Lambakan landak laut boleh mengganggu ekosistem di sesebuah kawasan perairan dengan menjadikan ia kawasan yang tidak sesuai untuk aktiviti riadah.

Pensyarah Institut Penyeldikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Muhammad Ali Syed Hussin berkata, terdapat lebih 900 spesies landak laut dari kelas Echinoidea di dunia. Di Malaysia sehingga kini terdapat antara 10 hingga 12 spesies landak laut telah dikenal pasti oleh penyelidik universiti tempatan.

Berkongsi cerita mengenai lambakan landak laut di kawasan jeti Pusat Kecemerlangan Perahu Layar, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Teluk Sepanggar, Muhammad Ali berkata, terdapat beberapa punca mengapa ia berlaku.

“Antara punca tersebut adalah mungkin disebabkan kawasan ini yang agak terlindung apabila benteng pemecah ombak dibina.

“Dengan adanya benteng ini, ia menyebabkan pergerakan lava landak laut tidak dapat tersebar dengan luas dan hanya tertumpu di sesuatu kawasan sahaja yang mengakibatkan populasi landak laut tersebut meningkat.

“Selain itu, kawasan yang terlindung dengan aliran sungai yang berdekatan juga boleh menyebabkan pertambahan sumber makanan kepada landak laut di sini.

“Di kawasan ini juga mungkin kurang dengan pemangsa landak laut yang boleh menyebabkan antara faktor berlaku peningkatan yang melampau dan tidak terkawal lambakan landak laut di sini,” jelasnya.

Tambah Muhammad Ali, ikan besar seperti kerapu dan buntal merupakan antara pemangsa kepada landak laut.

“Ikan ini mampu memasukkan landak laut ke dalam mulutnya dan dengan menggunakan otot mulut, spesies tersebut mampu mematahkan duri landak laut tersebut yang lembut dan rapuh sebelum ia ditelan,” katanya.

Lambakan landak laut menyebabkan pembesaran dan tumbesaran terumbu karangnya di kawasan ini terganggu kerana landak-landak laut akan melekat di terumbu tersebut dan mengikis permukaan substrat kawasan batuan karangan bagi mendapatkan sumber makanan.

“Kawasan substrat tersebut akan dikikis oleh landak laut dan menyebabkan anak-anak terumbu karang mati.

“Walau bagaimanapun, sekiranya ia berada pada karangan yang besar dan stabil, ia tidak akan menyebabkan masalah kerana ia hanya akan memakan alga dan bahan organik yang terdapat pada batuan tersebut,” jelasnya.

Selain itu, lambakan landak laut juga akan mengehadkan aktiviti laut seperti aktiviti menyelam dan snorkeling.

“Sebagai contoh di kawasan ini, ia akan mengganggu daripada segi aktiviti air kerana ia boleh mendatangkan kecederaan sekiranya mereka terpijak duri landak laut di kawasan berkenaan.

“Duri landak laut adalah bersifat rapuh serta mempunyai cangkuk-cangkuk halus bertentangan arah yang menghalang ia dari dicabut.

“Bagi mengeluarkan duri tersebut, mangsa hanya perlu menekan kawasan tusukan untuk mematahkan duri tersebut agar ia dapat diserap oleh badan dengan semula jadi kerana duri tersebut tidak mengandungi toksin berbanding ikan sembilang atau ikan buntal yang mengandungi duri yang beracun.

“Cuma mangsa mungkin akan rasa tidak selesa tapi lama kelamaan tubuh badan akan dapat menyesuaikan rasa ketidakselesaan tersebut,” tambahnya.

Muhammad Ali turut berharap pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk memastikan keseimbangan ekosistem dan populasi landak laut tidak menjejaskan pertumbuhan terumbu karang Teluk Sepanggar itu.

Panglima Logistik Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Ir Ow Kiat Bin berkata, program Jiwa Murni Mega Dive yang julung kali dianjurkan itu bertujuan memberi kesedaran tentang kewujudan landak laut yang banyak di sekitar kawasan perairan dan menjejaskan kehidupan dan pembiakan terumbu karang.

Beliau berkata, seramai 300 peserta termasuk penduduk Kampung Gentisan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Laut, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai program berkenaan.

Katanya, selain mengumpul landak laut, agensi berkenaan juga mengadakan aktiviti mengutip sampah di kawasan Pulau Udar hingga ke kawasan Pulau Marzu selain memasang tiga tukun tiruan yang telah ditanam dengan anak terumbu karang atau nubbins di sekitar kawasan jeti.

“Paling menarik, kami turut melibatkan penduduk kampung bagi meningkatkan kesedaran mereka agar tidak membuang sampah sewenang-wenangnya dan juga menyerahkan landak-landak laut yang telah dikutip kepada mereka,” jelasnya kepada media selepas majlis pelancaran program berkenaan.

Dalam program berkenaan, kira-kira 5,000 landak laut jenis Diadema setosum berjaya dikutip dan diagihkan kepada orang kampung.

Sementara itu, seorang penduduk kampung Gentisan, Polstah Utuhali, 42, berkata, dia sangat gembira kerana dapat bersama-sama menjayakan program berkenaan tersebut.

“Selain dapat bersama-sama menjayakan program ini, kami juga dihadiahkan dengan landak laut yang dikutip dan rezeki ini akan dikongsi bersama dengan penduduk kampung yang lain.

“Landak laut ini merupakan makanan tradisi suku kami dan ia agak mahal di pasaran, selain digoreng bersama bawang atau dimakan mentah serta dibuat kuih tradisi masyarakat Bajau Ubian,” katanya.

Ibu kepada sembilan anak itu berharap aktiviti seumpama ini dapat diadakan dengan lebih kerap kerana selain dapat menikmati isi landak laut ini, program tersebut juga dapat membantu menjaga alam sekitar.- ASMIDAR ZAINOL