Gempa bumi berkenaan berpusat pada dasar laut lebih kurang 70 km dari timur bahagian Tohuku dan 30 kilomter (km) di bawah dasar permukaan laut.

Gempa berterusan selama enam minit.

Gempa bumi tersebut mencetuskan ombak tsunami setinggi puluhan meter melanda pesisiran pantai kawasan Fukushima dan menyebabkan kegagalan sistem penyejukan loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi, yang mengakibatkan kejadian peleburan reaktor.

Insiden itu menyebabkan pelepasan bahan radioaktif berskala besar sejak kemalangan Chernobyl, Rusia pada 26 April 1986, ke persekitaran dan ke dalam Lautan Pasifik.

Tiga radionuklid yang dikenal pasti sebagai bukti penunjuk pencemaran bahan radioaktif kejadian kemalangan nuklear ialah Iodin-131 (I-131) yang mempunyai separuh hayat lapan hari, Sesium-134 atau Caesium-134 (Cs-134) dengan separuh hayat dua tahun dan Sesium-137 (Cs-137) yang mempunyai separuh hayat 30 tahun.

Ketiga-tiga radionuklid ini dijadikan sebagai penujuk, disebabkan ia mudah meruap, Cs mudah larut dan mereka melepaskan sinar gama yang mudah dikesan.

Satu bahan radioaktif boleh melepaskan sinar alfa, sinar beta, sinar gama atau kombinasi sinar tersebut untuk tempoh masa sehingga sepuluh kali nilai separuh hayat mereka sebelum bertukar menjadi unsur lain.

Pada Mei 2012, lebih setahun selepas kejadian Fukushima, pengendali loji tersebut, Syarikat Bekalan Elektrik Tokyo (Tepco) melaporkan jumlah pelepasan radionuklid ke persekitaran adalah sebanyak 511 PBq I-131, 13.5 PBq Cs-134 dan 13.6 PBq Cs-137. (Ukuran PBq bersamaan dengan 1 x 1015 Bq.)

Becquerel (Bq) adalah unit ukuran antarabangsa bagi nilai keradioaktifan, yang ditakrifkan sebagai keaktifan sejumlah bahan radioaktif dalam mana satu nukleus mereput setiap saat.

Bagi menilai kesan insiden tersebut ke atas persekitaran marin di negara ini, kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntuk geran ScienceFund sebanyak RM369,000 kepada Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) untuk menerajui kajian tersebut di persekitaran marin.

Projek tersebut bertajuk Mengkaji Kesan dan Impak Pembebasan Radiokatif daripada Kemalangan Loji Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi Ke Persekitaran Marin Malaysia dijalankan bermula 1 November 2011 hingga 1 Oktober 2014.

Projek tersebut diketuai penyelidik kanan Nuklear Malaysia, Dr. Abdul Kadir Ishak dan dijalankan dalam dua peringkat.

Peringkat pertama adalah menjalankan aktiviti persampelan air laut dan biota marin di lima stesen pemantauan tetap di pesisir pantai antara tahun 2012 hingga 2013.

Lima stesen tersebut adalah Pulau Perhentian, Pulau Tioman, Pulau Kuraman (Labuan), Pulau Bakungan Kechil (Sandakan) dan Pelabuhan Bintulu. Kesemua stesen ini dipilih sebab ia menghadap ke arah Jepun. Sampel biota yang diambil terdiri daripada ikan aya kurik (Eastern little tuna), ikan kembung (Indian mackerel), ikan pari bintik (White spotted whispery), sotong biasa (Sword tip squid), udang kertas (Banana prawns) dan rumpai laut tambalang perang (Brown tambalang, kappaphycus seaweed).

Peringkat kedua merupakan satu ekspedisi pelayaran persampelan air laut dan sedimen marin di luar pesisir dan kawasan laut dalam di Laut China Selatan. Ekspedisi tersebut dijalankan pada 7 hingga 21 April 2014 melibatkan 10 staf dari Nuklear Malaysia dengan menggunakan khidmat kapal KL Cermin dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Malaysia.

Kesemua sampel dibawa balik ke makmal Kumpulan Radiokimia dan Alam Sekitar (RAS) di Nuklear Malaysia untuk diproses dan diukur.

Peralatan pengukuran utama yang digunakan ialah Sistem Spektrometri Gama. Khidmat pengukuran gama di RAS telah memperoleh akreditasi dari Jabatan Standard Malaysia sejak tahun 2005 lagi.

Semasa projek tersebut dilaksanakan, I-131 dijangka telah mereput sepenuhnya disebabkan kejadian telah melebihi 80 hari selepas kejadian. Maka, ia tidak diukur dan hanya Cs-134 dan Cs-137 sahaja yang diukur.

Hasil kajian mendapati bahawa Cs-134 tidak dikesan dalam semua sampel air laut, sedimen mahupun biota, manakala paras Cs-137 dalam air laut didapati tidak lebih daripada 2.5 Bq setiap meter padu air.

Dalam sedimen pula kandungannya tidak lebih daripada 2 Bq setiap kilogram sedimen kering, manakala di dalam sampel biota tidak lebih dari 0.25 Bq setiap kilogram berat segar biota.

Oleh kerana hanya Cs-137 dikesan, manakala Cs-134 tidak dijumpai dalam semua sampel berkenaan. Maka dipercayai Cs-137 yang dijumpai itu merupakan hasil tinggalan daripada ujian senjata nuklear era tahun 1950-an hingga 1980-an di Lautan Pasifik dan bukan dari kejadian nuklear Fukushima.

Sebagai perbandingan, radionuklid K-40 yang mempunyai sifat tindak balas kimia menyerupai Cs-137.

Cs-134 adalah radionuklid yang wujud secara semula jadi di sekeliling kita.

Seorang manusia dewasa seberat 70 kilogram (kg) mengandungi kira-kira 4,300 Bq K-40 dalam badannya, atau lebih kurang 60 Bq setiap kilogram (kg) berat badan.

Menurut laporan United Nations Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation (UnScear) tahun 2000, purata K-40 di dalam tanah di Semenanjung Malaysia adalah 310 Bq setiap kg berat tanah.

Pada peringkat antarabangsa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sentiasa memantau perkembangan insiden di Fukushima dengan mendapat laporan selalu dari pihak Jepun.

Selain itu, pihak IAEA juga sentiasa memberi maklumat berkenaan kajian keradioaktifan marin yang dijalankan di seluruh dunia menerusi makmal persekitaran marin IAEA berpangkalan di Monaco.

Nuklear Malaysia sentiasa pantau

Kegunaan teknologi nuklear adalah pelbagai yang memberi manfaat kepada ramai.

Contoh dalam bidang perubatan, radioisotop digunakan untuk menjejak sel sel kanser dengan menyuntiknya pada gula. Oleh kerana gula amat dikehendaki oleh sel kanser sebagai pemberi tenaga, maka gula tersebut dapat dikesan untuk menjejak sel berkenaan.

Mengulas lanjut Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) Datuk Dr. Mohd. Ashhar Khalid berkata, pihaknya sentiasa memantau dan membuat kajian jika berlaku sebarang gangguan terhadar reaktor nuklear di negara-negara tertentu dengan mengambil sampel untuk dianalisis.

Hal yang sama yang dilakukan apabila letupan berlaku di Rusia sebelum itu dengan memeriksa makanan yang diimport dari negara negara yang terletak di sekitar kejadian.

Sampel yang diambil antaranya termasuk hasil tangkapan dari laut seperti ikan, udang dan sotong sertai rumpai dan sedimen dianalisis untuk membangunkan satu pangkalan data bagi kegunaan rujukan akan datang.

“Kajian yang dijalankan ekoran insiden Fukushima adalah ekspedisi terbesar yang diadakan membabitkan Nuklear Malaysia dan pihak lain temasuklah bersama Jabatan Taman Laut sebelum ini,’’ ujarnya.

Katanya lagi, Nuklear Malaysia juga menerima permohonan dari negara luar untuk menyumbang kepakaran tertentu.