Program pemuliharaan badak sumbu di Sabah telah berjalan sejak tahun 1980-an dan melibatkan banyak pihak terutama sekali Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Antara pertubuhan yang pernah terlibat dalam usaha penyelidikkan selain beberapa institusi pengajian tinggi awam adalah WWF Malaysia, SOS Rhino dan terakhir, Borneo Rhino Alliance (Bora).

Bora ditubuhkan pada 2007 dan ia berkembang dari badan induk yang lain iaitu SOS Rhino (Amerika Syarikat ) yang kemudian diinstitusikan sebagai pertubuhan tempatan yang dikenali sebagai SOS Rhino Borneo. Nama Borneo Rhino Alliance digunakan dua tahun kemudian dan beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah pertubuhan yang berpusat di Kota Kinabalu, Sabah.

Semenjak tahun 2009, lebih 30 pertubuhan telah bersama-sama membangunkan dana untuk program pemuliharaan badak di Sabah dan dana terbesar dibekalkan oleh Yayasan Sime Darby yang menyalurkan lebih RM12 juta sehingga tahun lalu.

Program tersebut diteruskan menggunakan dana daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di bawah program pemuliharaan haiwan terancam di Sabah.

Pada ketika ini, Bora menguruskan penjagaan dan usaha pengumpulan tisu pembiakan daripada dua ekor badak sumbu yang dijaga di Rizab Hidupan Liar Tabin dekat Lahad Datu, Sabah.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Bora, Prof. Madya Dr. Abdul Hamid Ahmad, buat pertama kali, teknologi pembiakan berbantu (ART) digunakan ke atas badak sumbu tersebut bagi tujuan penghasilan embrio di luar rahim. ART ialah teknologi yang sudah berkembang maju dan banyak digunakan dalam membantu pasangan yang sukar mendapatkan zuriat. Kini teknologi tersebut turut digunakan untuk menyelamatkan spesies hidupan liar bagi mengelakkan kepupusan.

Program ART bagi badak sumbu di Sabah dijalankan dengan kerjasama banyak pihak termasuklah Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI), Institute of Zoo and Wildlife Research (IZW) dari Jerman, Avantea Laboratories dari Itali dan Morula IVF dari Indonesia.

Pada ketika ini, teknik yang digunakan untuk menghasilkan embrio ialah menerusi kaedah suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI).

“Ia kaedah yang rumit kerana inilah dua ekor badak terakhir dalam dalam negara kita. Sementara kita menghargai betapa bernilainya kedua-dua badak ini, kaedah ini belum pernah digunakan kepada badak sumbu spesies ini.

“Banyak prosedur sensitif digunakan bawah kawalan rapi pakar-pakar yang terlibat,” ujar Dr. Abdul Hamid yang juga pensyarah di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Proses pengumpulan telur (oosit) daripada badak betina bermula dengan suntikan hormon penyubur bagi meningkatkan bilangan sel telur.

Menurut beliau ketika subur, oosit terkandung di dalam ruang yang dipanggil folikel dan ia seperti belon kecil yang tumbuh pada tisu ovari.

Ketika telur badak betina bernama Iman diambil, pasukan pakar memberi suntikan pelali bagi proses pembiusan penuh.

Pada masa ini, organ pembiakan Iman diperhati menerusi imej pada skrin yang terhasil daripada pancaran ultrasonografi. Ia sama seperti kaedah ultrasound di klinik ibu mengandung, cuma bezanya pengimbas dimasukkan ke dalam usus besar dan diimbas dari dalam tubuh badak.

Setelah kedudukan ovari dan folikel jelas kelihatan, satu jarum ditusuk menembusi dinding usus besar tepat menuju kepada kedudukan folikel.

Ketepatan suntikan dipandu oleh satu garis penjajar yang kelihatan pada skrin. Apabila jarum sudah memasuki ruang di dalam folikel, cecair yang terkandung di dalamnya disedut menggunakan sebuah pam dan dikumpulkan di dalam sebuah tiub kecil. Proses ini diulang ke atas semua folikel yang ada pada ovari Iman.

Keseluruhan proses mengambil masa kira-kira 45 minit. Kedudukan Iman yang terbaring merusuk menyebabkan pakar terlibat juga bekerja dalam posisi yang pelik, ada kalanya hampir meniarap demi mendapatkan kedudukan paling sesuai dan selamat untuk proses pengumpulan oosit.

Sehingga kini hanya dua ekor badak inilah yang masih terdapat di Malaysia, manakala badak liar telah dikategorikan sebagai pupus.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, terdapat lima spesies badak di dunia dengan tiga daripadanya badak Asia iaitu badak Sumatera, badak Jawa dan badak India.

Badak Sumatera (Dicerorhinus sumatrensis) diisytiharkan pupus di negara ini sejak 2015 kerana tidak lagi dijumpai di habitat liar.

Badak Jawa kini hanya terdapat di bahagian barat pulau Jawa, Indonesia.

Dua lagi spesies badak adalah badak Afrika iaitu badak sumbu hitam dan badak sumbu putih.