Bagi mencapai matlamat tersebut, purata hasil di sawah perlu ditingkatkan kepada 5.72 tan (t)/ sehektar (ha) pada tahun 2020 dan mencapai 6.94 t/ha pada tahun 2040. Tahap sara diri (SSL) tidak banyak berubah pada lima tahun kebelakangan ini iaitu pada lingkungan antara tujuh 70 hingga 72 peratus.

Keperluan dalam negara selebihnya dicukupkan daripada beras yang diimport. Daripada keseluruhan import beras Malaysia, 19 peratus adalah beras berkualiti tinggi atau istimewa seperti Wangi, Basmathi dan Ponni atau dikenali sebagai High Quality Rice (HQR).

Aliran semasa permintaan beras HQR ini dilihat meningkat dengan kadar pertumbuhan purata sebanyak 3.48 peratus setahun. Kadar pertumbuhan beras Basmathi dan Ponni masing-masing pada kadar 0.03 peratus hingga 1.13 peratus manakala beras Wangi menunjukkan kadar pertumbuhan tertinggi iaitu 3.86 peratus.

Perubahan gaya hidup dan faktor ekonomi seperti peningkatan kuasa beli, perubahan cita rasa dan pilihan menyebabkan pengguna kini lebih gemar kepada HQR.

Pengisytiharan varieti istimewa oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), terutamanya beras Wangi dijangka dapat meningkatkan hasil padi dan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan import beras negara.

Pada tahun 2005, varieti padi wangi, iaitu MARDI Wangi 74 (MRQ 74) diisytiharkan dengan purata hasil sebanyak empat hingga 4.5 t/ha dan lebih rintang penyakit berbanding dengan padi Wangi MARDI sebelumnya iaitu MRQ 50.

Pada tahun 2012, satu lagi varieti padi wangi diisytiharkan iaitu MARDI Wangi 76 (MRQ 76) dengan purata hasil yang lebih tinggi iaitu sebanyak antara 5.0 hingga 5.5 t/ha.

Varieti ini mempunyai ciri-ciri yang sama dengan beras Wangi Jasmine yang diimport iaitu lembut dan melekit.

Varieti terkini ialah MARDI Wangi 88 yang diisytiharkan tahun lalu. Purata hasil adalah antara 4.5 hingga 5.0 t/ha dengan ciri sederhana rintang kepada penyakit dan perosak utama padi.

Skor wangi juga lebih baik berbanding dengan MARDI Wangi 74 dan setanding dengan MARDI Wangi 76. Ciri utama yang membezakan MARDI Wangi 88 dengan MARDI Wangi 74 serta MARDI Wangi 76 adalah dari segi kandungan amilosa yang sederhana iaitu nasi sederhana lembut, namun tidak melekit.

Ciri ini membezakannya dengan MARDI Wangi 74 iaitu nasinya yang seroi manakala MARDI Wangi 76 dengan ciri nasinya lembut dan melekit.

Justeru, MARDI Wangi 88 ini berada antara dua kelas yang dinyatakan.

Malaysia import beras RM1.6 bilion

MARDI Wangi 88 dipromosi sebagai beras Wangi cita rasa Malaysia terutama dalam kalangan pengguna yang lebih menggemari beras sederhana lembut. Promosi varieti tersebut juga disasarkan kepada bukan penggemar beras Wangi kerana ciri nasi varieti ini yang mirip kepada beras biasa, iaitu tidak melekit.

Varieti padi Wangi ini diperkenalkan oleh MARDI untuk memberi kepelbagaian kepada beras istimewa tempatan dan mempunyai ciri-ciri yang agak setanding dengan beras Wangi import.

Senario padi wangi

Pada tahun 2014 Malaysia mengimport beras sebanyak 884,000 tan yang bernilai RM1.6 bilion. Pada masa kini kebanyakan penanam beras wangi adalah di kawasan luar jelapang terutamanya di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dengan purata hasil sebanyak 3.2 tan/hektar (ha).

Jika kita ingin mengeksport beras wangi, keluasan dan kawasan dengan prasarana yang lebih baik adalah satu keperluan. Penanaman padi di kawasan jelapang mungkin salah satu pilihan yang boleh dilakukan. Buat masa ini, jumlah keluasan bertanam di kawasan jelapang ialah 400, 733 ha.

Jika beras wangi tempatan ini boleh ditanam sekurang-kurangnya 20 peratus di kawasan jelapang iaitu seluas 80,146 ha dengan anggaran hasil 5 t/ha, jumlah pengeluaran padi wangi adalah sebanyak 400,000 tan, iaitu bersamaan 260,000 tan beras. Setiap tahun, dianggarkan Malaysia mengimport beras berkualiti tinggi sebanyak 167,000 tan. Jika jangkaan hasil ini dapat dikeluarkan, keperluan dalam negara sekurang-kurangnya telah dapat ditampung dan selebihnya mungkin boleh ke pasaran eksport.

Kajian penerimaan pengguna (consumer preference) iaitu penduduk negara ini terhadap beras wangi tempatan yang menunjukkan kemampuannya menembusi pasaran tempatan jika harga yang ditawarkan kepada pengguna lebih rendah berbanding dengan purata harga beras wangi semasa di pasaran iaitu RM5/kg.

Sehubungan itu, penanaman beras wangi di Malaysia harus lebih konsisten jika ingin menjurus kepada pengeksportan beras wangi. Pengeluaran yang berterusan dari dalam dan luar jelapang akan meningkatkan pengeluaran beras wangi bagi keperluan dalam negara dan juga pengeksportan. Selain itu, penanaman varieti padi spesialti secara meluas akan meningkatkan industri padi negara ke tahap yang lebih baik secara amnya.