Dijangka bilangan penduduk dunia akan meningkat mendadak kepada 9.7 bilion menjelang 2050, sekali gus akan turut menyebabkan peningkatan dan perubahan dalam trend permintaan makanan.

Ini akan membawa peningkatan permintaan makanan sebanyak 70 peratus berbanding hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, bidang pertanian juga menghadapi cabaran yang merangkumi kesan alam sekitar akibat daripada pertanian moden, perubahan iklim dan sumber terhad seperti tenaga buruh, tanah dan air.

“Oleh itu, kebimbangan berkaitan keselamatan makanan merupakan isu yang melanda kebanyakan negara termasuk negara membangun dan ekonomi baharu di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Isu-isu utama yang merangkumi pertanian negara termasuklah memastikan keselamatan makanan bagi penduduk dengan usaha untuk mengekalkan dan meningkatkan eksport hasil pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Simposium Bersama, Kongres Pertanian Antarabangsa (IAC) Kelapan dan Simposium Antarabangsa Keenam Untuk Makanan dan Pertanian (ISFA) 2018 di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail; Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Aini Ideris; Pengerusi Malayan Flour Mills Bhd (MFM), Tan Sri Arshad Ayub dan Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi serta pensyarah Fakulti Pertanian, Prof. Dr Mohd. Salleh Kamarudin.

Dalam pada itu kemampuan menghasilkan makanan yang mencukupi dan serat untuk penduduk dunia bergantung kepada teknologi moden serta keusahawanan untuk memenuhi peningkatan dalam permintaan makanan, selain penggunaan teknologi perlu diperkasa selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dalam bidang pertanian seperti saranan kerajaan.

Hal itu termasuk memperkasa Internet of Things (IoT), teknologi simulasi, analisis big data, ekonomi digital, pengeditan genom dan sains bioperubatan yang akan membawa kepada kemampanan, kecekapan dan kualiti sistem rantaian.

“Melalui penggunaan IoT, petani kini boleh memantau dan menguruskan pertanian seperti persenyawaan, percantuman, aplikasi racun perosak, pengairan dan penuaian secara tepat. Kerajaan akan pastikan bahawa pendekatan ini dapat diaplikasikan secepat mungkin.

“Telah ada beberapa kumpulan anak muda menceburi bidang integrasi penternakan, tanaman sayur-sayuran yang menggunakan teknologi ini.

“Saya berharap dalam masa lima tahun akan datang, bidang pertanian dapat digitalkan secara keseluruhan,” jelasnya.

Justeru, kelebihan teknologi tersebut perlu diterima baik pada semua peringkat kerana penggunaannya dijangka dapat mengurangkan beban kerja semasa, kos ketara dan kebergantungan terhadap pekerja terutama ketika operasi berbahaya.

Ketika ditanya mengenai bekalan makanan daripada hasil pertanian ketika menghadapi risiko banjir akibat musim tengkujuh, Salahuddin berkata, pihaknya bersedia dengan pelbagai tindakan untuk menghadapi cabaran tersebut termasuk mengimport dari negara luar.

“Kita sudah bincangkan sejak enam bulan lepas dan bersedia dengan pelbagai tindakan dan bantuan akan diberikan sekiranya berlaku bencana.

“Bekalan juga sudah disediakan, namun sekiranya menghadapi kekurangan bahan, kita akan import dari negara jiran,” katanya lagi.

UPM kerjasama dengan MFM

Universiti Purta Malaysia baru-baru ini menandatangani memrundum persefahaman (MoU) dengan MFM dalam pembangunan sistem rumah tertutup untuk ayam pedaging (broiler) kepada Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian.

Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, kos pembinaan sistem rumah tertutup ini dianggarkan RM500,000.

“Kerja asas rumah ayam yang tertutup itu kini sedang berjalan dan akan selesai menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu akan membantu UPM mencapai matlamat untuk meningkatkan Perkhidmatan Rangkaian Industri dan Komuniti, serta mengukuhkan UPM sebagai Pusat Kecemerlangan Unggas.

“Penyelidikan yang dijalankan oleh pakar UPM dengan industri melalui program kerjasama juga akan membantu industri menyelesaikan masalah mereka di lapangan. UPM sentiasa mencari kerjasama strategik dengan industri tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata, UPM mempunyai kepakaran dalam sektor ternakan yang komited untuk membantu meningkatkan pengeluaran dan kualiti ayam pedaging, yang selaras dengan matlamat MFM

“MFM akan menyediakan tiga biasiswa penuh untuk tiga pelajar Sains Haiwan bermula September tahun hadapan bagi mengikuti subpengkhususan dalam pengeluaran ayam di Universiti Arkansas, Amerika Syarikat selama satu tahun,” katanya.

Kerjasama antara UPM dan MFM bermula dengan lawatan wakil-wakil syarikat berkenaan ke UPM awal November tahun lalu. Ia diikuti dengan lawatan ke Universiti Arkansas yang turut membincangkan mengenai penyelesaian masalah pengeluaran ayam jangka panjang dalam pelbagai aspek penting ekonomi seperti pengurusan, pemakanan, kualiti bahan mentah (untuk makanan), pemprosesan hiliran produk ayam berkenaan, kesejahteraan penternakan ayam dan pengkomposan kotoran ayam.

l Tarikh 22 November hingga 2 Disember 2018.


l Lokasi: Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

l Lagu Hang Pi Maha yang telah dinyanyikan oleh Yabang.

l MAHA 2018 yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempunyai 35 rakan penaja.

l Berlangsung selama 11 hari di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, MAHA 2018 masih mengekalkan tema sama, Makanan Kita, Masa Depan Kita.

l Dijangka menarik lebih 3.5 juta pengunjung menerusi pelbagai aktiviti termasuk 13 pavilion negeri, 501 juadah popular, jualan segar 11,111 produk dan banyak lagi.

l Sejumlah 1,500 gerai jualan dan pameran juga dibuka sepanjang acara berlangsung

l MAHA 2018 akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.

l Terdapat lima tarikan baharu pada MAHA 2018 seperti

* Kulinari

* Sumber rezeki baharu

* Teknologi terkini

* Jualan industri asas tani berkonsepkan pasar raya besar

* Taman ajaib (Miracle Garden).

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 yang bakal berlangsung esok hingga 2 Disember ini memperjelas sekali lagi komitmen kerajaan dalam isu berkaitan keselamatan makanan.

Penganjuran MAHA bukanlah baharu di negara ini, tetapi diadakan sejak lama dahulu. Mungkin ramai yang tidak tahu, MAHA sebenarnya telah berusia lebih 90 tahun.

Pameran tersebut kali pertama telah dianjurkan pada 1923. Ia adalah antara ekspo pertanian dan makanan yang terbesar dan paling lama bertapak di rantau ini. Walau bagaimanapun MAHA melalui evolusi dari segi pengisian dan lokasi serta matlamatnya termasuklah dijenamakan semula sesuai dengan perkembangan semasa.

Bermula 2006, MAHA dianjurkan di tapak kekal di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). MAEPS meliputi kawasan yang amat besar saiznya, iaitu 110 hektar (350 ekar) , dan amat bertepatan menjadi lokasi pameran pertanian yang terulung ini.

Pemilihan tema Makanan Kita Masa Depan Kita sejak penganjurannya sebelum ini menunjukkan kerajaan juga mengambil berat mengenai isu keperluan bekalan makanan di negara ini.

Dalam konteks makro, ia menggariskan kepentingan negara kita untuk mempertahan kedaulatan makanan sebagai asas kekuatan negara.

Selain kekuatan ketenteraan dan diplomatik, kesinambungan masa depan negara bergantung kepada kebolehan kita untuk mencapai ‘kemerdekaan’ dalam aspek pengeluaran makanan

Kesinambungan masa depan pengeluaran makanan pula bergantung kepada adanya generasi pelapis yang mempunyai kemahuan dan kemahiran untuk memastikan bidang pertanian dan industri asas tani terus maju dan mampu terus menegakkan kedaulatan negara.

Inilah yang kita katakan sebagai kedaulatan makanan iaitu hak sesebuah negara itu untuk menentukan dan mengawal sumber dan penghasilan bahan-bahan makanannya sendiri, tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak luar.

Kedaulatan makanan ini menjadi salah satu asas kepada kekuatan negara tersebut.

INFO MAHA 2018

INFO

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberikan definisi bahawa sesebuah negara itu dikira sebagai food secure atau terjamin bekalan makanannya sekiranya ia mencapai beberapa kriteria, termasuk lah antaranya:

l Bekalan yang cukup

l Kemampuan rakyatnya untuk mendapatkan makanan.

l Kualiti iaitu memberikan nutrisi yang sesuai dengan kehidupan seharian rakyat

l Keselamatan iaitu selamat untuk dimakan.