Sebagai bukti kejayaan kecil itu, satu projek perintis yang dimulakan sejak beberapa bulan lepas hasilnya mula dinikmati.

Menerusi anak syarikatnya, TPM Biotech Sdn Bhd. (TPM Biotech) memulakan projek tersebut didorong oleh kesedaran untuk menggalakkan pengambilan sayur- sayuran bebas racun yang organik dan dalam masa yang sama membantu meningkatkan bekalan sayur sayuran tempatan.

Ketua TPM Biotech, Ema Ukhtiah Zakaria berkata, pada asalnya projek tersebut bertujuan mempelbagai projek penyelidikan melibatkan antaranya kultur tisu tanaman dalam beberapa ruang dimiliki dan akhirnya mendapat inspirasi untuk menghasilkan makanan sihat.

“Kami pelbagaikan perniagaan di TPM Biotech dan mengambil kesempatan ini untuk menghasilkan sayur tanpa baja kimia menggunakan nutrien solution daripada alam semula jadi.

“Teknologi hidroponik ini menggunakan air tanpa tanah tetapi komponen pentingnya adalah larutan nutrien, sekali gus dapat menghasilkan sayur yang rendah menggunakan potasium,’’ ujarnya sambil memberitahu 
kos memasang set hidroponik bagi 856 pokok sekali tanam hanya puluhan ribu ringgit.

Oleh kerana sayuran yang ditanam adah jenis berdaun seperti salad dan sawi tempoh menanam amat ringkas antara dua hingga tiga minggu sahaja sebelum boleh dituai. Jenis sayur yang ditanam adalah Japanese choy sam kale, kubis Cina Super Cross, Celtuse love, lettuce loosleaf, fan park chor, dwarf park choy, lettuce butterhead, red lettuce dan ong king.

Mengenai aspek pemasaran, Ema Ukhtiah berkata, sebagai permulaan pihaknya juga menggunakan kaedah dalam talian dan mereka yang berminat mendapatkan maklumat boleh berhubung dengan pihaknya.

“Kami juga menyasarkan pasar raya besar dan juga hospital sebagai pasaran, selain rumah penjagaan dan kawasan rumah berhampiran,” ujarnya.

Apa yang penting kata beliau, ialah supaya TPM dapat membantu menggalakkan pemakanan sihat selain mempromosi teknologi pertanian tepat dan pertanian bandar.

Kejayaan awal TPM Biotech untuk mempromosi inovasi penanaman sayur sihat merupakan sebahagian hasrat kecil syarikat berkenaan untuk memperkenal teknologi mudah tetapi memberi faedah terus kepada pengguna.

Menurut Ketua Operasi dan Sokongan Pembangunan Perniagaan TPM Biotech, Kamarulamin Mohamend Bustami, teknologi pertanian hidroponik yang organik itu wajar dikembangkan dan diperluas bagi meningkatkan produktiviti tanaman sayur sihat.

“Cadangan untuk menghasilkan tanaman dalam kilang atau veggie factory yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) dengan tiga jenis tanaman seperti salad, sawi Jepun dan kailan amat sesuai,” ujarnya.

Apatah lagi dengan tempoh tuaian yang singkat amat sesuai untuk ditanam secara besar-besaran dan terus dibungkus an boleh terus dimakan.

Justeru pihaknya akan memohon pensijilan GAP dari Jabatan Pertanian dengan mengikuti prosedur yang ditetapkan antaranya meminta pegawai berkaitan daripada jabatan tersebut untuk menilai tanaman sayur yang dihasilkan dan mendapatkan bimbingan serta nasihat mereka,

Beliau berkata, setakat ini dua jenis bungkusan sayur yang dihasilkan adalah sayur yang perlu dimasak dan satu lagi sedia untuk dimakan.

Bungkusan salad yang sedia untuk dimakan dibekalkan bersama sudu dan garpu dan rencah.