Menerusi ruangan ini, keratin kod atur cara ringkas serta tip pengaturcaraan oleh pakar teknologi maklumat (IT) tempatan akan dikongsikan secara percuma pada setiap minggu.

Bagi memenuhi permintaan pembaca yang dahagakan ilmu, ruangan ini akan menyediakan artikel berkaitan bahasa pengaturcaraan HTML, Java, PHP dan Scratch dengan menyasarkan pelajar sekolah menengah yang mengambil mata pelajaran Asas Sains Komputer (ASK) menerusi Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Selain itu, kod atur cara yang disediakan juga cukup mudah untuk diikuti dan difahami mana-mana pembaca yang ingin belajar pengaturcaraan walau tidak mempunyai sebarang asas atau pengalaman mengatur cara.

Menerusi artikel pengenalan minggu ini, pembaca akan diperkenal dengan pengaturcaran Scratch.

Scratch merupakan bahasa pengaturcaraan visual yang sangat mudah difahami dan telah dibangunkan oleh MIT Media Lab. Ia diwujudkan dengan matlamat menjadi asas kepada mereka yang ingin mempelajari ilmu pengaturcaraan, sebelum mengorak langkah lebih jauh mempelajari bahasa pengaturcaraan aras tinggi seperti Java atau C.

Kelebihan utama Scratch berbanding bahasa pengaturcaraan lain ialah tiada installer diperlukan, dan boleh digunakan secara terus menerusi pelayar Internet. Ia juga tidak memerlukan komputer dengan spesifikasi canggih.

Dalam minggu ini, kita akan mempelajari kaedah menggerakkan karekter kucing dalam laluan segi empat menggunakan Scratch.

Langkah 1: Layari laman web https://scratch. mit .edu dan klik Try It Out untuk bermula.

Antara muka Scratch terbahagi kepada tiga. Ruangan sebelah kanan merupakan editor, manakala ruangan tengah ialah code palette dan ruangan kiri ialah ruangan paparan hasil.

Apa yang perlu anda lakukan hanyalah pilih dan seret keratan arahan visual daripada palette di tengah ke editor di sebelah kanan. Untuk melihat hasilnya pada ruang paparan di sebelah kiri, anda cuma perlu klik bendera hijau di bahagian atas.

Langkah 2: Pilih dan seret jujukan arahan daripada palette ke editor sehingga jadi seperti rajah.

Jika segalanya berjalan lancar, paparan Scratch anda akan kelihatan seperti rajah di atas.

Jika anda telah bersedia, klik ikon bendera hijau untuk melihat hasilnya.

Ikuti sambungan tutorial ini di dalam sisipan Mega Sains pada hari Selasa minggu hadapan, bagaimana untuk meringkaskan blok atur cara ini.Selamat maju jaya!