Jumlah terkini rakyat Malaysia ialah 32 juta orang. Setakat 30 Jun lalu sebanyak 14,622,881 rakyat negara ini telah mendaftar sebagai pengundi. Bagaimanapun sebanyak 3,797,785 rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas dan layak mengundi didapati masih belum mendaftar. Kebanyakannya golongan belia berusia 21 hingga 39 tahun.

Kenapa rayuan dan kempen yang saban tahun dikumandangkan masih belum menarik minat warganegara ini yang sudah layak untuk mendaftar sebagai pengundi?

Apa punca golongan yang boleh dikategorikan serba tahu tentang isu politik melalui laman sosial tetapi masih liat untuk menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-14. Perkara ini perlu diambil perhatian oleh SPR dan parti politik yang membentuk Kerajaan Pusat melalui kerusi terbanyak di Parlimen dan yang memerintah kerajaan negeri menerusi penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri.

Adakah keengganan atau rasa tidak peduli golongan tersebut ada kaitan dengan punca seperti yang berikut?

Bagi golongan yang sudah melihat satu hingga lima daripada 13 siri pilihan raya umum (PRU – purata tempoh berlangsung 4 tahun 6 bulan), mereka mungkin bosan dengan permainan parti politik yang memburuk-burukkan satu sama lain. Pemimpin sesama Islam pun saling hina-menghina. Apabila ada kes jenayah atau mahkamah, apatah lagi skandal, habis peribadi pihak kena tuduh dibogelkan. Soal benar atau fitnah ditolak tepi.

Kalau begini perangai ahli politik, bagaimana rakyat biasa hendak turut terlibat dalam proses memilih wakil rakyat pada PRU. Apa maknanya mereka mendaftar tetapi calon yang hendak dipilih itu mereka tidak kenal peribadinya secara mendalam. Entah baik atau sama sahaja seperti yang lain. Siapa yang mahu memangkah kotak pada lambang parti tertentu sedangkan peribadi calonnya entah apa-apa.

Individu yang tidak mahu mendaftar menjadi pengundi ada yang beranggapan kalau mereka pilih mana-mana calon, kehidupannya tidak mendapat apa-apa. Kalau dia kaya hidupnya akan kaya, manakala kalau dia miskin – tidak banyak yang wakil rakyat boleh membantu.

Masa berkempen cakap macam-macam dan sanggup redah ceruk kampung dan tidak cukup tidur untuk bertemu orang ramai, tapi bila menang susah pula untuk berjumpa. Apatah lagi zaman tekno­logi komunikasi dan mak­lumat sekarang, apa-apa keperluan mereka bo­leh buat sendiri tanpa meng­harap bantuan wakil rak­yat.

Paling membimbangkan apa­bila ada golongan yang takut jika tersalah pi­­­lih calon sebagai Ah­li Par­­limen ataupun Ah­li Dewan Undangan Ne­­geri. Kalau dapat me­me­­­nangkan calon yang be­­nar-benar berhati mulia dan sedia berkhidmat – untunglah, tapi kalau se­baliknya yang berlaku, tim­bul rasa bersalah wa­lau­­pun cuma beri satu undi. Kebimbangan dan sikap curiga dan tidak per­caya pada ahli politik ini mendorong mereka sang­gup melepaskan tanggungjawab sebagai penentu parti politik yang memimpin kerajaan.

Melihat perkembangan sejak tahun lepas dan sebelumnya terhadap kes rasuah yang membabitkan orang politik, menambahkan lagi hilang keyakinan golongan tersebut untuk mendaftar. Apakah calon yang bakal mendapat satu undi daripada mereka, akan menggunakan mandat dan kuasa yang diberi untuk mengaut kekayaan dengan cara menyeleweng, salah guna kuasa dan rasuah?

Jumlah hampir 3.8 juta yang belum mendaftar sebagai pemilih memang membimbangkan. Adakah perangai sesetengah wakil rakyat bersama orang sekelilingnya dengan gaya hidup berubah sekelip mata – bertukar kereta mewah, tinggal di rumah banglo dan berbelanja mewah – tidak diper­hatikan oleh golongan berumur lebih 21 tahun?

Golongan ini sudah tentu bertanya, apa makna mereka memilih calon parti jika khidmat kepada rakyat tidak sebanyak mana berbanding kekayaan yang dikaut. Jika begini keadaannya lebih baik mereka tidak jadi pemilih daripada bersubahat memilih orang yang tidak amanah.

Memikirkan punca-punca yang mungkin masih berada dalam fikiran golongan yang dikatakan enggan bertindak sebagai warganegara yang bertanggungjawab, ahli-ahli politik baik Barisan Nasional atau pakatan pembangkang harus mengubah sikap.

Peluang menjadi calon PRU dan menang sebagai wakil rakyat bukan untuk meraih peluang menambah kekayaan dan kuasa, sebaliknya untuk berbakti kepada rakyat.


Daftar Secara Automatik

Satu pilihan jika tidak mahu isu berjuta rakyat Malaysia tidak mahu mendaftar sebagai pengundi maka benarkan SPR melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik. Langkah ini memudahkan pendaftaran baharu terutama dalam kalangan anak muda. Lagipun ia berguna untuk menggantikan sistem pendaftaran sekarang yang dilihat menghadapi beberapa masalah.

Sistem ini boleh dilakukan dengan SPR mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyalurkan senarai warganegara yang sudah berumur 21 tahun sebagai salah satu kaedah pelaksanaan pendaftaran itu.

Pelaksanaan sistem itu kelak akan menunjukkan SPR tidak memaksa rakyat mengundi kerana hak mengundi masih terletak di tangan pengundi. Bila tiba tarikh PRU, terserah kepada pengundi baharu tersebut. Soal parti politik mana yang mereka akan pilih, biar mereka yang menentukan sebab itu hak mereka.

Yang penting, masalah orang Melayu yang dikatakan memandang remeh pendaftaran sebagai pengundi akan dapat diatasi. Bila ada rakyat kita sudah mencapai umur 21 tahun maka mereka layak secara automatik sebagai pengundi. Soal mahu atau tidak pengundi baharu itu keluar membuang undi pada pilihan raya, terserah kepada mereka. Sekurang-kurangnya jumlah yang keluar mengundi bertambah.

Kepada pengundi baharu daripada orang Melayu, tidak mungkin mereka tiada perasaan untuk menyokong calon Melayu kerana mereka juga perlu diingatkan jangan terus dibuai mimpi siang bahawa bumi yang dipijak ini akan kekal di tangan Melayu hingga ke anak cucu.