Pasangan dari Kampung Tok Dor, Besut, Terengganu ini yang sememangnya menggemari orkid hutan menceburi perniagaan tersebut secara serius sejak tiga tahun lalu.

Tertarik dengan kepelbagaian warna serta bentuk yang unik, mereka sanggup meredah kawasan hutan berbukit terutama di Terengganu untuk mencari pelbagai spesies orkid hutan.

Setakat ini, mereka memiliki lebih 500 jenis orkid liar. Di samping mencari sendiri, pasangan ini juga memperoleh orkid berkenaan daripada pembekal seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Ibrahim, walaupun bunga orkid hutan agak kecil berbanding bunga orkid hibrid atau kacukan, ia mengeluarkan aroma yang cukup wangi.

“Dari aspek penjagaannya juga mudah kerana ia hanya memerlukan air yang mencukupi,” katanya.

Ibrahim menerusi perniagaan Aura Orkid Hutan dan Arca Kayu adalah antara 200 pempamer yang ditemui pada Pesta Orkid dan Flora 2017 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, Kota Bharu, baru-baru ini.

Pameran tersebut yang dianjurkan oleh FAMA telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Yang turut hadir Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak.

Antara orkid istimewa yang dimiliki Ibrahim ialah orkid harimau (Grammatophyllum speciosum) iaitu spesies orkid terbesar dunia dan berasal dari Asia Tenggara.

Ia tumbuh di celah-celah pokok besar di kawasan terbuka Hutan Tropika Tanah Rendah.

“Orkid harimau boleh menghasilkan tangkai bunga yang banyak. Orkid saya kadangkala menghasilkan antara 20 hingga 30. Sekiranya pokok sihat, bunganya boleh tahan sehingga tiga bulan,” katanya.

Spesies orkid harimau ini disenaraikan dalam Guiness Book of Worlds Records sebagai orkid tertinggi di dunia dengan ketinggian 7.62 meter.

Orkid lain yang menjadi perhatian pengunjung ialah orkid jenis Bulbophyllum lobbii, Bulbophyllum claptonense, Bulbophyllum liones dan Bulbophyllum macranthum.

Selain orkid hutan, Ibrahim yang berkelulusan bidang arkitek, turut memasarkan orkid hibrid dan arca kayu seperti kerusi serta meja yang diperbuat daripada kayu keras.

Memandangkan orkid hutan ini tumbuh melekat pada pokok, dia menggunakan kemahirannya memanfaatkan kayu terbuang untuk dijadikan tempat pembiakan orkid ini dan ia kelihatan begitu kreatif.

Dia berminat dengan bunga orkid sejak kecil selepas melihat ibunya menanam orkid liar yang diperoleh daripada kawasan hutan di Hulu Terengganu.

“Orkid hutan terutama memang mempunyai permintaan yang tinggi dan pasarannya luas.

“Apa yang membimbangkan orkid hutan semakin berkurangan akibat aktiviti pembukaan hutan untuk pertanian dan pembalakan di kawasan tanah tinggi (berbukit),” katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim berharap agensi kerajaan berkaitan serta institusi pengajian tinggi dapat membuat penyelidikan bagi mendapatkan kaedah untuk melindungi orkid hutan daripada pupus.

Selain pasaran sedia ada, Ibrahim kini menggunakan perniagaan secara dalam talian dan ia terbukti mudah untuk memasarkan orkidnya.