Dengan kira-kira 1,000 inovasi pernah dihasilkan sepanjang tempoh tersebut, ZDA kini mengorak langkah dengan mewujudkan program yang tujuannya berkongsi ilmu kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Syarikat tersebut yang beroperasi di SungaicChoh, Rawang Selangor memperkenal Projek Tahun Akhir (FYP): Bengkel dan Latihan bagi memberi peluang generasi muda menimba ilmu mengenai pembangunan pelbagai mesin.

Menurut Pengarah Urusan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif program tersebut, Muhammad Asif Zulkifli, ia dilaksanakan bertujuan untuk menilai kemampuan pelajar mengaplikasi kemahiran dan pengetahuan teori yang dipelajari dengan mencipta sesuatu yang berkaitan dengan bidang pengkhususan dan mengeluarkan hasil kerja yang bernilai tinggi.

Program tersebut bertujuan membuka minda pelajar ke arah lebih berinovasi, mendidik agar menjadi seorang pelajar yang lebih berfikir dan berani membuat keputusan lantas memperoleh ciri-ciri keusahawanan dalam diri setiap pelajar.

“Program ini menjadi pusat bimbingan pelajar dalam menjayakan projek akhir tahun mereka dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman dan mahir serta pakar dalam bidang reka bentuk mahu pun inovasi.

“Selain itu, kami di Zull Design (Autotronic) ingin memperbaiki keadaan yang tidak begitu sempurna. (Ketika ini) pelajar hanya membuat projek atau inovasi yang mengikut cara lama atau menempahnya sahaja tanpa mempelajari cara fabrikasi sesuatu produk dengan betul,” ujarnya.

Justeru, program tersebut juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mengikut jejak langkah ZDA supaya menjadi ahli fikir yang berintegriti, kreatif dan berani membuat keputusan.

Tempoh program ini bergantung kepada pelajar tetapi pihaknya menyarankan agar pelajar mengikutinya selama sebulan.

Berfikiran ke arah usahawan

Mohd. Asif Zulkifli berkata, program selama sebulan itu bertujuan mengetengahkan bakat pelajar ke arah keusahawanan supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada satu sumber pekerjaan semata-mata.

Sebaliknya menurut beliau, pelajar mampu mengendalikan projek-projek individu, sekali gus menjana pendapatan dari segi keusahawanan.

“Dengan menghadiri program seperti ini, mereka mampu berfikir di luar kotak dan mampu menonjol satu tahap lebih tinggi daripada orang lain. Program ini juga mampu menjayakan hasrat kerajaan untuk melahirkan ramai lulusan yang berfikiran ke arah keusahawanan. Kita sedia maklum bahawa dalam era ini, persaingan untuk memperoleh pekerjaan juga berada pada tahap yang membimbangkan.

Justeru itu, lulusan yang mampu mengolah pendapatan menerusi keusahawanan akan mampu untuk menampung kos sara hidup mereka sendiri dan mampu menyumbang kepada keluarga dan masyarakat.

Program ini juga berkait rapat dengan hasrat kerajaan dalam membangunkan negara dengan melahirkan usahawan yang mampu menghasilkan nilai produk yang tinggi komersialnya.

“Justeru kami mengalu-alukan dan menerima pelajar dari mana-mana universiti atau institusi yang ingin menyertai program ini,’’ ujarnya.

ZDA sebelum ini berpengalaman perunding rujukan subjek pelajar reka cipta serta melatih guru di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Maka wujudlah Pertandingan Reka Cipta Kebangsaan hasil daripada khidmat nasihat syarikat berkenaan, ZDA juga menjadi pakar rujuk kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, badan kerajaan dan swasta.

ZDA berpegang kepada falsafah kreativiti anak tempatan juga setanding dengan masyarakat Barat tetapi yang penting perlunya sokongan masyarakat supaya inovasi tempatan dapat dibanggakan.