Jika diperhati, sikap tamak dan tidak menghormati alam sekitar sesetengah daripada kita sering menjadi punca kejadian bencana alam, terutama banjir.

“Apa yang telah terjadi sebelum ini merupakan pertunjuk jika alam diganggu lambat atau cepat pasti akan memberi kesan yang negatif kepada manusia.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, bencana alam datang dengan pelbagai bentuk dan salah satunya disebabkan perubahan cuaca global. Perubahan cuaca global dilihat mampu mengancam nyawa, harta benda serta tanah-tanah pertanian,” katanya baru-baru ini.

Tambah Dr. Shamsudin, antara contoh bencana besar yang berlaku adalah seperti taufan besar di Filipina pada 2013 dan 2014 serta kejadian banjir besar dalam negara pada 2014.

Banjir besar yang melanda sebahagian besar Pantai Timur negara pada tahun itu menyaksikan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal, harta benda juga nyawa.

Mengapakah kejadian banjir sering berlaku pada masa kini berbanding dahulu? Jelas Dr. Shamsudin, pembukaan kawasan tanah untuk tujuan pertanian secara tidak terkawal menjadi punca berlakunya degradasi tanah.

Pembukaan kawasan hutan secara berleluasa juga menyebabkan bumi semakin kurang berkemampuan untuk mengawal pengumpulan gas rumah hijau (GHG) di lapisan langit bumi.

Keadaan bertambah buruk akibat penggunaan bahan api fosil yang tinggi oleh negara-negara Barat dan Timur dalam memastikan sektor industri mereka berjalan dengan baik.

Pembakaran bahan api fosil yang berlarutan bertahun-tahun lamanya menghasilkan gas karbon (Co2) yang tinggi.

Kadar pelepasan gas tersebut dilihat semakin meningkat dari kepekatan 250 bahagian perjuta (ppm) pada era awal revolusi perindustrian sehingga 400 ppm hari ini.

Peningkatan gas Co2 dikatakan antara penyumbang terbesar kepada kenaikan suhu dunia sekitar dua darjah Celcius setiap tahun menyebabkan berlakunya fenomena pemanasan dunia (global warming).

Lebih buruk sesetengah kawasan di dunia berlaku corak cuaca yang ekstrem seperti salji tebal berbanding biasa, kejadian taufan yang lebih kerap dan banjir besar.

“Sebagai penduduk dunia, kita memainkan peranan penting dalam memastikan keadaan tersebut tidak terus berlaku.

“Kita perlu melakukan sesuatu untuk menghentikan fenomena tersebut dengan lebih pantas,” katanya. Walau bagaimanapun ramai dalam kalangan rakyat negara ini masih lagi tidak menyedari akan kepentingan memelihara alam sekitar.

“Di mana-mana sahaja kita boleh lihat barangan berasaskan plastik dibuang begitu sahaja.

“Barangan tersebut boleh ditemukan tepi jalan, di dalam sungai, tasik, lombong mahupun di mana-mana laluan air tanpa ada sesiapa yang peduli,” ujarnya.

Akibatnya, kebanyakan kawasan bandar kini mudah dinaiki air atau banjir kilat akibat sistem peparitan sedia ada tersumbat.

Sampah sarap yang dibuang merata-rata oleh penduduk setempat sering menyekat laluan air menyebabkan air melimpah ke jalan raya serta kawasan penempatan.

Lebih menyedihkan ramai dalam kalangan kita merungut menyalahkan pihak tertentu kerana tidak sensitif dengan kesusahan yang dialami, walhal diri kita sendiri yang mencipta masalah tersebut!

Dr. Shamsudin turut menjelaskan, pemanasan global atau penyejukan global merupakan fenomena semula jadi yang sering berlaku sebelum ini.

“Walau bagaimanapun kesan pemanasan global bertambah buruk akibat campur tangan manusia menerusi penggunaan bahan api fosil yang sangat tinggi dan pembukaan tanah secara berleluasa,” katanya.

Kejadian banjir besar pada 2014 membuktikan pembukaan tanah untuk tujuan pertanian serta penebangan hutan secara berleluasa memburukkan lagi keadaan.

Paras air yang tinggi sehingga mampu menenggelamkan rumah menyebabkan hampir 20,000 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Dalam pada itu, sebahagian besar kawasan pertanian di sebelah Pantai Timur negara turut mengalami kerosakan yang teruk menyebabkan petani mengalami kerugian yang besar.

Di kawasan tanah tinggi, penerokaan hutan untuk tujuan pembalakan serta dijadikan kawasan pertanian menyebabkan sebahagian besar kawasan tanah terdedah.

Kawasan yang terdedah terlalu lama akan menyebabkan sebahagian tanah terhakis dibawa air hujan yang lebat.

Tanah yang terhakis akan mengalir masuk ke sungai bersama aliran air hujan seterusnya berlaku pengumpulan lumpur dan mendapan yang menyebabkan sungai menjadi lebih cetek dan tidak lagi mampu menampung jumlah air yang banyak.

Lumpur dan segala mendapan yang mengalir laju seperti tsunami itu turut memusnahkan segala harta benda, bangunan, kawasan pertanian dan pelbagai lagi di sepanjang laluannya.

Lebih memburukkan keadaan, lumpur yang berwarna kuning kemerah-merahan tersebut mengandungi bahan kaolinitik, besi (Fe) dan aluminium (Al) yang tidak memiliki nilai pemakanan (nutrisi) diperlukan oleh tumbuhan.

Lapisan lumpur yang mengandungi mineral itu akan menyebabkan petani memerlukan kos yang tinggi bagi membaik pulih tanah pertanian yang diliputinya.

Bencana yang berlaku bukan hanya tertumpu di kawasan tanah tinggi malah turut berlaku di kawasan pantai.

Angin kencang membentuk ombak yang kuat setinggi dua hingga tiga meter (m) menyebabkan hakisan pantai berlaku dengan lebih teruk.

Laporan geologikal menyatakan selepas bertahun-tahun mengalami proses yang sama kini muara Sungai Kelantan contohnya telah mula berubah dan beralih beberapa kilometer jauhnya dari kedudukan asal.

Bagi membendung keadaan itu, kerajaan serta agensi yang terlibat perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam menanganinya.

Jika tiada sebarang tindakan diambil, pantai-pantai di sekitar Semenanjung Malaysia akan terhakis dengan lebih teruk menyebabkan kawasan bertanah dalam negara bakal berkurangan.

Hakisan tanah merupakan satu kerugian kepada negara kerana sesebuah kawasan itu akan mengalami kerosakan secara fizikal yang menyebabkan banyak aktiviti tidak dapat dilaksanakan di atasnya.

Antara cadangan Dr. Shamsudin bagi menangani permasalahan tersebut adalah dengan membina laluan air sama ada di atas permukaan tanah mahupun di bawah tanah.

Terdapat dua jenis sistem peparitan iaitu permukaan (surface) dan pertengahan tanah (subsurface).

Laluan air di atas permukaan dibina untuk menghalakan air menerusi sistem perparitan terus ke kawasan takungan.

Topografi tanah seperti cerun juga dapat membantu selain laluan air berumput boleh dibina bagi mengalirkan air ke kawasan tertentu.

Sebarang tekanan ke atas tanah juga harus dikurangkan dengan melembutkan tanah menerusi aktiviti membajak agar air tidak bertakung atau terganggu untuk mengalir.

Sistem peparitan di bawah permukaan tanah berbentuk pembuluh boleh dibina menggunakan bahan daripada tanah liat, konkrit atau plastik yang ditanam ke dalam tanah.

Air yang berada di dalam tanah boleh mengalir menerusinya dengan lebih mudah dan lancar.

Bagi sistem peparitan di permukaan tanah lebih sesuai untuk kawasan tanah yang rata dengan kadar aliran yang perlahan.

Bagi mengurangkan hakisan tanah akibat aliran alir, impak curahan air yang tinggi akibat hujan lebat juga perlu dikurangkan.

Terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan iaitu agronomik, mekanikal, dan pengayaan tanah. Bagaimanapun, ketiga-tiga kaedah tersebut berkongsi prinsip yang sama iaitu melindungi permukaan tanah daripada gangguan sebarang tekanan fizikal air serta meningkatkan ketahanan tanah.

Bagi kaedah agronomik adalah dengan mempertingkatkan litupan hijau di permukaan tanah dengan menanam lebih banyak pokok dan belukar.

Sebanyak 60 hingga 70 peratus kawasan terdedah perlu di lindungi tumbuhan bagi mengelakkan kejadian hakisan.

Kaedah mekanikal adalah seperti membina cerun, teres, atau dinding bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh.

Bagi kaedah pengayaan tanah dengan meningkatkan kadar nutrisi di dalam tanah kerana tanah yang subur dapat menampung tumbuhan untuk hidup di permukaannya.

Kehadiran tumbuh-tumbuhan dapat mengelakkan berlakunya hakisan serta tanah runtuh.