukanlah mudah kerana Malaysia memerlukan produk-produk yang berdaya saing serta dapat memenuhi kehendak masyarakat dunia masakini.

Justeru, penciptaan produk serta teknologi baharu merupakan antara tumpuan yang diberikan oleh kerajaan buat masa ini.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, kerajaan kini sedang berusaha gigih untuk merubah Malaysia ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Jelasnya, demi mencapai misi tersebut bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) merupakan antara faktor penting dalam memastikan usaha tersebut berjaya dilaksanakan.

“Dijangkakan menjelang tahun 2020 rakyat negara ini akan menjadi lebih kreatif dan inovatif tidak hanya kepada pengguna teknologi malah mereka yang menyumbang kepada kemajuan teknologi dan inovasi kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran Bazar Inovasi dan Forum bertajuk Pasaran Dinamik Untuk Usahawan Inovatif dan Idea Kreatif di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia (SME Corp), Saifol Bahri Shamlan dan Presiden Persatuan Kreatif dan Inovasi Malaysia (Macri), Datuk Shaik Sulaiman Ismail.

Idea serta penghasilan produk-produk baharu yang lebih inovatif dan kreatif terus mendapat perhatian MOSTI, justeru pelbagai program dan aktiviti sedang galak dilaksanakan selain turut menyokong mana-mana agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergiat aktif mengetengahkan inovasi akar umbi di negara ini.

Terbaharu, Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (Macri) dengan kerjasama MOSTI serta agensi-agensi di bawahnya akan menganjurkan program Bazar Inovasi dan Forum bertajuk Pasaran Dinamik Untuk Usahawan Inovatif dan Idea Kreatif.

Bazar Inovasi diadakan adalah bagi memenuhi hasrat kerajaan dalam membangunkan budaya inovasi serta mengembangkan produk-produk inovasi tersebut.

Selain itu, program tersebut bertujuan untuk mempromosi kreativiti dan inovasi menerusi bengkel, latihan dan program-program lain berunsurkan ilmu pengetahuan.

Seterusnya mencipta lebih banyak landasan dan kawasan untuk para pereka untuk memapar dan mendedahkan idea-idea mereka serta membantu mereka untuk mengetengahkan idea sehingga ke tahap memasarkan produk inovasi yang dihasilkan.

Diadakan di bangunan Platinum Sentral Kuala Lumpur (Platinum Sentral KL) bazar tersebut bakal diadakan pada setiap bulan dan jika mendapat sambutan program tersebut akan dilaksanakan dengan lebih kerap sehingga setiap minggu.

Jelas Dr. Abu Bakar, pereka cipta tempatan sukar mengetengahkan produk inovasi mereka kerana tidak memiliki platform sesuai justeru program Bazar Inovasi yang akan dilaksanakan merupakan antara platform yang perlu dimanfaatkan sepenunhya oleh masyarakat.

“Bazar Inovasi ini adalah yang pertama diperkenal dan dijangka menjadi platform kepada pengeluar produk inovasi mendapatkan maklumat lebih lanjut untuk mendapatkan geran bawah MOSTI serta mengkomersialkan produk mereka,” katanya.

Pelbagai aktiviti juga sedang dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang program tersebut seperti bengkel dan forum, penciptaan jaringan pemasaran, pelbagai pertandingan, jualan serta demo inovasi dan pelancaran.

Bakal bermula Jun ini, Bazar Inovasi buat kali pertamanya akan diadakan sebulan sekali bazar tersebut berkonsepkan kreativiti, dinamik dan pelbagai platform buat masyarakat pereka cipta.

Penganjur turut membawakan konsep bazar secara terbuka untuk menarik minat lebih ramai orang untuk melawatinya dan dikendalikan oleh golongan muda dari NGO, kolej-kolej serta universiti seluruh negara.

Antara sasaran pengunjung bazar tersebut adalah pereka cipta dan pencipta dari institusi pengajian tinggi (IPT), organisasi belia, usahawan kecil sederhana (SME) dan usahawan mikro dengan rekaan yang kreatif dan berinovasi.

Sementara itu, MOSTI sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab sentiasa komited untuk mewujudkan produk berinovasi negara yang berimpak tinggi.

Hal demikian diakui Dr. Abu Bakar dengan menawarkan pemberian geran bernilai RM290 juta tahun ini kepada mereka yang layak.

Kementerian berkenaan menyasarkan untuk meluluskan sekurang-kurangnya RM270 juta daripada keseluruhan dana bagi melaksanakan hampir 200 projek menjelang akhir tahun.

“MOSTI menyasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi menjelang 2020 sebagai usaha merancakkan aktiviti pengkomersialan produk berinovasi di negara ini.

“Kami yakin sasaran berkenaan mampu direalisasikan menerusi pelancaran Bazar Inovasi yang akan mengetengahkan produk inovatif tempatan ke pengetahuan umum, sekali gus menyediakan platform kepada pengusahanya untuk mempromosikan produk mereka.

“Bagi tahun ini saja, sebanyak 12 produk yang dihasilkan menerusi geran yang disediakan MOSTI sudah dikenal pasti mencapai standard tinggi dan berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya.

Tambah Dr. Abu Bakar, menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10, MOSTI memperuntuk masing-masing dana sejumlah RM2.89 bilion dan RM906 juta bagi menjalankan aktiviti memacu dan membangunkan aktiviti penyelidikan, pembangunan serta pengkomersialan di negara ini.