Peningkatan dan kes sebegini bukan sahaja menakutkan tetapi menggerakkan kita untuk untuk melakukan sesuatu bagi meningkatkan tahap kewaspadaan. Malah baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, 40 kematian dicatatkan akibat denggi sepanjang tempoh dari 1 Januari hingga 25 Februari lalu.

Justeru, semua pihak perlu berada pada tahap berjaga-jaga kerana penyakit ini mengancam nyawa tetapi kesedaran sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu ada usaha tahap tertinggi bagi persediaan menghadapi ancamannya sepanjang masa.

Orang ramai yang terdedah kepada penyakit ini perlu mengambil tahu mereka berisiko dan mengambil langkah berjaga-jaga termasuklah antaranya membersihkan kawasan daripada ‘sarang’ denggi.

Kerajaan perlu melakukan sesuatu dan sejak beberapa tahun lepas kemajuan teknologi telah dimanfaatkan dengan pembangunan aplikasi mudah sebagai sumber maklumat dalam mengetahui perkembangan wabak ini setiap masa.

Aplikasi yang dibangunkan itu merupakan kerjasama agensi kerajaan melibatkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Remote Sensing Malaysia yang menawarkan teknologi berasaskan penggunaan penderiaan jauh menggunakan satelit.

Agensi berkenaan menawarkan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang dimanfaatkan untuk pembangunan sistem aplikasi berkenaan.

Menurut Ketua Pengarahnya, Azlikamil Napiah, pembangunan aplikasi tersebut bertujuan sebagai medium yang memberikan maklumat terkini status denggi di negara ini termasuklah antaranya status taburan kes dan kawasan wabak denggi dikemas kini setiap hari.

Pembangunan aplikasi yang akhirnya dinamakan i-Dengue bermula dengan kaedah konvensional iaitu antara lain petugas terpaksa melukis peta dan dikongsikan dengan pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

“Sebagai penyedia teknologi, kami bekerjasama dengan mengembangkan secara dalaman dengan menggembleng kepakaran sedia ada. Contohnya Kementerian Kesihatan mempunyai doktor dan kita (Remote Sensing) ada pakar remote sensing, GIS dan GPS. “Kita bangunkan teknologi ini tanpa melibatkan kos yang akan membebankan kerajaan,” ujarnya.

Dengan adanya kemudahan tersebut, kita memberi input berguna untuk kemudahan pihak berkuasa dan menghasilkan Sistem Pengurusan Wabak Denggi (SPWD) yang dimulakan pada 2011 dan dibangunkan menerusia tiga versi dari 2011 hingga 2016.

SPWD membolehkan semua maklumat berkaitan denggi digabungkan dalam satu platform dan wujudlah portal Sistem i-Dengue Untuk Komuniti (i-Dengue). Dua tahun kemudian Mobile i-Dengue dihasilkan dan pada 2016 dalam bentuk aplikasi yang boleh dicapai menerusi sistem operasi android.

Teknologi aplikasi itu membolehkan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui kedudukan status denggi, sekali gus dapat membantu mereka merancang persediaan pada tahap yang tinggi.