Justeru, tidak hairanlah jika ada anak-anak kecil bercita-cita untuk menjadi ilmuwan dalam bidang astronomi kerana kagum melihat keindahan alam semesta.

Astronomi merupakan salah satu daripada cabang ilmu sains berkaitan bintang, planet, bulan dan matahari. Ia juga dikenali sebagai ilmu falak dari segi bahasa etimologi yang membawa maksud peraturan bintang.

Apabila berbicara tentang bidang yang turut dikenali sebagai sains angkasa itu, ruang lingkupnya terlalu luas. Malah, adakalanya ia menjangkau tahap pemikiran manusia itu sendiri.

Namun, seiring peredaran zaman yang semakin canggih, semakin banyak maklumat berkaitan ilmu astronomi atau sains angkasa boleh didapati dengan mudah.

Ruangan .comY kali ini berpeluang mengikuti aktiviti cerapan bintang yang dijalankan oleh Kelab Falak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Bagi menarik minat golongan remaja menyertai aktiviti ini, beberapa program telah dianjurkan pelbagai agensi seperti Balai Cerap Teluk Kemang yang merupakan satu-satunya balai cerap yang sering menjadi tumpuan pengkaji ilmu falak ataupun ilmu astronomi dalam dan luar negara.

Balai itu telah merekodkan peristiwa anak bulan kelihatan paling tinggi dalam sejarah balai cerap di seluruh negara. Balai Cerap Telok Kemang mula beroperasi secara rasmi pada 1960 dan telah melalui beberapa siri penambahbaikan dan naik taraf.

Di Malaysia, pengajian ilmu astronomi ini semakin ketara dalam kalangan masyarakat Islam sejajar dengan minat mereka terhadap disiplin aeroangkasa apabila negara menghantar angkasawan pertamanya ke angkasa lepas pada 2007.

Dengan kesedaran yang timbul sejak beberapa dekad lalu, ilmu astronomi semakin mendapat tempat dalam kalangan umat Islam dan mula diajar di pusat pengajian tinggi.

Penolong Pengurus Balai Cerap Teluk Kemang, Muzamir Mazlan berkata, pihaknya menyediakan ruang untuk golongan belia yang berminat menerokai bidang astronomi terutama mereka yang baru hendak mengenali apa itu alam cakerawala.

Katanya, mereka yang mahu melihat sendiri fenomena ini boleh datang ke Balai Cerap Telok Kemang.

“Balai Cerap Telok Kemang sering menjadi tumpuan pengkaji ilmu falak atau astronomi dari dalam dan luar negara,” katanya sambil memberitahu pihaknya sentiasa memastikan pengurusan balai cerap di Teluk Kemang lebih canggih berbanding dengan tempat lain.

Katanya, ia bertujuan memberi peluang kepada orang ramai berkongsi pengalaman melihat keajaiban alam cakerawala.

Malah, katanya, dia mahu memberi persepsi bahawa bidang ini bukan sahaja tertumpu kepada golongan profesional, sebaliknya terbuka kepada semua golongan terutama mahasiswa mahupun belia yang berminat meneroka bidang itu.

Turut dikenali sebagai Kompleks Baitul Hilal, balai cerap itu menjadi pusat rujukan dan penyelidikan penting bagi pelbagai kegiatan seperti melihat anak bulan, kaji bintang dan planet, sekali gus menjana pembangunan dan kemajuan ilmu astronomi di negara ini.

“Di balai cerap ini, turut disediakan ruang pameran bagi menempatkan lebih 20 artifak berkaitan ilmu falak merentasi masa yang digunakan pengkaji pada zaman dahulu.

“Selain boleh melihat angkasa lepas, mereka juga boleh mengenali peralatan digunakan pengkaji terdahulu dalam kajian mereka tentang alam semesta,” katanya.

Lebih menarik lagi, teleskop yang disediakan di balai cerap itu menggunakan mounting jenama York dan ia merupakan satu-satunya teleskop tercanggih di Asia dan mungkin juga di dunia yang dibina dengan kemampuan membuat cerapan sehingga 0 darjah.

Dalam pada itu, Balai Cerap Telok Kemang turut mengadakan pelbagai aktiviti semasa seperti fenomena gerhana bulan, gerhana matahari dan hujan meteor untuk berkongsi dengan mereka yang berminat meneroka sains angkasa ini. - ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI/ABD. RAZAK AID

Tarik minat mahasiswa dan kelab

Menjadikan subjek Ilmu Falak sebagai elektif di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Felo Siswazah Falak Syarie USIM, Mohd. Razlan Ahmad mula membuka ruang kepada golongan mahasiswa yang berminat untuk mendalami bidang ini secara lebih terperinci melalui aktiviti anjuran Kelab Falak USIM.

Menurutnya, kini terdapat 100 mahasiswa berminat menyertai kelab tersebut.

Katanya, kelab itu bukan sahaja memberi pendedahan tentang bidang sains angkasa, sebaliknya turut memastikan ahli kelab mendapat pendedahan seperti pengenalan kepada subjek Ilmu Falak, Aplikasi Falak, Sistem Koordinat dan Kemahiran Cerapan.

“Bidang ini sangat luas. Selain mempelajari beberapa aspek Ilmu Falak, ahli kelab juga diajar kemahiran mencerap anak bulan dan menentukan arah kiblat di sesuatu kawasan yang jarang dilawati.

“Mereka bukan sahaja mendapat kemahiran dari sudut Islam, malah boleh menterjemahkan aplikasi falak dalam bidang aeroangkasa yang merupakan satu bidang yang luas dalam cabang ilmu astronomi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masih ada generasi muda yang kurang berminat untuk meneroka bidang astronomi kerana menganggap bidang itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Mereka khuatir untuk menyertai aktiviti ini kerana takut bayar yuran yang tinggi, termasuk membeli peralatan seperti teleskop yang harganya agak mahal.

“Pihak kelab ada menyediakan peralatan untuk mencerap. Mereka yang benar-benar berminat sahaja perlu membeli teleskop sendiri dengan harga antara RM100 hingga RM5,000,” katanya.

Selain mencerap bulan dan bintang, ahli kelab turut mengetahui perkara berkaitan kemahiran mengenali buruj, objek-objek di angkasa, planet, fenomena angkasa, transit planet dan galaksi.

Untuk menarik minat belia, kelab itu turut mengadakan program Hari Terbuka di kampus bagi memberi penerangan kepada orang ramai berkaitan astronomi terutamanya tentang peralatan untuk mencerap.

“Pelbagai aktiviti yang dijalankan memberi impak kepada ahli untuk mendalami ilmu falak,” katanya.

Mohd. Razlan turut menasihatkan mahasiswa dan belia yang menyertai bidang astronomi mendapat galakan daripada ibu bapa kerana dengan sokongan mereka, pastinya minat akan dicapai.

“Remaja yang berminat tetapi tidak mempunyai teleskop, tidak perlu bimbang kerana harga teleskop ditentukan mengikut jenama dan saiz.

“Selain minat, imaginasi yang tinggi serta tahap kesabaran perlu ada bagi menjadikan bidang ini sebagai hobi,” tambahnya.

Untuk jangka masa panjang, Kelab Falak bercadang menghantar beberapa mahasiswa menghadiri kursus anjuran pihak swasta dan Jabatan Agama Negeri bagi mendalami ilmu falak.