Selain itu, ia juga mengandungi bahan flavonoid dan asid fenolik iaitu sejenis bahan antioksida semula jadi yang amat baik untuk tubuh badan manusia.

Namun, khasiat-khasiat ini boleh berkurangan dan terganggu sekiranya madu kelulut tidak diproses dengan baik dan tidak mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan.

Oleh itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan sebuah makmal pemprosesan madu kelulut mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan.

Makmal tersebut bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada penternak untuk memproses madu dengan cara yang betul selain meningkatkan kualiti madu kelulut untuk pasaran yang lebih luas.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran MARDI, Dr. Rosliza Jajuli, madu kelulut mempunyai kadar kandungan air yang tinggi melebihi 20 peratus berbanding madu lain.

Kadar air yang tinggi ini boleh menyebabkan berlakunya penapaian madu dan secara tidak langsung boleh mengakibatkan kandungan aktif dan juga enzim merosot.

Oleh demikian, proses penyingkiran atau penyahidratan perlu dilakukan supaya madu kelulut mencapai kandungan lembapan sekitar 22 peratus sahaja iaitu kandungan kelembapan yang matang dan stabil bagi madu.

Katanya, penternak kebiasaannya akan mengurangkan kadar kandungan air dalam madu kelulut menggunakan haba seperti memanaskannya di atas api dan pengeringan secara terbuka sehingga menyebabkan nutrien berkurangan serta meningkatkan kandungan HydroxyMethylFurfuraldehyde (HMF) yang terbentuk akibat pemanasan berlebihan.

HMF yang terhasil daripada kandungan gula dalam madu jika didapati tinggi dan diambil secara berterusan akan memudaratkan tubuh badan serta memberikan kesan sampingan kepada organ dalaman.

“Madu kelulut tidak boleh dipanaskan melebihi 40 darjah Celsius kerana akan merosakkan kualiti madu yang sebenar.

“Disebabkan itu, MARDI membangunkan makmal pemprosesan madu kelulut yang boleh menjadi model kepada semua penternak untuk memproses madu mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Tambahnya, pembangunan makmal model pemprosesan kelulut di MARDI Kemaman itu bukan sahaja memanfaatkan penduduk sekitar tetapi juga pengusaha madu dari negeri berdekatan seperti Kelantan dan Pahang untuk sama-sama menggunakan kemudahan tersebut.

Jelasnya, pengusaha boleh menghantar madu dengan kapasiti minimum lima kilogram bagi sekali penghantaran dengan kadar bayaran RM10 bagi sekilogram madu untuk diproses menggunakan peralatan makmal yang lengkap dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Penternak boleh menghantar kepada kita madu-madu yang masih belum diproses di kaunter penerimaan dan kemudiannya kita akan uji ciri-ciri seperti tahap kemanisan dan kandungan air.

“Kita akan memberikan tempoh masa tiga hari bekerja untuk menyediakan madu yang telah siap diproses kepada pengusaha dan mereka boleh datang mengambilnya selepas itu,” katanya.

Untuk tujuan itu, MARDI turut membangunkan teknologi mesin penyahidratan madu kelulut bersuhu rendah di bawah 40 darjah Celsius untuk menjamin dan memelihara kandungan enzim serta polifenol aktif dalam madu kelulut.

Reka bentuk alat penyahidrat madu kelulut MARDI terdiri daripada dua ruang utama iaitu ruang pertama adalah tempat untuk menempatkan alat penyahlembapan, manakala ruang kedua untuk pemprosesan penyahidratan madu kelulut.

Komponen-komponen lain yang disertakan ialah dulang yang diperbuat daripada keluli tahan karat, pengacau bergred makanan, kipas pengalir udara dan aci motor elektrik.

Dulang untuk meletakkan madu mempunyai tiga aras dan pengacau madu dicantumkan pada ketiga-tiga dulang tersebut serta disambung pada aci motor elektrik.

Di antara ruang pertama dan kedua terdapat ruang terbuka untuk penghembus alat penyahlembapan membekal dan mengalirkan udara panas kepada madu kelulut.

Di dalam ruangan tersebut juga diletakkan pemecah udara untuk memastikan setiap madu di dalam dulang akan dilalui udara yang mempunyai kelajuan yang sekata iaitu sekitar empat atau lima meter sesaat. Pergerakan secara putaran oleh pengacau madu teflon dijana oleh motor elektrik berkuasa 90 watt dengan kelajuan putaran yang digunakan adalah antara 60 hingga 100 pusingan seminit.

Alat penyahidrat ini berkapasiti 15 kilogram untuk satu kitaran proses dan berkeupayaan menurunkan kandungan kelembapan dalam madu ke julat kelembapan sesuai pada 22 peratus dalam tempoh lapan hingga sembilan jam.