Beliau sedang menjalankan kajian bagi mengumpul dan menganalisis data populasi tiga spesies iaitu harimau belang, harimau kumbang dan harimau dahan.

Atas kesedaran itu, beliau menjalankan kajian di kawasan Tasik Kenyir yang mempunyai 10 lebuh raya khas atau viaducts untuk mengawasi keadaan pelbagai spesies haiwan di situ.

Kajian yang bermula pada tahun 2014 itu dijalankan selama 10 tahun dengan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan memfokus kepada kawasan seluas 60,000 hektar setakat ini.

“Untuk tujuan ini saya telah memasang kira-kira 200 kamera bagi tujuan pengawasan hidupan liar ini dengan bantuan Perhilitan dan JPSM,’’ katanya.

Kamera perangkap cahaya lensa merah itu berfungsi secara automatik dengan mengesan haba daripada haiwan yang bergerak.

Reuben yang merupakan lulusan Universiti James Cook, Australia memulakan projeknya sejak 2013 lagi menerusi Projek Kenyir Wildlife Corridor mendapati bahawa kawasan Tasik Kenyir di Terenggganu itu mempunyai kepelbagaian biologi haiwan yang agak tinggi.

“Malah enam daripada tujuh spesies harimau dan kucing liar di negara ini terdapat di Tasik Kenyir merangkumi kawasan dari Taman Negara ke hutan Hulu Terengganu.

“Saya memilih kawasan Tasik Kenyir kerana belum ada pihak lain yang menjalankan kajian di sini dan saya dapati kepelbagain biologinya tinggi,’’ katanya.

Katanya, kajian tersebut amat penting bagi menyedarkan orang ramai betapa pentingnya hidupan liar dipulihara bukan sahaja untuk tatapan generasi akan datang tetapi juga membantu dalam kestabilan rantaian makanan.

Ini kerana sekiranya populasi harimau yang merupakan pemburu dalam hutan berkurangan, populasi spesies haiwan lain akan meningkat dan ini tidak baik bagi hutan tersebut.

Bagaimanapun katanya, punca populasi harimau semakin berkurangan antara lain, adalah sikap orang ramai yang tidak bertanggungjawab memburunya untuk tujuan komersial, habitat yang terjejas akibat pembangunan yang tidak terkawal dan makanan yang semakin berkurangan.

Reuben berkata, usaha menyedarkan masyarakat perlu sentiasa dipertingkatkan memandangkan ancaman serius yang mengakibatkan kepupusan pada tahap yang sangat membimbangkan.

Tanpa menafikan usaha memberi kesedaran kepada golongan muda sangat penting , beliau berharap golongan dewasa juga perlu menyedari akan bahayanya apabila jumlah spesiss haiwan berkenaan terus berkurangan.

Beliau yang mendapat bantuan daripada Woodland Parks Zoo di Seattle, selain Panthera dari New York, Amerika Syarikat mahu supaya agensi kerajaan terbabit seperti Perhilitan diperkasa dengan menambah jumlah kakitangan bahagian penguatkuasaan.

Begitu juga dana yang diperlukan untuk tujuan pemuliharaan, perlu dipertingkatkan supaya banyak inisiatif boleh diperkenalkan untuk membantu mereka.

Ditanya sama ada usaha pembiakbakaan atau captive breeding boleh membantu usaha tersebut Reuben berkata, kajian tersebut agak rumit dan tidak ada jaminan akan membantu meningkatkan populasi harimau.

Ini kerana ada beberapa faktor yang menghalang, antaranya harimau itu tidak mudah menyesuaikan diri dengan hutan memandangkan mereka telah biasa hidup dalam persekitaran yang terjaga seperti di zoo atau pusat perlindungan.

Apa yang penting adalah melindungi hutan sebagai habitat haiwan supaya populasi dapat ditingkatkan secara semula jadi.

Selain itu, makanan harimau dalam hutan seperti rusa juga perlu dilindungi.

Mengenai jangkaannya selepas 10 tahun kajian iaitu pada 2023, Reuben berharap lebih ramai penyelidik baharu akan muncul untuk mengusahakan kajian yang boleh membantu usaha pemuliharaan.

“Kini negeri Terengganu telah mengeluarkan fatwa mengenai pemburuan haram, saya harap masyarakat Islam akan mematuhi fatwa tersebut dan menghentikan aktiviti pemburuan hidupan liar,” katanya.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Tabung Perlindungan Hidupan Liar (WWF), Persatuan Konservasi Hidupan Liar (WCS) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) perlu terus berganding bahu dengan agensi kerajaan bagi mencapai matlamat supaya spesies harimau di negara ini terus terpelihara.