Sekarang pekasam ikan loma sudah popular dijual hingga ke Lembah Klang dan dalam talian.

Cerita tentang ikan loma di Kuala Sungai Rui juga telah lama diketahui dan heboh di media cetak dan elektronik sejak lebih 10 tahun dahulu. Pada musim hujan antara bulan Oktober hingga Disember, ramai penduduk tempatan dan pelancong berdekatan datang ke Kuala Sungai Rui untuk menangkap ikan loma.

Mereka menangkap dengan menggunakan sauk dan ada yang menggunakan jaring. Pada musim puncak, kita dapat lihat seolah-olah ada pesta menangkap ikan loma di Kuala Sungai Rui, hulu Sungai Perak.

Aktiviti ini telah mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menjadikan aktiviti menangkap ikan loma ini sebagai satu tarikan pelancongan sejak beberapa tahun lepas.

Menurut penduduk tempatan, walaupun nampak banyak ikan loma ditangkap, sebenarnya sekarang ikan loma tidak lagi sebanyak dahulu ketika musim hujan antara bulan September hingga Disember setiap tahun.

Setelah dihebohkan dalam media massa, ia menarik perhatian PBT dan ramai pengunjung bermusim melihat ikan loma.

Apakah sambutan pihak yang bertanggungjawab berkaitan perikanan sungai dan ahli sains tempatan bagi menangani isu menangkap ikan loma secara berlebihan dan kemungkinan berkurangan populasi ikan berkenaan pada masa hadapan?

Kawasan utama menjadi tumpuan menyauk ikan loma ialah di Kuala Sungai Rui cabang daripada Sungai Perak. Sungai Perak adalah sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia selepas Sungai Pahang yang panjangmya 459 km dan mempunyai sejarah serta kepentingannya yang tersendiri.

Sungai Perak sepanjang 400 km mengalir dari pergunungan Hulu Perak bersempadan dengan Thailand dan Kelantan melalui Hutan Simpan Belum yang popular sekarang hingga ke Beting Beras Basah di Bagan Datuk ke Selat Melaka. Sudah tentu Sungai Perak memainkan peranan penting dalam kepelbagaian biologi dan sosioekonomi negeri Perak.

Sungai Perak mempunyai banyak sungai cawangan. Antaranya ialah Sungai Bidor, Sungai Kinta dan Sungai Pelus. Sungai Kinta dan Sungai Bidor terkenal sebagai tempat perlombongan bijih timah utama sekitar tahun 1850-1980 dan ia memainkan peranan yang penting dalam sejarah negeri Perak. Penempatan manusia sekitar sungai Perak juga bermula pada abad ke-19 apabila bijih timah ditemukan.

Di Sungai Perak terdapat beberapa empangan hidroelektrik iaitu Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Temenggor.

Kewujudan empangan ini menjadikan penghijrahan ikan loma lebih menarik untuk dikaji.

Ramai mengetahui ikan loma ini berhijrah dari hilir ke hulu Sungai Perak semasa musim hujan secara berkumpulan dan ramai berpesta menangkap ikan loma yang mempunyai banyak telur, tetapi tidak ramai yang mengetahui bahawa ikan ini bermula di hilir, corak penghijrahan mereka dan lokasi mana mereka bertelur di hulu sungai.

Dengan adanya Empangan Kenering dan Bersia, penghijrahan ikan ini mungkin terhad. Mungkin penghijrahan ikan ini bermula dari Tasik Kenering hingga ke hulu Sungai Perak. Sebab itulah kita dapat melihat setiap tahun di Kuala Sungai Rui banyak ikan loma yang berhijrah menuju ke hulu sungai.

Tidak banyak artikel tentang ikan loma di Perak yang menerangkan tentang biologi dan ekologinya. Antara kajian yang dijalankan adalah yang diterbitkan dalam Jurnal Hydrobiologia 1996, Malayan Nature Journal 2015 dan Tropical Natural History Journal 2015.

Kajian ini sangat terhad dan masih tidak mempunyai data yang mencukupi bagi menerangkan dengan lengkap tentang biologi dan ekologi ikan loma keseluruhannya. Pihak berkaitan bolehlah menggembleng tenaga mendapatkan dana yang mencukupi bagi memahami biologi dan ekologi ikan loma ini yang berpotensi dalam industri ikan pekasam dan pelancongan.

Kefahaman tentang biologi dan ekologi penting bagi membantu pengurusan, perlindungan dan pemuliharaan ikan loma di Sungai Perak.

Tasik Kenering mungkin merupakan habitat penting untuk ikan loma membesar. Di kawasan Kuala Sungai Rui dan Sungai Kerunai menarik minat penduduk tempatan menangkap kan loma semasa mereka berhijrah bermula pada bulan Oktober hingga Disember setiap tahun. Antara bulan Oktober hingga Disember kawasan ini mengalami musim hujan yang menyebabkan paras air tasik dan sungai meningkat.

Apabila paras air tasik dan sungai meningkat, ikan-ikan loma berduyun-duyun berhijrah ke hulu untuk membiak. Berdasarkan rekod Jabatan Meterologi Malaysia (JMM), curahan hujan maksimum kawasan Gerik, Perak adalah pada bulan Oktober-November. Hujan paling kurang dalam bulan Februari dengan 80mm manakala pada bulan Oktober paling tinggi dengan curahan hujan sebanyak 340mm dan November 280mm.

Ikan loma tarikan pelancong

Banyak kajian lagi perlu dijalankan untuk mendapat maklumat sebenar ikan loma. Tambahan pula, ia menjadi tarikan pelancong tempatan untuk memancing ikan tersebut.

Setakat ini Kesatuan Antarabangsa Mengenai Pemuliharaan Sumber Alam dan Semula jadi (IUCN), ikan loma masih tiada ancaman yang dilaporkan tetapi penangkapan yang berlebihan dan gangguan habitat terutama semasa berhijrah boleh mengancam populasi ikan loma. Tambahan pula, terdapat gangguan permukaan tanah di kawasan hulu Sungai Perak dan kawasan sekitar Sungai Perak.

Hakisan permukaan tanah boleh menghasilkan kelodak dalam sungai dan memberikan kesan kepada pembiakan dan penghijrahan ikan loma.

Terdapat juga laporan media massa tentang aktiviti perlombongan di hulu Sungai Perak yang menyebabkan pencemaran kelodak dan bahan kimia. Pencemaran kelodak dan bahan kimia boleh menyebabkan kematian ikan.

Aktiviti memancing atau menangkap ikan loma ketika waktu puncak semakin meningkat.

Pemancing boleh mendapat lebih daripada 20 kg dengan menggunakan pancing dan pada musim puncak mereka boleh memperoleh RM100 sehari dan RM1,000 sebulan.

Ikan dijual dengan harga RM2 sekilogram di lokasi tangkapan, manakala RM4 sekilogram di pasar. Ikan boleh dibuat pekasam dan dijual dengan harga RM10 sekilogram.

Dengan pendapatan yang baik dan promosi pesta menangkap ikan loma setiap tahun pada bulan Oktober hingga Disember, ia boleh memberi kesan kepada populasi ikan loma secara amnya. Perhatian segera perlu diberikan di kawasan berkenaan bagi mengawal populasinya daripada kepupusan.

Kawasan utama ikan bertelur tidak patut diganggu dan mungkin pemancing perlu mendapatkan lesen khas dan menggunakan alat yang dibenarkan sahaja. Sekiranya pemancing tidak dikawal di sekitar Sungai Rui dan menangkap ikan semasa berhijrah secara berlebihan, maka populasi ikan loma mungkin terjejas.

Kajian tentang ikan loma perlu dijalankan sepanjang tahun bagi memahami biologi dan ekologi nya. Mungkin dalam hal ini kajian terperinci tentang Tasik Kenering perlu dijalankan bukan sahaja terhad kepada ikan loma malah untuk ikan lain juga.

Ikan toman (Channa micropeltes) misalnya merupakan ikan yang menarik di Tasik Kenering.

Mungkin terdapat percanggahan pendapat apabila memperkenal aktiviti ternakan ikan dalam sangkar di tasik air tawar di hulu sungai.

Aktiviti penternakan ikan dalam sangkar akan mencemar ekosistem tasik dari segi makanan ikan, antibiotik dan bahan-bahan kimia lain di samping memperkenal spesies dari luar. Bahan kimia ini boleh memberikan kesan kepada ikan tempatan. Adalah lebih baik kita mengkaji secara menyeluruh tentang ikan-ikan tempatan di Tasik Kenering, Bersia dan Temenggor.

Maklumat yang didapati daripada hasil kajian kita boleh menguruskan habitat dan spesies ikan tempatan untuk aktiviti perikanan, rekreasi dan pelancongan. Di samping kajian tentang ikan di Tasik Kenering dan kawasan hulu Sungai Perak, pemantauan kualiti air sepanjang tahun perlu dilakukan. Terdapat-aktiviti penerokaan hutan, pertanian dan pelombongan yang sedang berlaku sekitar hulu Sungai Perak.

Pembangunan hingga ke tebing sungai juga tidak wajar dan akan memberikan kesan kepada kualiti air sungai terutama apabila musim hujan. Zon penampan atau rizab sungai mestilah diamalkan terutama di kawasan hulu Sungai Perak yang penting untuk pemuliharaan sumber hutan yang tinggi kepelbagaian biologinya, hidupan liar dan pelancongan.

Ikan perlu berhijrah ke persekitaran yang berbeza kualiti airnya bagi melengkapkan kitaran hidup mereka. Dalam kitaran hidupnya, ikan melalui peringkat membesar, kematangan seksual, bertelur dan menghasilkan juvenil.

Ikan perlu berhijrah ke persekitaran yang lain demi untuk kemandirian mereka.

Kita mesti memahami kitaran hidup mereka bagi mengurusan kepelbagaian ikan dalam sungai yang berhadapan perubahan kualiti air dan kemungkinan pencemaran. Ahli sains berkaitan dan pihak bertanggungjawab mestilah saling bekerjasama bagi menjamin kelestarian ikan seperti ikan loma ini.