Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu merangkumi program tanam semula getah, prasarana asas pertanian, aktiviti ekonomi tambahan dan keusahawanan, skim insentif produktiviti getah, khidmat pengembangan dan latihan pekebun kecil.

“Daripada jumlah ini, kerajaan memberikan RM37 juta kepada pekebun kecil (RISDA) Kedah,” katanya ketika berucap dalam majlis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang, dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

“Tujuan turun ke Baling mencerminkan kesungguhan kerajaaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kerajaan komited, kita bersungguh-sungguh ikhlas membantu membina masa depan lebih selamat dan terjamin bagi warga pekebun kecil.

“Datuk Seri Mukhriz telah mencerakinkan tentang betapa pentingnya warga pekebun ke_cil bukan saja di Baling, Kedah ini tetapi seluruh negara. Pekebun-pekebun kecil ini membanting tulang, bekerja dengan gigih dan kuat menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya sambil menambah, kerajaan akan memastikan masa hadapan peneroka dan pekebun kecil di negara ini tidak terbeban dengan kejatuhan harga komoditi.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, RISDA bersedia membuka kaunter khas dengan kadar segera bagi membantu pekebun kecil membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

“Masalah dihadapi pekebun kecil adalah antaranya masalah birokrasi tuntutan IPG. Kita sedia maklum RISDA wujud di setiap daerah dan negeri, tetapi LGM (Lembaga Getah Malaysia) tidak ada struktur sama. – BERNAMA