Dr. Azizi yang juga penyelidik di Pusat Kecemerlangan Bagi Teknologi Sensor Termaju (CEASTech) USM berkata, penggunaan teknologi moden untuk tujuan penyelidikan dapat membantu mengetahui maklumat kelulut berkenaan bagi menghasilkan madu yang berkualiti.

“Kajian perlu dilakukan bukan sahaja untuk memaksimumkan pengeluaran madu malah untuk menghasilkan kualiti yang terbaik.

“Kami menggunakan alat penderia (sensor) tanpa wayar untuk tujuan tersebut di ladang ini dan merekodkan segala maklumat yang boleh diperoleh daripadanya.

“Alat ini akan diletakkan di sarang kelulut di sini untuk tujuan penyelidikan,” katanya.

Jelasnya, aspek suhu, kelembapan, dan pencahayaan perlu diberi perhatian kerana dapat mempengaruhi kelulut untuk menghasilkan madunya.

Katanya, sekiranya berlaku ketidakseimbangan, kualiti dan kuantiti madu tidak dapat menepati tahap piawaian yang dimahukan.

“Kajian terhadap setiap koloni kelulut juga dapat mengesan aspek yang perlu diberi perhatian daripada mengelakkan kelulut daripada meninggalkan sarang.

“Pemetaan juga akan dibuat untuk mengenal pasti di manakah lokasi paling sesuai untuk meletakkan koloni sarang kelulut berkenaan, “ ujarnya.

Sementara itu, perunding produk Bayu Kelulut, Dr. Md. Azman Seeni berkata, kandungan antioksidan dalam madu kelulut lebih tinggi berbanding madu lebah biasa dan itu menjadikannya lebih baik untuk mencegah sesuatu penyakit.

Tambahnya, komposisi komponen flavonoid dan finolik juga tinggi berbanding dalam madu kelulut tersebut.

“Ini baik (untuk membantu merawat) penyakit kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang, masalah jantung serta kanser,” katanya.

Selain itu, kelulut juga menghasilkan propolis yang mempunyai bahan imun untuk melindungi madu di dalam sarangnya.

Jelasnya, propolis boleh diibaratkan sebagai kulit buah yang melindungi isinya, propolis merupakan agen yang mampu merencatkan tahap bahaya toksid.

Beliau yang menegaskan aspek pencegahan lebih baik daripada pengubatan berkata, syarat untuk mendapat hasil yang terbaik adalah dengan mengamalkan pengambilan madu kelulut secara berterusan.

“Tidak boleh berhenti dan tukar dengan benda lain, kena istiqamah, kena berterusan pengambilannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, perlu ada usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung amalan mengambil madu kelulut dalam kehidupan seharian.

Katanya, usaha Bayu Kelulut dalam mengadakan inovasi melalui penghasilan kek dan coklat adalah kaedah terbaik untuk mendekatkan masyarakat dengan madu kelulut selain bergantung kepada produk madu semata-mata.

Kerjasama pakar

Khasiat madu dalam menyembuh dan mencegah sesuatu penyakit sebenarnya sudah tidak asing lagi dalam kehidupan manusia, penggunaanya telah diamalkan sejak ribuan tahun dahulu.

Malah di dalam al-Quran, khasiat madu turut disentuh sehingga Allah berfirman dalam ayat 68 hingga 69 surah An-Nahl yang bermaksud;

“Tuhanmu yang menjadikanmu dan yang mengetahui keistimewaan dan susunan tubuhmu, zahir dan batinmu, mewahyukan kepada lebah: buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon dan di tempat-tempat yang di buat oleh manusia, kemudian makanlah dari tiap-tiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah memudahkan (bagimu).

Dari perut lebah itu, keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamnya terdapat ubat yang boleh menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda (kebesaran tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan”

Menyedari khasiat tersebut, syarikat pengusaha madu kelulut yang beroperasi di utara tanah air, Bayu Kelulut telah mengorak langkah untuk terus mengkomersialkan amalan tersebut.

Bertapak di kawasan seluas empat ekar (1.6 hektar) di ladang yang dikenali Bayu Kelulut Smart Digital Farm di Guar Batu Hitam Kodiang, Kedah, syarikat tersebut berusaha untuk menghasilkan madu kelulut berkualiti tinggi.

Ladang penternakan yang sehingga kini mempunyai 110 sarang itu menternak kelulut spesies Trigona itama dan Trigona torasica mampu menghasilkan purata 70 kilogram (kg) sebulan.

Biarpun baru diasaskan pada Mei tahun lepas, Bayu Kelulut tidak bimbang untuk bersaing dalam industri pengeluaran madu kelulut yang mula popular di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayu Kelulut, Hisham Yusoff berkata, syarikatnya mempunyai kekuatan tersendiri dengan menawarkan madu kelulut asli yang berkualiti tinggi dan mengikut prosedur pengeluaran piawaian terbaik.

Beliau berkata, Bayu Kelulut yang mendapat bimbingan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengamalkan prosedur amalan ketat dalam memastikan pengeluaran madu berkualiti tinggi dapat dihasilkan untuk dipasarkan kepada pengguna.

“Sampel madu pada setiap kutipan akan dihantar ke Kedah BioResources Corporation Sdn. Bhd. (KBioCORP) untuk dianalisis bagi memastikan kualiti madu yang dihasilkan pada tahap terbaik.

“Langkah ini dijalankan untuk mengukur tahap keaslian madu kelulut, mengesan kehadiran bendasing dan mikroorganisma, serta menguji kehadiran logam berat seperti plumbum dan arsenik dalam madu berkenaan.

“Analisis tersebut bukan sahaja setakat untuk memastikan keaslian madu berkenaan, tetapi juga kepada terhadap kandungan di dalamnya, sekiranya tidak berkualiti madu berkenaan tidak akan dipakai untuk produk, ini kerana kami serius menekankan aspek kualiti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, produk madu kelulut syarikatnya mendapat pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP), Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan memperoleh perakuan jenama 1Malaysia Best.

Beliau menambah, produk keluaran Bayu Kelulut turut diserta dengan kod respon pantas (Kod QR) bagi memberi keyakinan kepada pengguna.

“Mereka hanya perlu mengimbas kod QR pada setiap produk madu kelulut keluaran kami dan daripada situ akan keluar maklumat kepada pengguna untuk membuktikan produk kualiti produk,” katanya.

Pihaknya juga menerima madu daripada penduduk kawasan sekitar yang mengusahakan penternakan sarang kelulut secara kecil-kecilan dan daripada ladang satelit yang turut mendapat bimbingan pihak MARDI.

“Madu berkenaan turut akan mengalami prosedur yang sama bagi memastikan kualiti sentiasa di tahap terbaik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, syarikatnya turut menawarkan pakej untuk memberi bimbingan kepada orang ramai yang mahu mengusahakan penternakan madu kelulut.