Menurut kenyataan Angkasa, pertandingan tersebut merupakan sebuah program pendidikan sains angkasa yang melibatkan penulisan esei saintifik oleh pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

Cassini Scientist for a Day merupakan sebuah pertandingan esei peringkat antarabangsa yang pada asalnya dianjurkan oleh Jet Propulsion Laboratory, California Institute of Technology di bawah Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS) semenjak tahun 2013.

“Pertandingan ini menyediakan satu peluang unik kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh dunia untuk menjadi saintis NASA bagi kajian planet Zuhal (Saturn), kata kenyataan tersebut

Secara asasnya, peserta akan diberikan tiga gambar yang diambil oleh kapal angkasa Cassini untuk tujuan penyelidikan sains angkasa.

Peserta perlu memilih salah satu gambar yang difikirkan akan memberikan keputusan saintifik yang terbaik.

Pilihan peserta harus disokong dengan penjelasan dan penerangan saintifik dalam bentuk penulisan esei.

Topik esei setiap tahun adalah berbeza. Topik esei bagi sesi 2015-2016 adalah berhubung kait dengan planet Zuhal (Saturn) khususnya lingkaran cincin di sekeliling planet Zuhal, sistem bulannya yang dinamik seperti Rhea and Teth.

Selain pelajar di Amerika Syarikat, pertandingan esei Cassini Scientist for a Day juga telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar-pelajar dari seluruh dunia, antaranya Brazil, Kanada, India, Itali, Maghribi, Pakistan, Romania, Singapura, Turki dan Venezuela serta juga dari negara rantau Eropah.

Untuk kali pertama, Malaysia akan mengambil bahagian dalam pertandingan ini bagi sesi 2015 dan 2016 dan akan bermula dari peringkat kebangsaan dalam negara.

Program itu bukan satu pertandingan semata-mata tetapi guru-guru sekolah digalakkan untuk menjadikan penulisan esei itu supaya dimanfaatkan dalam mata pelajaran Sains atau Bahasa Inggeris di kelas sekolah.

Pertandingan akan melibatkan dua jenis pembelajaran iaitu pembelajaran berasaskan inkuiri (inquiry-based learning) dan pembelajaran berasaskan masalah (problem-based learning).

Oleh demikian, adalah diharapkan pertandingan berbentuk saintifik seperti ini dapat menyokong proses pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di sekolah terutama dalam bidang sains angkasa dalam kalangan generasi muda dalam negara.

Pertandingan esei Cassini Scientist for a Day akan ditutup pada hari Isnin, 3 Jun 2016.

Pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara dialu-alukan menyertai pertandingan melalui guru sekolah masing-masing.

Maklumat lanjut berkenaan program ini boleh dirujuk kepada laman sesawang Angkasa iaitu http://www.angkasa.gov.my.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Jong Tze kian di talian 03-22734303 atau e-mel tkjong@angkasa.gov.my.