Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Teknologi ISR pertama di dunia

Nogeh Gumbek (dua dari kanan) melihat hasil betik pada Majlis
Nogeh Gumbek (dua dari kanan) melihat hasil betik pada Majlis Pelancaran Pakej ISR Betik MARDI di Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Pelancaran teknologi kawalan penyakit tanaman betik pertama di dunia, teknologi kerintangan sistemik teraruh (ISR), baru-baru ini dapat menyelesaikan masalah mati rosot betik yang menyerang industri betik di 23 negara sejak 2003.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek berkata, teknologi yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan dikenali sebagai Dieback Buster by Mardi itu bersifat hijau, mesra alam dan organik.

“Melalui ISR, diharapkan industri betik negara dapat dipulihkan semula sehingga Malaysia mampu menjadi pengeksport betik yang utama di dunia dalam masa tiga tahun,” katanya ketika melancarkan ISR di Ladang Exotic Star (M) Sdn. Bhd. di Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron; Pengarah Urusan Exotic Star Sdn. Bhd., Jeff Choong; dan Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Dr. Ganizan Krishnen.

Menurutnya, permintaan terhadap betik Malaysia adalah sangat baik dari Singapura, China, Hong Kong dan Asia Barat selain pasaran baharu di Eropah dan Amerika Syarikat.

Oleh itu, katanya, pengeluaran betik Malaysia perlu dipertingkat bagi menampung permintaan.

Bagaimanapun, Nogeh berkata, eksport betik tempatan menghadapi masalah tahun lepas ekoran penyakit mati rosot yang menyebabkan pengusaha betik beralih ke tanaman lain.

Dalam pada itu Dr Sharif berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Exotic Star untuk memasarkan ISR bagi mereka yang berminat mengusahakan tanaman betik secara besar-besaran dan komersial.

MARDI juga bersedia mengeksport ISR bagi membantu 22 negara lain yang menghadapi masalah penyakit tanaman betik antaranya Tonga, Belize, Filipina dan Indonesia.

Menurutnya, MARDI menjalankan penyelidikan selama enam tahun untuk menghasilkan ISR sebelum teknologi semburan berkenaan diuji di ladang Exotic Star.

“ISR merupakan teknologi kawalan yang mampu digunakan oleh kebanyakan pengusaha betik kerana kos untuk setiap pokok betik hanya 12 sen dan hanya perlu disembur sekali sebulan,” katanya.

Beliau berkata, MARDI turut mencipta peralatan khas yang dikenali sebagai Adjustable Volume Liquid Gun bagi memudahkan semburan ISR pada pokok betik serta mampu mengurangkan tenaga kerja hingga 70 peratus. – BERNAMA

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain