Mengikuti modul akuakultur iaitu penternakan ikan tilapia dalam sangkar, penyertaan dalam program berkenaan pada tahun 2012 boleh diibaratkan sebagai persiapan baginya untuk menjadi seorang usahawan muda yang berjaya.

“Penglibatan saya dalam bidang akuakultur bermula apabila menyertai program inkubasi tersebut yang dianjurkan oleh Fakulti Pertanian UPM pada tahun itu.

“Program ini melatih usahawan dalam kalangan siswazah yang berminat dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian. Atas minat terhadap ikan, saya telah memilih modul akuakultur. Di sini bermulanya perniagaan saya dalam penternakan dan pembenihan ikan tilapia merah,’’ ujarnya ketika ditemui di Puchong baru-baru ini.

Beliau memberitahu, ternakan tersebut sangat popular dalam kalangan penternak ikan kolam air tawar, ternakan dalam sangkar dan sistem kolam kanvas kerana mampu memberikan keuntungan lumayan.

Selain itu, tilapia adalah sejenis spesies ikan yang senang untuk diuruskan kerana memiliki daya tahan yang tinggi dan cepat membesar, maka tidak hairanlah mengapa ia menjadi pilihan penternak.

Setelah berjaya menamatkan program itu, menggunakan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh daripada kursus tersebut, Mohd. Afiq telah mengambil langkah berani untuk memulakan projek ternakan ikan tilapianya sendiri.

Menurut Mohd. Afiq, dorongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang tidak pernah putus memberi semangat serta galakkan turut menjadi faktor kepada anak muda ini untuk terus nekad mengejar cita-citanya.

“Pada permulaannya, saya menguruskan sendiri kolam ikan tilapia sebanyak 60 buah sangkar di Taman Pertanian Universiti (TPU), UPM yang terletak di Puchong, Selangor.

“Di peringkat awal, pihak UPM banyak memberikan bantuan dari segi khidmat nasihat dan rujukan agar saya dapat menjalankan operasi penternakan secara stabil dan konsisten,” katanya ketika ditemui di kolam ternakannya baru-baru ini.

Menurut Mohd. Afiq, perniagaannya itu beroperasi menerusi syarikatnya, APC Nature Farm Sdn. Bhd.

“Saya memfokuskan kepada pembenihan ikan tilapia menggunakan inkubator bagi menghasilkan benih ikan tilapia yang bermutu selain untuk mendapatkan jumlah penetasan yang lebih tinggi.

“Kaedah ini saya ubah suai sendiri berdasarkan teknologi yang digunakan daripada negara jiran iaitu Thailand semasa melakukan lawatan di sana.

“Secara ringkasnya inkubator adalah teknologi yang meniru habitat asal ikan tilapia apabila telur diambil daripada induk dan dipindahkan ke dalam sistem yang diprogram menggantikan mulut induk betina,” jelasnya.

Katanya, tujuan sistem inkubator juga adalah untuk menyeragamkan saiz atau dalam erti kata lain ikan tilapia yang telah dikategorikan mengikut gred.

“Selain itu, saya turut mengusahakan ikan tilapia air masin yang lebih istimewa dari segi rasa yang lebih sedap dan harga yang mahal,” katanya.

Tidak dinafikan bahawa untuk menjadi usahawan yang berjaya, jalannya tidaklah mudah seperti yang disangka kerana pelbagai halangan dan cabaran sedia menanti anak muda ini.

Antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh setiap orang yang bergelar usahawan adalah halangan dari segi kewangan.

Menurut Mohd. Afiq, untuk mendapatkan pinjaman kewangan adalah satu proses yang agak rumit dan terpaksa melalui pelbagai masalah sebelum berjaya memohon pinjaman daripada Agrobank.

“Selain untuk mendapatkan pinjaman, cabaran lain ialah terpaksa mengeluarkan kos bekalan makanan ikan yang agak tinggi lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi sekarang.

“Oleh kerana saya mementingkan kualiti dan demi menjamin produk saya supaya berada dalam keadaan terbaik, saya menggunakan makanan yang diimport daripada Thailand,” katanya.

Bercerita dengan lebih lanjut, usahawan belia ini merancang dan menyasarkan untuk menghasilkan setengah juta ikan tilapia dalam masa sebulan.

“Pada masa ini saya mampu menghasilkan 200,000 hingga 300,000 anak ikan dalam masa sebulan, dan sasaran saya seterusnya adalah untuk menambah lagi jumlah hasil setiap bulan.

“Bukan itu sahaja, saya juga berhasrat untuk meluaskan pasaran dengan memasarkan produk saya ke seluruh negara,” katanya.

Selain akuakultur, beliau juga terlibat dalam penternakan ayam kampung. Syarikat APC Nature Farm Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2014 telah memperoleh hak ekslusif bagi pengeluaran ayam baka baru hasil penyelidikan UPM, iaitu ayam kampung Akar Putra. Buat masa ini, syarikat dalam proses menyediakan ladang ternakan di TPU, UPM. Operasi dijangka bermula pada pertengahan tahun ini yang dapat menghasilkan pengeluaran 18,000 ekor ayam dalam satu pusingan.

Tambah Mohd. Afiq, selepas perjalanan operasi projek ternakannya terus stabil dan konsisten, beliau terdorong untuk cuba menternak dan mengkomersialkan ayam baka baharu, hasil daripada penyelidikan UPM.

“Baka ayam itu dinamakan Ayam Akar Putra iaitu kacukan daripada baka ayam hutam dan ayam kampung.

“Saya mula mengkomersialkan ternakan ini pada tahun 2014 kerana melihat ia mempunyai potensi yang besar dalam pasaran,” katanya.

Sedia kongsi pengalaman

Selain itu, Mohd. Afiq Arif yang berkelulusan Bacelor Sains Perniagaan Tani UPM ini turut berkongsi kejayaan sebagai usahawan bersama belia lain yang ingin berjaya seperti beliau.

Katanya, golongan muda yang berminat untuk menyertai bidang sebegini harus bermula dengan perancangan yang teliti kerana setiap perniagaan yang hendak diceburi perlu melibatkan kos.

“Kunci utama untuk berjaya pula sudah pasti kerajinan dan sikap yang tidak mudah putus asa selain sentiasa mempunyai idea baharu untuk dikembangkan.

“Peluang dalam bidang ini sebenarnya sangat luas, golongan muda yang mempunyai keinginan serta bercita-cita untuk berjaya dalam bidang ini harus bijak mencari saluran untuk mengembangkan kebolehan misalnya dengan menyertai program yang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan mahupun swasta,” katanya.

Beliau sebelum ini pernah menjadi ahli panel Bicara Agro anjuran Agrobank bertujuan berkongsi pengalamannya terlibat dengan projek penternakan dan pertanian.

Katanya, dalam program tersebut beliau berkongsi pengalaman untuk ditujukan kepada generasi muda yang berminat untuk menjadi usahawan sesuai dengan topik yang diberikan Mengapa saya memilih pertanian sebagai kerjaya saya?.

"Saya telah berkongsi tentang bagaimana penglibatan dan pengaruh keluarga saya mendorong saya untuk menceburi dalam bidang pertanian,’’ ujar beliau. Walaupun perjalanan sebagai seorang usahawan bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dalam bidang pertanian, namun usahawan tidak boleh mudah berputus asa dan perlu bertindak secara kreatif dan inovatif untuk merebut peluang.

Katanya lagi, mungkin satu masalah yang berlaku merupakan satu peluang kepada perniagaan kepada individu berkenaan.

"Saya juga berkongsi tentang potensi dan peluang yang ada dalam sektor pertanian dan memberi idea kpd usahawan lain.’’ujarnya.

Program dua bulan sekali itu akan melibatkan tiga panel daripada bidang pertanian berbeza termaasuk industri asas tani sebagai platform perkongsian pengalaman usahawan berjaya.

Malah menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman menjelaskan program tersebut merupakan inisiatif membantu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk medan perkongsian berkaitan pertanian dan teknologi.