Pekerjaan itu pasti akan mendatangkan hasil yang lumayan seiring usaha dan titik peluh sang petani memandangkan pertanian adalah perniagaan.

Itulah yang dilakukan oleh Norhashim Kamisan, 34, apabila mengambil keputusan untuk mencabar diri mengusahakan projek pertanian cili sejak 2006.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang keluarga yang terlibat dalam bidang pertanian, ia tidak sedikitpun mematahkan semangat anak muda itu untuk terus mengusahakan projek tanaman cili menggunakan teknologi fertigasi.

Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM6,000, Norhashim memulakan tanaman cili merah besar varieti Kulai 461 atas sebidang tanah di Kuala Langat, Selangor.

“Saya memilih untuk mengusahakan cili jenis itu kerana lebih komersial memandangkan bentuknya yang besar, berat dan panjang.

“Ia juga mudah dijaga dari segi pengawalan penyakit, pasaran yang luas dan permintaan yang tinggi,” ujarnya.

Setelah hampir 12 tahun, Norhashim kini mempunyai empat buah ladang yang kesemuanya terletak di daerah sama dengan keseluruhan kawasan seluas empat hektar (ha) atau 10 ekar

Dengan lebih 6,000 pokok cili yang ditanam dalam polibeg, dia mampu menuai hasil kira-kira satu tan sehari dengan jumlah pulangan lumayan sehingga RM20,000 dalam masa seminggu.

Cili yang telah dituai dikumpul di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat sebelum diedarkan ke pasar raya besar seluruh negara, pasar malam dan pasar borong.

Tidak mahu ketinggalan dengan aliran semasa, Norhashim turut memanfaatkan kecanggihan dan kemajuan teknologi untuk mengembangkan pertaniannya.

Mengguna pakai teknologi fertigasi pintar, dia kini mampu mengawal dan memantau ladang cili miliknya dari jauh dengan hanya menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.

Menggunakan konsep Internet of Things atau Internet Segalanya (IoT), aplikasi tersebut dibangunkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) tahun lalu untuk mengumpul maklumat masa nyata bagi beberapa parameter dalam penanaman cili.

Parameter tersebut adalah suhu, kelembapan udara dan tanah bagi pokok serta kawasan fertigasi cili dipaparkan secara terus menerusi telefon pintar.

“Pada mulanya MDEC datang kepada saya dan bertanya apa masalah yang sering dihadapi dalam pengurusan kebun dan penyelesaian bagaimanakah yang saya mahukan untuk mengatasinya.

“Saya mahukan satu sistem pembajaan dan pengairan yang sistematik dan menjimatkan kos. Idea tersebut daripada saya dan mereka merealisasikannya,” katanya.

Aplikasi sistem fertigasi pintar itu berfungsi dengan mengumpulkan data mengenai keadaan persekitaran serta kepekatan pati baja setiap 15 minit yang kemudiannya menghantar amaran awal terus ke telefon pintar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Amaran awal tersebut termasuk cuaca terlalu panas, air kurang pada pokok atau kepekatan baja rendah yang boleh mengganggu tumbesaran cili untuk petani mengambil langkah-langkah penyelesaian dengan segera.

“Sistem ini ada hab pengesan yang mempunyai pautan kepada telefon pintar. Setiap 15 minit ia akan kumpul data-data diperlukan dan akan dihantar dalam bentuk SMS untuk kita pantau sama ada pokok dan kawasan sekeliling dalam keadaan baik atau tidak.

“Menerusi aplikasi dalam telefon pintar pula saya boleh mengawal kepekatan baja yang dimahukan atau jumlah air yang diperlukan mengikut keadaan cuaca semasa,” ujarnya lagi.

Tambahnya, sistem yang dijana oleh kuasa elektrik itu akan dipatenkan apabila sudah benar-benar stabil dan dijual di pasaran dengan harga sekitar RM16,000.

Sistem itu juga mampu beroperasi bagi ladang seluas 0.4 hektar (satu ekar) hingga dua hektar

Dengan bantuan teknologi tersebut sudah tentu sangat membantunya dalam menguruskan ladang secara sistematik dan mudah.

Ini kerana dia tidak perlu berada sepanjang hari di kebun untuk melakukan pemantauan berkala memandangkan pekerjaan itu boleh dilakukan menggunakan telefon pintar sahaja.

“Sistem ini sangat membantu saya dalam melakukan pemantauan berkala tanpa perlu berada di lokasi serta tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai,” katanya.