Usaha sedemikian bukan sahaja dapat mengisi masa lapang, malah memanfaatkan usia persaraan dengan kegiatan berfaedah di samping dapat memelihara kesihatan badan.

Hal ini dibuktikan oleh bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak yang juga pemilik firma Kitchen Garden di Batu 10. Lekir, Sitiawan, Perak. Pesara berkenaan, Hamdan Ahmad Sapli, 51 menanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan herba di sekitar rumahnya tanpa mengeluarkan kos yang tinggi.

Beliau mengusahakan tanaman sayur-sayuran yang mudah ditanam dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggannya.

“Saya turut menanam pokok herba yang sering digunakan di dapur dan bahan perubatan tradisional pelbagai kaum.

“Ia dijual 10 peratus lebih rendah berbanding harga di pasar berdekatan, “katanya ketika ditemui di Lekir, Sitiawan, Perak, baru-baru ini.

Hamdan berkata, perniagaannya dibuka setiap hari tanpa mengikut masa ditetapkan.

Menurutnya, pelanggannya boleh datang pada bila-bila masa kerana tanamannya berada di sekitar rumahnya sendiri.

“Pelanggan saya pernah datang pukul 11 malam kerana mahu membeli daun kunyit berikutan esoknya menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Kebanyakan pelanggan adalah penduduk setempat dan rakan Facebook yang tinggal di sekitar Bandar Manjung, Sitiawan, Perak, “ ujarnya.

Hamdan menambah, kadangkala ada juga sekumpulan rombongan menaiki bas dari Taiping datang berkunjung bagi tujuan membeli sambil belajar cara menanam sayur-sayuran berkenaan.

Menurutnya, jualan hariannya tidak menentu dengan purata RM50 sehari. Hasil jualan tertinggi pernah direkodkan ialah sebanyak RM900 apabila 46 ahli Komuniti Rukun Tetangga (KRT) datang belajar sambil membeli pokok tanaman.

Hamdan berkata, kerja menanam sayur-sayuran berkenaan dilakukannya bersama ahli keluarganya.

“Jika menerima banyak tempahan saya sering mengupah pelajar Pendidikan Khas yang pernah menuntut di Kitchen Garden ini selama setahun.

“Saya memulakan usaha berniaga dan berkebun di sekitar rumah pada tahun 2010 ketika baru berpindah ke sini setahun sebelum bersara daripada perkhidmatan TLDM di Lumut.

“Pada mulanya usaha ini dianggap sebagai hobi bagi menggalakkan penduduk setempat bercucuk tanam di sekitar rumah sendiri.

“Lama-kelamaan ramai yang datang membeli sayuran, ulam-ulaman dan herba dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan dan kini mencecah kepada RM2,500,” katanya dengan rasa syukur kepada Allah yang mengurniakan rezeki berkenaan.

Hamdan memberitau, benih tanaman diperolehinya daripada kedai pertanian di sekitar Pekan Sitiawan 
di samping rakan-rakannya yang menjalankan kegiatan sama di tempat masing-masing.

Selain permintaan tanah campuran yang semakin meningkat setiap bulan, jumlah pembelian sayuran segar petik terus daripada Kitchen Garden turut bertambah tinggi.

Beliau turut menyediakan kemudahan tandas dan surau untuk kegunaan pengunjungnya yang datang melawat kebunnya.

“Antara cabaran yang dihadapinya ketika menjalankan usaha ini ialah cuaca tidak menentu sehingga menyebabkan tanaman saya rosak.” katanya.

Dalam tempoh terdekat ini dia akan mengadakan kursus pertanian yang berkonsepkan kebun dapur dan sudah ramai yang mendaftar sebagai peserta.

Sesiapa yang ingin menyertai kursus berkenaan boleh menghubunginya di talian 
019- 5786783.