Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun berskala kecil, konsep acara dwitahunan itu dibuat berlainan dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Malaysia (MAHA) dan ekspo-ekspo pertanian yang pernah dianjurkan sebelum ini. 

Katanya, pihaknya turut menjangka setengah juta pengunjung membanjiri HPPNK 2017 terma­suk pelancong asing. 

“Kalau siapa yang datang hujung minggu ini, boleh nikmati suasana piknik (per­­kelahan) yang besar, kita datang dengan relaks (santai), banyak tempat menarik, ada hasil penyelidikan, ada ma­kan-makan.

“Di sini ada petting zoo (zoo binatang peliharaan), ada buah-buahan. Saya rasa ini tempat percutian hujung minggu bagi keluarga yang menarik,” katanya kepada pembe­rita selepas mela­kukan lawatan ke tapak pameran HPPNK 2017 di MAEPS hari ini. 

HPPNK 2017 melibatkan kawasan seluas 80,000 meter per­segi meliputi 600 gerai pame­ran dan jualan. 

Satu program yang mempa­merkan makanan-makanan tempatan iaitu Malaysia Food Festival dengan 401 menu turut diadakan bersempena HPPNK 2017.

Menerusi pesta makanan itu juga, para pengunjung boleh meneroka dunia makanan dari ladang dan lautan ke meja hida­ngan masing-masing. 

Kata Ahmad Shabery, golo­ngan penternak dan petani turut berpeluang melihat pelbagai teknologi terkini yang dipamerkan selain boleh melakukan urusan jual beli. 

Malah, katanya, sasaran jualan pada HPPNK 2017 adalah kira-kira RM30 juta sama seperti yang dicapai dua tahun lalu. 

Jelasnya, lebih 1,500 belia turut mengambil bahagian kali ini dengan menyertai kem agrobiz selain terlibat dalam perniagaan buah-buahan dan trak makanan.