Tempoh lebih sedikit 100 hari selepas kerajaan PH berkuasa 9 Mei lalu bukanlah jangkaan tepat untuk mana-mana parti pembangkang mencipta kejutan. Jangka masa itu terlalu singkat untuk prestasi PH diberi penilai­an negatif positif, baik buruknya.

Malah, dua PRK ini tidak me­ngujakan penulis sendiri, sehinggakan di satu peringkat bahang­nya tidak terasa langsung - amat berbeza sekali dengan siri PRK era sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Maka tidak hairanlah peratusan keluar mengundi ketiga-tiga PRK pasca PRU-14 kesemuanya gagal melepasi 50 peratus - 44 peratus dalam PRK Seri Setia, 43 peratus (Balakong) manakala 49.4 peratus di Sungai Kandis.

PH agak ‘bernasib baik’ sebenarnya kerana dua PRK ber­kenaan berserta PRK Seri Kandis berlangsung kurang atau genap empat bulan mereka berkuasa. Tempoh itu ibarat ‘bulan madu’ kepada PH dengan rakyat masih menaruh harapan tinggi kepada mereka. Sebahagian besar pengundi pula masih dalam pe­ringkat untuk ‘menyepi diri’ dari kemelut polemik politik setelah mengharungi PRU-14 tempoh hari.

Ditambah lagi dengan UMNO dan MCA sendiri pun masih belum ‘terbiasa’ lagi dengan pe­ranan mereka sebagai pembangkang. Barangkali mereka sedang dalam proses ‘reformasi’ untuk memastikan gabungan politik Barisan Nasional (BN) kekal relevan dan mampu menggugat kerajaan semasa.

Ramai beranggapan PRU-14 menyaksikan ‘majoriti senyap’ tampil bersuara buat pertama kalinya terhadap kerajaan terdahulu, lantas pertukaran kerajaan pada pengamatan mereka suatu perubahan positif yang perlu diteruskan - dengan orang ramai kelihatan berpuas hati dengan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir yang berusia 93 tahun adalah faktor penting dalam hasil yang sebahagian besar rakyat lihat berlaku pada Mei lalu kerana ia membawa rasa kestabilan yang lazim bagi orang ramai yang mahukannya.

Meskipun kerajaan Dr. Mahathir masih agak muda dengan barisan Kabinet muka baharunya, rakyat tetap mahu memberi peluang kepada pentadbiran ini.

Ini barangkali juga mahu menantikan satu lagi perubahan yang bakal muncul andai tampuk kepimpinan beralih setahun dua ini dari negarawan berkenaan kepada pengganti yang dimuktamadkan PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada masa sama, rakyat terus aktif memantau operasi harian kerajaan bagi memastikan semuanya berjalan dengan sewajarnya.

Jadi, baik Pas, UMNO waima MCA pun usah ralat dengan kekalahan masing-masing.

Tak kisahlah setiap parti sibuk menyiapkan post mortem kekalahan untuk menggembirakan hati sendiri. Biarlah peningkatan undi calon Pas dari 4,563 undi pada PRU-14 kepada sekali ganda, 9,698 undi yang diraih oleh Dr. Halimah Ali di Seri Setia kelmarin ‘digambarkan’ telah menterjemahkan kemahuan ahli-ahli dan penyokong untuk melihat Pas-UMNO bermuafakat. Namun hakikat PH adalah pemenangnya.

Empat bulan yang berlalu ini sepatutnya sudah menjadi lapangan terbaik untuk UMNO dan Pas, bahkan MCA juga untuk bermuhasabah diri dan menyusun kembali gerak kerja dan organisasi parti.

UMNO dan Pas khususnya diyakini akan terus mencari titik persamaan antara kedua-dua par­ti terbesar orang Melayu itu. Ke­putusan PRK Seri Setia khususnya jelas menjadi titik tolak penting dalam memperlihatkan keikhlasan peringkat kepe­mimpinan kedua-dua parti untuk duduk bersama lagi selepas ini. Ini membuktikan kerjasama Pas dan UMNO berada di landasan betul dan tepat.

Kesefahaman ini diperkukuhkan lagi dengan undangan Pas kepada kepemimpinan pelbagai peringkat UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-64 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Sabtu depan.

Dipercayai undangan serupa akan dikeluarkan oleh UMNO kepada Pas untuk bersama pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO, 30 September ini.

Bagaimana pula dengan MCA dan MIC? MCA nampaknya masih teraba-raba mencari rentaknya. Penggunaan logo sendiri oleh MCA di Balakong seolah-olah parti itu sedang mencari-cari identiti ‘kecinaannya’ sendiri.

MIC pula sehingga sekarang tidak ketahuan status quo parti itu. Tan Sri S.A. Vigneswaran yang dipilih sebagai Presiden MIC yang baharu bagi penggal 2018-2021 selepas menang tanpa bertan­ding pun tak nampak batang hidungnya sehingga sekarang. Apa dah jadi?

Baik UMNO, Pas, MCA dan MIC meskipun masih ada berbaki satu dua lagi komponen BN termasuk MyPPP, mereka harus ingat satu perkara ini:

Andai dalam satu penggal lima tahun ini tidak dapat mengembalikan kuasa ke pangkuan semula, ia ibarat mimpi ngeri terlepas sampai bila-bila.

Langkah masih jauh lagi untuk blok pembangkang membuktikan. Tetapi semua ini tidak mustahil asalkan menampakkan sikap dan sifat yang jujur. Dan UMNO khususnya tidak harus ‘tersangkut kaki’ dengan pemimpin-pemimpin yang ada isu kerana rakyat amat peka dan kini subscribe pada soal-soal good governance, integriti dan ketelusan. Ini yang akan menarik minat orang muda.

Waima apa pun, Rom tidak dibina dalam sehari.