Terbaharu, sempena dengan kempen promosi Tahun Melawat Perak 2017 dan Program Perak Plate, ABMS telah membawa 63 produk IKS seperti snek, kordial, makanan sejuk beku dan makanan laut untuk diperluas di pasaran negara itu.

Bukan itu sahaja, ABSM turut memainkan peranan serius dengan menyewa hampir 279 meter persegi (3,000 kaki persegi) ruang pameran di Pasar Raya Big Box Singapura untuk menempatkan produk IKS tempatan selain mengedarkannya di Mustafa Centre dan The Halal Supermarket Singapura.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sempena program Perak Plate, beberapa menu tradisi istimewa negeri Perak seperti putu perak, cucur peneram, ikan pekasam, mi kicap dan rendang masak hitam boleh dinikmati di ABMS oleh rakyat Singapura.

“Selain memperkenal menu tradisi, kerajaan negeri turut mempromosikan ekopelancongan menarik di negeri Perak yang bertaraf antarabangsa seperti Hutan Simpan Royal Belum, Pulau Pangkor, Lembah Lenggong, Gua Tempurung, Banjaran dan Sungai Klah serta Bandar Diraja Kuala Kangsar.

“Apa yang lebih penting, ABMS boleh dijadikan sebagai platform terbaik bagi usahawan Perak untuk memasuki pasaran Singapura kerana kesemua produk yang hendak dipasarkan akan melalui pemilihan ketat dan penilaian kualiti bagi menarik minat rakyat Singapura,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Perak Plate dan Tahun Melawat Perak 2017 di Singapura baru-baru ini.

Yang turut hadir Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Singapura, Muhammad Faishal Ibrahim (kiri); Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Mansor Omar; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk K. Ilango.

Sebelum ini, ABMS telah mempromosikan produk berasaskan pertanian dan IKS bagi beberapa negeri lain seperti Melaka yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Terengganu yang dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menurut Zambry lagi, Perak telah menyasarkan peningkatan jumlah pelancong dari Singapura ke negeri itu pada tahun 2017.

“Kehadiran pelancong Singapura didapati meningkat setiap tahun dan dijangka akan bertambah pada 2017 berikutan kempen pelancongan terbesar dilancarkan oleh negeri Perak.

“Justeru, saya berharap agar semua agensi seperti FAMA dan agensi-agensi lain dapat bersifat terbuka untuk bekerjasama dengan negeri Perak supaya dapat membina dan mengembangkan industri asas tani dengan lebih jauh,” ujarnya.