KLUANG 18 JULAI 2016 - SEORANG pegawai Penyelidik menunjukkan
Sirrul Asrar Hussain Fatimi menunjukkan proses penghasilan anak pokok sawit yang telah dihasilkan melalui kaedah penyelidikan oleh Felda Global Ventures ( FGV) di Felda Ulu Belitong, Kulai, Johor.- Gambar: MOHD NAIM AZIZ

Kulat tersebut biasa dijumpai di hutan hujan tropika hidup pada batang pokok yang mereput sekali gus tidak menjadi ancaman.

Walau bagaimanapun apabila kulat tersebut mula menyerang tanaman sawit, ia diisytiharkan sebagai musuh nombor satu kepada komoditi tersebut.

Pada awal kemunculannya, penyakit ganoderma tidak dianggap serius sehinggalah mula menyerang ladang-ladang kelapa sawit utama dalam negara dan juga negara jiran iaitu Indonesia.

Menyedari keadaan tersebut Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) menerusi anak syarikatnya, Felda Agricultural Services Sdn Bhd (FASSB) melancarkan tiga produk berinovasi terbaharu. Tiga produk tersebut adalah Yangambi GT1, PalmaGro dan PalmaShield yang mampu mencegah serangan ganoderma.

Menurut Ketua Kluster Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Perkhidmatan Pertanian Kelompok, FGV, Syed Salim Syed Ali, pihaknya mengambil masa hampir 10 tahun untuk membangunkan benih baru Yanggambi GT1. Jelasnya anak benih baharu tersebut dilihat sebagai penyelesaian terbaik untuk jangka panjang bagi menangani serangan ganoderma di ladang sawit.

NILAI 18 JULAI 2016 - Pegawai Penyelidik, Hamdan menunjukkan
Pegawai Penyelidik, Hamdan menunjukkan proses ujian makmal ke atas penghasilan kulat di Pusat Inovasi penyelidikan dan pembangunan kelapa sawit oleh Felda Global Ventures ( FGV) di Bandar Enstek Nilai, Negeri Sembilan. - GambarMOHD NAIM AZIZ 

“FGV menjangkakan penjualan sebanyak 30,000 pokok anak sawit Yangambi GT1 pada tahun ini dan meningkat kepada 100,000 pokok pada tahun depan.

“Ketika ini, FGV menguasai 43 peratus pasaran biji benih sawit tempatan menerusi jenama unggul Yangambi ML161,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Beneficial Microbes Centre (BMC) di Pusat Inovasi FGV, Bandar Enstek, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Anak benih faktor terpenting dalam menentukan hasil sawit. Penanaman anak benih berkualiti dan mengamalkan pengurusan amalan agronomi yang baik berpotensi mencapai hasil buah tandan baik (BTB).

Sawit mempunyai jangka hayat produktif sehingga 25 tahun dan penanaman anak benih tidak berkualiti akan menyebabkan kerugian dalam jangka panjang.

Pengeluaran anak benih berkualiti ditentukan dua faktor utama iaitu penggunaan bahan tanaman dan pengurusan tapak semaian yang baik.

Jelas Syed Salim lagi, ketika ini FGV satu-satunya pengeluar biji benih kalis ganoderma di Malaysia tersebut.

“Penemuan penghasilan bahan tanaman berdaya tahan ini secara tidak langsung akan menguatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama Felda Yangambi,” katanya.

Beliau berkata, selain itu nurseri kajian kulat ganoderma di FASSB, Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor, ditubuhkan pada tahun 2006 membabitkan keluasan asal 1.76 hektar.

“Peningkatan jumlah kajian mendorong keluasan nurseri ganoderma ditambah sehingga mencapai 8.4 hektar pada tahun 2011,” katanya.

Dalam mendepani serangan kulat Ganoderma boninense yang menyebabkan penyakit reput pangkal batang (RPB), penyediaan benih yang berkualti dan rintang kepada penyakit tersebut sahaja tidak 
mencukupi.

KLUANG 18 JULAI 2016 - DUA pegawai Penyelidik menunjukan anak
Pegawai Penyelidik, Hamdan mendemonstrasikan penggunaan bahan untuk penanaman kelapa sawit oleh Felda Global Ventures ( FGV) di Felda Ulu Belitong, Kulai, Johor. - GambarMOHD NAIM AZIZ 

Oleh yang demikian, Felda Global Venture Holdings Bhd. (FGV) menerusi anak syarikatnya, Felda Agricultural Services Sdn Bhd (FASSB) turut menghasilkan dua produk lagi iaitu PalmaGro dan PalmaShield.

Penyelidikan yang dijalankan di Pusat Mikrob Bermanfaat (BMC), Pusat Inovasi FGV, Bandar Enstek, Negeri Sembilan kini membuahkan hasil apabila dua produk tersebut berjaya dihasilkan.

Menurut ketua penyelidik BMC, Hamdan Ibrahim, pusat tersebut memfokus kepada tiga aktiviti kajian utama iaitu Solusi-Bio, Patologi Tumbuhan dan Perlindungan Tanaman dan dua produk tersebut dihasilkan di bawah fokus tersebut.

Jelasnya PalmaGro merupakan produk baja berasaskan bio yang dihasilkan daripada kulat mikorhiza (Arbuscullar Mycorrhiza Fungi-AMF) bagi melawan serangan kulat ganoderma serentak.

“Produk ini berjaya dihasilkan sebanyak 90 tan metrik (m/t) bermula pada tahun 2013, 150 m/t ( 2014) dan 290 m/t pada 2015.

“Secara konsepnya, kita menggunakan kulat baik untuk menentang serangan kulat yang memudaratkan pokok kelapa sawit,” katanya.

Pembangunan PalmaGro bermula dari tahun 2011 lagi apabila penyelidik BMC mula mengumpulkan spesies-spesies AMF dari ladang-ladang kelapa sawit milik FGV.

“Seterusnya sampel tersebut dikultur untuk pelbagai kegunaan dan setiap kitaran AMF mengambil masa sehingga 12 bulan lamanya,” ujar Hamdan.

PalmaGro yang terhasil kini mengandungi hampir 150 spora (debunga kulat) setiap 10 gram (g) bahan tersebut.

Antara spesies yang terdapat di dalamnya adalah Archaespora trappei, Acaulospora tuberculate, Rhizophagus clarus, Acaulospora colombiana, Paraglomus Sp. dan Gigaspore Sp.

Inovasi tersebut telah diuji ke atas pokok kelapa sawit dan berkesan membantu tumbesaran anak pokok sama ada di tapak semaian utama atau prasemaian.

KLUANG 18 JULAI 2016 - TAPAK semaian benih anak sawit yang dihasilkan
TAPAK semaian benih anak sawit yang dihasilkan melalui kaedah penyelidikan dan pembangunan kelapa sawit oleh Felda Global Ventures ( FGV) di Felda Ulu Belitong, Kulai, Johor. - GambarMOHD NAIM AZIZ

Walau bagaimanapun, pada Mei 2016, BMC telah memperkenalkan satu lagi produk baharu bagi menyokong dua produk asas FGV sebelumnya iaitu PalmaSheild.

“PalmaSheild merupakan produk kawalan bio yang juga digunakan untuk mengatasi masalah serangan Ganoderma daripada peringkat awal lagi iaitu anak pokok.

“Kajian yang dilakukan telah menemukan kami kepada kulat endofitik, Trichoderma asperellum yang boleh memusnahkan Ganoderma in-vitro sehingga 80 peratus dalam PIRG (Percentage of Inhibition Radial Growth),” katanya.

PalmaSheild digunakan bersama PalmaGro ketika proses menyemai anak benih Yangambi GT1 dilakukan.

Proses tersebut dijalnkan agar kedua-dua produk tersebut dapat melindungi akar anak benih daripada serangan Ganoderma sedari peringkat awal pertumbuhannya.

Sehingga kini, kadar pengeluaran PalmaSheild 
telah mencecah 10 m/t pada 
2016 dan FGV menyasarkan keluaran sebanyak 30 m/t pada tahun hadapan.

Menjelang tahun 2020, diharapkan pengeluaran PalmaSheild dapat ditingkatkan sehingga 50 m/t.