Digunakan daripada proses rawatan untuk bersalin sehinggalah merawat kembung perut, senggugut, sengal tulang dan sebagainya, kacip fatimah ternyata menjadi pilihan sebagai penawar tambahan sejak turun temurun.

Penggunaan herba telah menjadi semakin meluas dan dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Namun, disebabkan kebanyakan sumber bahan mentah ini diambil dari hutan dan secara liar, maka kualiti baka sesuatu spesies itu tidak diketahui dan dikhuatiri akan menjejaskan mutu produk.

Justeru, penyelidik dari Program Membiak Baik Tumbuhan, Bahagian Bioteknologi Perhutanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), yang diketuai oleh Dr. Farah Fazwa Md. Ariff, telah menjalankan penyelidikan Pengenalpastian Baka Elit Kacip Fatimah bagi penghasilan bahan tanaman secara berterusan .

Kajian tersebut telah dijalankan selama hampir tiga tahun dan memakan belanja sebanyak RM263 ribu, iaitu dana yang ditaja di bawah Skim Geran Penyelidikan Bidang Ekonomi Utama Negara Herba (NGRS) oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Menurut Farah Fazwa, secara dasarnya, projek berkaitan penghasilan bahan tanaman kacip fatimah telah bermula dari 2008 dan terus berlangsung sehingga kini.

“Selaras dengan hasrat kerajaan dalam dasar pertanian ketiga negara tumbuhan ubatan telah dipilih sebagai salah satu komoditi dengan memberi penekanan menjadikan Malaysia sebagai pusat pembangunan bahan-bahan mentah untuk kegunaan industri.

“Di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), kerajaan telah mengenalpasti beberapa spesies herba termasuk kacip fatimah sebagai spesies yang perlu diberi keutamaan.

“Oleh itu, kajian ini dilaksanakan sebagai langkah menyokong dasar kerajaan tersebut,” katanya ketika ditemui di Kepong, Selangor, baru-baru ini.

Jelasnya, beliau bersama ahli kumpulannya telah menjalankan kajian mengenai pemilihan baka-baka kacip fatimah superior berdasarkan kandungan kimia aktif.

Jumlah kandungan fenolik atau total phenolic content dijadikan trait utama sebagai asas pemilihan baka-baka kacip fatimah yang superior.

“Kandungan kimia fenolik adalah sangat berkait rapat dengan fungsinya sebagai agen antioksida. Persampelan sebanyak 300 baka kacip fatimah telah dilakukan secara rawak di 10 hutan simpan yang meliputi tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Susulan terhadap penyelidikan mengenalpasti baka elit kacip fatimah, pihak Institut Penyelidiakn Perhutanan Malaysia (FRIM) kini sedang mengkaji kaedah atau teknik terbaik untuk memperbanyakkan bahan tanaman elit itu bagi menampung permintaan industri.

Menurut Dr. Farah Fazwa Md. Ariff, antara teknik yang sedang dikaji ialah melalui kaedah kultur tisu di dalam sistem TIS atau dikenali sebagai Sistem Rendaman Sementara.

“Selain itu, anak-anak pokok yang terhasil daripada teknik tersebut akan diuji tanam secara perladangan untuk melihat kesesuaian anak pokok beradaptasi di luar (ex-vitro)

“Bukan itu sahaja, FRIM kini sedang dalam usaha bekerjasama dengan beberapa syarikat tempatan untuk membekalkan klon-klon bermutu tinggi kacip fatimah selain sedang giat membantu penduduk kampung di kawasan parlimen Ledang, Johor untuk membiakkan dan menanam klon kacip fatimah terpilih.

“Secara tidak langsung, usaha berkenaan dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah masyarakat di kampung tersebut,” katanya.

Ditanya lanjut mengenai tumbuhan herba lain yang boleh menggantikan kacip fatimah, beliau menjelaskan, buat masa ini masih belum ada tumbuhan herba lain yang mampu menggantikan herba istimewa itu.

Tambahan lagi, kacip fatimah telah berkurun lama digunakan secara perubatan tradisional dan malangnya, sehingga kini, bahan mentah yang digunakan dikutip secara liar tanpa mengetahui kuantiti bahan mentah tersebut.

Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai senario penyelidikan yang melibatkan herba pada masa kini.

Berdasarkan trend semasa, kesedaran tentang bahaya penggunaan bahan kimia yang terkandung di dalam ubat-ubatan moden menyebabkan masyarakat kini beralih menggunakan khazanah alam secara semula jadi.

Katanya, hal ini kerana produk yang dihasilkan menggunakan bahan asas daripada tumbuhan adalah lebih selamat dan tidak memberi kesan sampingan.

“Bagaimanapun, kebanyakan produk herba tempatan sedia ada masih bernilai rendah dan memerlukan usaha berterusan dengan meningkatkan nilai produk menerusi penyelidikan dan pembangunan.

“Pertumbuhan pesat industri herba menunjukkan jumlah nilai import yang melebihi empat kali ganda berbanding nilai eksport menggambarkan bahawa kuantiti bahan mentah yang digunakan dalam industri herba tempatan adalah tinggi dan kebanyakan sumber adalah dari negara luar.

  •  Sebanyak 50 gram daun diambil dari setiap pokok dan diekstrak menggunakan kaedah pelarut etanol. 

  •  Semua hasil ekstrak menjalani penyaringan jumlah kandungan fenolik melalui kaedah Folin-Ciocalteu. 

  • Jumlah kandungan fenolik yang diperolehi dibaca dalam unit kesamaan asid gallik mg/50 g (gallic acid equivalent).

  • Hasil analisis menunjukkan baka-baka kacip fatimah mempunyai jumlah kandungan kimia fenolik yang agak tinggi mampu menandingi beberapa ulam-ulaman tempatan lain seperti pegaga, kesum, ulam raja dan selom. 

  • Daripada 300 baka yang disaring, sebanyak 20 baka mampu menghasilkan jumlah kandungan kimia fenolik yang tinggi dengan julat antara 2800 hingga 3000 mg/50 g GAE (gallic acid equivalent). 

  • Daripada jumlah ini satu klon yang mempunyai nilai tertinggi telah di daftarkan di bawah ID FRIM dengan kod KFs001.