Selain menjana teknologi melalui penyelidikan, MARDI juga memainkan peranan yang sangat penting dalam melaksanakan aktiviti pemindahan teknologi, kompetensi, pengetahuan dan juga perkhidmatan teknikal melalui pelbagai saluran penyampaian. Peranti mudah alih merupakan saluran penyampaian yang terbaik kepada stakeholder MARDI ketika ini termasuklah petani, penternak dan nelayan. Oleh yang demikian MARDI mengambil inisiatif membangunkan beberapa aplikasi mudah alih untuk menyokong aktiviti pemindahan teknologi, kompetensi serta pengetahuan kepada petani, pengusaha pertanian dan penternakan.

Aplikasi mudah alih yang dihasilkan ini merupakan salah satu saluran penyampaian daripada penyelidik kepada pengguna dengan menggunakan teknologi terkini menggunakan telefon mudah alih. Aplikasi yang dihasilkan ini merupakan saluran penyampaian yang terbaik kepada pengguna dan orang awam sejajar dengan kepesatan teknologi telefon pintar dan keperluan penyampaian maklumat yang cepat dan pantas dan seterusnya dapat menyokong aktiviti pemindahan dan pengkomersialan teknologi secara terus dengan meningkatkan kompetensi serta pengetahuan kumpulan sasar terutamanya kepada petani, pengusaha pertanian dan penternakan serta nelayan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor, pentingnya pihak institusi itu membangunkan aplikasi seumpama adalah untuk menarik golongan muda meminati bidang pertanian dengan menawarkan teknologi yang terkini pada lapangan kerja pertanian.

“Hari ini teknologi telah berkembang pesat dengan kehadiran beraneka aplikasi serta internet of things yang membantu manusia menyelesaikan tugasan harian. Sudah pastilah aplikasi-aplikasi ini mengandungi banyak maklumat yang berguna untuk membantu petani di lapangan, seperti manual yang boleh diusung kemana-mana. Dalam aplikasi ini mengandungi pelbagai maklumat seperti bagaimana menguruskan kaedah pertanian dengan cara yang betul, penggunaan peralatan, benih, racun, baja serta pelbagai lagi yang bersesuaian dengan lapangan,

“Malah pada hari ini, ciri-ciri peranti amat canggih serta tahan lasak boleh digunakan di lapangan tanpa sebarang masalah. Bagaimanapun, pengguna boleh menghubungi pihak yang lebih pakar di MARDI jika terdapat sebarang masalah atau pertanyaan berkaitan pertanian jika maklumat yang berada dalam aplikasi tidak mencukupi,” jelasnya.

Sebelum ini MARDI telah membangunkan beberapa aplikasi lain yang banyak memberi manfaat kepada pengguna.

Pembangunan aplikasi tersebut adalah sejajar dnegan fungsi MARDI iaitu selain menjana teknologi melalui penyelidikan, agensi terbabit juga memainkan peranan penting dalam melaksanakan aktiviti pemindahan teknologi, kompetensi, pengetahuan & juga perkhidmatan teknikal melalui pelbagai saluran penyampaian.

Aplikasi tersebut boleh dimuat turun menerus pautan ini:

  • MARDI Manual Lebah Kelulut
  • MARDI MyKonsultan
  • MARDI Padi Aerob
  • MARDI Fertigasi Cili
  • MARDI Fertigasi Melon
  • MARDI DoktorCili
  • MARDI Direktori Usahawan
  • MARDI cendawan tiram kelabu
  • MARDI hIdroponik salad

Aplikasi yang telah dibangunkan ialah:

MARDI TEKNOVASI

MARDI Teknovasi merupakan sebuah aplikasi mudah alih yang menawarkan maklumat terkini MARDI secara mudah dan ringkas.

MARDI Teknovasi mengandungi maklumat saintifik, teknikal, perkhidmatan dan ekonomi serta maklumat teknologi dan inovasi yang pernah dihasilkan oleh MARDI terus kepada pengguna. Ia memberi tumpuan kepada maklumat yang paling kerap kali digunakan supaya capaian ke atas maklumat senang dilakukan secara on the go

MARDI MyJagungManager

Aplikasi yang dapat membantu petani merancang aktiviti di ladang atau kebun dengan lebih cekap. Aplikasi ini akan menghantar mesej peringatan kepada pengguna melalui peranti pintar berkaitan semua aktiviti yang berkaitan dalam penanaman jagung.

Aplikasi mudah alih MARDI boleh dimuat turun secara Percuma di GooglePlayStore dan AppStore dengan menaip MARDIApps di enjin carian.

MARDI OPF

Aplikasi mudah alih yang akan memberi panduan asas tentang cara-cara memproses Pelepah Kelapa Sawit (PKS) kepada makanan ternakan ruminan yang boleh dilakukan sendiri oleh penternak.

MARDI MYJagung

Aplikasi yang menyediakan panduan berkaitan teknologi pengeluaran jagung manis. Maklumat yang terkandung dalam aplikasi ini boleh dijadikan sebagai bahan rujukan dalam pembangunan industri jagung manis malaysia.

Kandungan adalah dalam bentuk multimedia bagi memudahkan pengguna lebih memahami kaedah penanaman jagung.

MARDI MyKompos

Merupakan aplikasi mudah alih yang memaparkan maklumat berkaitan proses penguraian (pengoksidaan) sisa buangan organik kepada bahan akhir yang stabil yang boleh digunakan semula untuk tanaman.

Aplikasi juga mempunyai pangkalan data bahan campuran pembuatan kompos bagi membantu pengguna mendapatkan campuran kompos terbaik dalam menghasilkan kompos.

MARDI MYOnFarmFruits

Aplikasi ini telah dibangunkan berdasarkan maklumat pencirian dan penilaian spesies buah-buahan daripada tiga genus iaitu Mangifera (mangga), Nephelium (rambutan) dan Garcinia (manggis) yang terdapat di halaman rumah atau kebun petani di enam kawasan yang terlibat. Maklumat yang dipaparkan adalah seperti data pasport, data morfologi pokok dan buah yang direkod oleh petani-petani dibantu oleh MARDI dan Jabatan Pertanian. Kegunaan dan pengetahuan tradisional serta gambar-gambar bagi spesies pokok buah-buahan tersebut juga direkodkan.

Dalam usaha merekodkan maklumat-maklumat ini, bancian telah dijalankan di enam kawasan di Malaysia, iaitu daerah Yan dan Bukit Gantang di Semenanjung Malaysia, Papar dan Kota Belud di Sabah, sertajuga Sibuti dan Serian di Sarawak. Maklumat ini adalah sumbangan komuniti yang terlibat secara langsung dengan projek antarabangsa pemuliharaan buah-buahan tropika yang bertajuk ‘Pemuliharaan dan Penggunaan Lestari Kepelbagaian Buah-Buahan Tropika yang ditanam dan Liar: Menggalakkan Kehidupan Lestari, Jaminan Makanan dan Perkhidmatan Ekosistem’ dengan pembiayaan oleh United Nation Environment Programme (UNEP) dan Global Environment Facility (GEF).

MARDI MyPerosakPadi

Hasil tanaman padi dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan antaranya adalah serangan daripada perosak dan penyakit serta persaingan daripada rumpai. Pengurusan perosak, penyakit dan rumpai merupakan komponen yang amat penting dalam menjamin kelestarian pengeluaran hasil tanaman padi.

Aplikasi mudah alih ini bertujuan untuk memberikan sedikit maklumat kepada petani tentang bagaimana untuk mengenal dan mengurus perosak, penyakit mahupun rumpai di sawah padi supaya hasil tanaman dapat ditingkatkan.

MARDI Lembu Brakmas

Aplikasi mudahalih yang memberi pendedahan ringkas mengenai konsep penternakan lembu Brakmas secara integrasi di bawah tanaman kelapa sawit. Aplikasi juga disertakan dengan kalkulator mengira karkas lembu brakmas.