Pengasas produk Juwita Divine, Ahmad Nubhan Ahamad yang menyertai MAHA 2016.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, keha­diran kaum wanita termasuk golongan muda dalam MAHA 2016 amat ketara dan mereka memainkan pelbagai peranan termasuk operator, pengusaha dan peserta program.

Beliau berkata, keadaan itu juga mengubah persepsi MAHA yang sebelum ini hanya untuk golongan tua.

“Kita boleh melihat penyertaan wanita yang amat ketara di kawasan pameran Empayar Food dengan 160 kedai jualan dengan lebih 50 peratus operator adalah wanita.

“Kalau pergi ke pavilion industri asas tani, kita boleh melihat penglibatan orang muda dan sebahagian besarnya wanita yang belajar kaedah pembungkusan untuk dieksport,” kata­nya selepas penjenamaan semula produk kosmetik Juwita Divine yang dirasmikan oleh Penasihat Pembangunan Ke­usahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Sharizat Abdul Jalil sempena MAHA 2016 semalam.

Yang turut hadir, Ketua Penga­rah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan dan pengasas Juwita Divine, Ahmad Nubhan Ahamad.

Sementara itu Sharizat berkata, wanita ketika ini memainkan peranan lebih besar dalam industri pertanian dan industri asas tani dan berharap lebih ramai yang menceburi diri.

“Pertanian kini bukan lagi untuk golongan miskin tetapi satu industri yang boleh membantu menjana pendapatan,” katanya.