Sebaik penggunaannya, Internet juga memiliki 1001 unsur negatif yang boleh memberikan kesan buruk kepada penggunanya.

Tambahan pula, penggunaan gajat pintar seperti telefon dan tablet memudahkan sesiapa sahaja melayari internet tanpa sebarang kekangan.

Masalah tersebut bertambah buruk kepada golongan remaja dan belia jika tidak diberi sebarang kesedaran.

Kerajaan menyedari golongan tersebut amat mudah terpedaya serta terikut-ikut dengan budaya negatif dari dalam alam maya.

Menurut Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd. Yasin, pihaknya telah dipertanggungjawab melaksanakan program kesedaran awam.

Jelas Zulkarnain, antara inisiatifnya adalah Program Klik Dengan Bijak (KDB) untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya etika penggunaan internet secara positif.

“Program ini menyasarkan pelbagai peringkat usia bermula daripada ibu, bapa dan penjaga serta mereka yang paling terdedah kepada gejala jenayah dan salah laku siber iaitu golongan kanak-kanak, remaja dan belia.

“Bagi mencapai objektifnya, KDB menggunakan tiga aspek sebagai teras utama iaitu keselamatan, waspada dan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Perkhemahan Klik Dengan Bijak 2015- Perak Darul Ridzuan dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) di Perak baru-baru ini.

Yang turut hadir menyempurnakan majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Norlee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman.

Tambah Zulkarnain, program kesedaran perlu dilaksanakan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja celik IT malah memiliki kawalan kendiri yang terbaik agar tidak terjebak dengan pelbagai perkara negatif menerusi Internet.

“Bagi menyasarkan golongan belia, penglibatan ahli pengakap didalam program sebegini adalah tepat pada masanya.

“Hal demikian kerana mereka merupakan generasi Y yang kerap menggunakan Internet dan komunikasi digital dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 42 pusat Internet 1Malaysia dengan jumlah 20,127 ahli berdaftar, 11 Pusat Jalur lebar Komuniti Kecil dan 363 buah Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia telah dibangunkan di negeri Perak sahaja.

Menerusi inisiatif-inisiatif tersebut kadar penembusan jalur lebar di negeri tersebut telah mencapai tahap yang amat memberansangkan iaitu sekitar 78.7 peratus.

Perkembangan positif di negeri tersebut membuktikan Internet merupakan medium komunikasi terkini yang menjanjikan satu platform penyebaran maklumat yang penuh informasi serta amat digemari golongan belia.

Bagaimanapun penggunaan teknologi dan Internet jika di salah guna boleh dijadikan sebagai tempat penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Sesetengah maklumat yang disebarkan juga memiliki unsur fitnah yang boleh mengancam keselamatan orang awam dan juga negara.

Perkhemahan KDB yang diadakan bermula 22 hingga 25 November tersebut mengumpulkan hampir 500 peserta yang terdiri daripada ahli pengakap sekolah menengah dari seluruh negeri Perak.

Perkhemahan tersebut turut melibatkan 200 sukarela dan guru-guru yang melaksanakan pelbagai aktiviti lasak dan berkaitan kesedaran penggunaan Internet.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak, Ahmad Azam Shah Abd. Majid berkata, terdapat lima aktiviti utama yang dilaksanakan sepanjang perkhemahan tersebut.

“Lima aktiviti tersebut adalah Inovasi KDB, Cabaran Siber KDB, Informasi KDB, Kemahiran Komunikasi PPM serta Aktiviti Lasak PPM.

“Kerjasama PPM dan MCMC dalam melaksanakan program perkhemahan KDB telah lama berlangsung dan ini merupakan program yang ke tiga, diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang,” katanya.

Lima program tersebut meliputi modul latihan internet termasuk etika komunikasi di alam maya, kemahiran keselamatan serta pertandingan robotik.

Terbaharu, MCMC turut akan menambah dua lagi aktiviti baharu program perkhemahan tersebut iaitu perkhdimatan digital dan IoT (Internet Of Things) bagi mendedahkan golongan tersebut ke arah dunia keusahawan alam maya.

Berbanding program perkhemahan biasa, ahli pengakap kebiasaannya hanya akan dilatih mengenai taktik kemahiran ikhtiar hidup dan aktiviti luar.

Bagaimanapun pada perkhemahan tersebut peserta lebih didedahkan dengan perihal buruk baiknya dunia siber.

“Kerjasama ini juga amat penting kerana di pihak pengakap kita masih tiada pakar di bidang ini (ICT) yang boleh diketengahkan untuk menjadi rujukan ahli terutamanya gologan remaja dan belia.

“PPM juga akan meneruskan kerjasama dengan MCMC dan mungkin akan menganjurkan seminar atau khusus khas berkaitan ICT dan keselamatan Internet kepada pemimpin-pemimpin PPM di masa akan datang,” katanya.

Program perkhemahan tersebut diharapkan dapat menyebarluas mesej keselamatan internet dalam kalangan masyarakat awam khususnya golongan belia. Sementara itu seorang peserta Nurfarah Natasha Mustafa berpendapat perkhemahan tersebut membolehkannya melakukan pelbagai aktiviti. Katanya , selain dapat melakukan aktiviti lasak, dia juga terlibat dengan aktiviti berkaitan kesedaran penggunaan Internet dan bermain robot.”

"Sebelum ini saya tidak tahu tentang program Klik Dengan Bijak, menerusi perkhemahan ini saya mendapat banyak maklumat yang baik untuk melayari Internet dengan lebih selamat,’’ ujarnya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist ACS,Setiawan, Perak.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tapah,Tapah, Perak, Anis A/P Ramli, perkhemahan tersebut menjadikan dirinya lebih berhati-hati menggunakan Internet.

"Biarpun jarang menggunakan Internet namun selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan elakkan buat perkara-perkara yang negatif menerusinya.

Bagi rakannya Rubiah A/P Bah Bin, dia bersetuju dengan menyertai perkhemahan tersebut, dia mempelajari cara mengelakkan daripada menjadi mangsa jenayah siber selain bertemu dengan lebih ramai rakan alam maya.

Pelajar Sekolah Menengah Datuk Panglima Perang Kiri,Batang Padang, Perak, Kong Yi Teng berharap mempelajari sesuatu yang positif tentang internet.

KDB sasar semua peringkat usia

Program Klik Dengan Bijak (KDB) tidak hanya mensasarkan golongan belia namun lebih menyeluruh dalam sesebuah keluarga.

KDB diwujudkan bagi mendidik semua lapisan masyarakat terutama kanak-kanak, remaja, ibu bapa dan para penjaga tentang langkah utama yang perlu diperhati dan diamalkan semasa melayari Internet.

Ditubuhkan pada Julai 2012, inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan penggunaan Internet kini telah mencecah hampir 20,000 program.

Menurut Pengarah Kanan, Bahagian Advokasi dan Jangkauan MCMC, Eneng Faridah Iskandar, dalam masa yang sama pihaknya turut mengingatkan pengguna alam maya agar lebih berwaspada dengan jenayah siber.

Jelasnya, dalam kata yang lebih mudah, masyarakat perlu lebih berhati-hati dan berfikir sebelum mengakses dan menggunakan Internet.

“Antara manfaatnya adalah untuk kekal selamat dan terjamin semasa melayari Internet terutama ketika berkongsi maklumat peribadi terutamanya laman web yang mencurigakan.

“Menjaga etika bahasa dan cara yang betul dalam perbualan ketika di media sosial ketika menulis,” katanya.

KDB menyasarkan mereka yang lebih terdedah kepada jenayah siber dan penyalahgunaan dalam talian terutamannya kanak-kanak dan remaja.

Tambah Eneng Faridah, kempen KDB itu juga mempersiapkan ibu bapa dan para penjaga dengan informasi yang penting untuk memastikan rangkaian dalam talian adalah selamat.

Program tersebut turut dilengkapi kandungan berilmiah untuk membantu mengurangkan risiko orang ramai daripada menjadi mangsa jenayah siber.

“Menerusi KDB, pihak kami percaya bahawa perkembangan dalam penggunaan jalur lebar adalah selari dengan usaha meningkatkan kepesatan ekonomi negara.

“Seterusnya akan menuju kepada kelebihan sosial yang lainnnya namun pada masa yang sama melindungi nilai-nilai murni, budaya yang pelbagai serta tradisi rakyat Malaysia,” katanya.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di dalam program KDB adalah taklimat dan seminar, pameran, aktiviti interaktif seperti Cabaran KDB, carian perkataan keselamatan internet, Wheel Of Knowledge, Shoot It Out, dan permainan mudah alih Klik Hunter.