Ahmad Yaacob, 66, dan adik se­ibunya, Aminah Daud 64, me­nyifatkan pendapatan lebih RM10,000 yang diperolehnya melalui tanaman tersebut sebagai rezeki Ramadan.

Ahmad berkata, semua itu ber­mula apabila pemilik tanah tersebut menawarkan kawasan itu untuk diusahakan bagi me­ngelakkannya terbiar begitu sahaja.

“Kawasan ini berhampiran de­ngan rumah kami. Justeru, kami sepakat untuk mengusahakan tanaman tembikai merah, tembikai kuning dan tembikai madu pada April lalu hanya sekadar untuk mengisi masa lapang.

“Selepas dua bulan, tanaman ini mula membuahkan hasil yang diluar jangkaan kami kerana musim kemarau yang panjang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, mereka mendapat keuntungan yang lebih kerana menjual sendiri kesemua hasil tanaman itu kepada pembeli dan bukannya melalui pemborong atau orang tengah.

“Disebabkan tanah ini berhampiran dengan jalan utama, maka kami menjualnya terus kepada orang ramai dan tidak menjualnya secara borong melalui orang tengah,” katanya.

Sementara itu, Aminah me­nyifatkan hasil tanaman itu sebagai rezeki kepada kepada anak-anak dan cucunya memandangkan mereka bukan daripada keluarga yang senang.

Katanya, menjelang Ramadan nanti, banyak wang diperlukan untuk perbelanjaan seharian dan juga menyambut Aidilfitri.

“Saya akan berbelanja secara berhemah supaya anak-anak dan cucu-cucu dapat bersama menikmati rezeki kurniaan Allah itu,” katanya.

Tambahnya, usaha mereka tidak akan berjaya tanpa bantuan daripada agensi-agensi kerajaan yang terlibat.