Ini kerana kajian demi kajian mendapati angkasa lepas boleh dimanfaatkan dalam bidang pertanian melalui perkembangan teknologi, kejuruteraan dan sains.

Sejak 2010, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) melaksanakan beberapa kajian dan eksperimen melibatkan pertanian di angkasa lepas.

Kajian dilakukan dengan kerjasama pihak antarabangsa seperti Jepun di bawah Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA) membolehkan Malaysia menggunakan kemudahan peralatan canggih di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Kelebihan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang aktif dalam Jawatankuasa Asian Beneficial Collaboration through Kibo Utilization (Kibo-ABC) juga menjadi ‘pemudah cara’ bagi membolehkan lebih banyak kajian dilaksanakan di ruang angkasa.

Kibo-ABC merupakan modul eksperimen milik Jepun di ISS yang banyak membantu penyelidik dan saintis tempatan memperluaskan kajian ke angkasa lepas.

Menurut Penyelidik Kanan Angkasa, Mohd. Helmy Hashim, beberapa kajian yang dilakukan termasuk menghantar 500 gram bijih benih cili pada 2010 dan bijih benih kacang merah pada 2013 berjaya membuktikan ruang angkasa boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kajian terutama dalam pendidikan.

Ini kerana, kekuatan gravitinya yang terlalu rendah menyediakan persekitaran sesuai bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi melihat perubahan dalam percambahan tumbuhan.

Eksperimen menghantar biji benih cili varieti MC11 ke ISS melihat perubahan percambahan bijih benih cili setelah ketiadaan graviti selama empat bulan.

“Selepas empat bulan di ruang angkasa, biji benih cili itu diagihkan ke sekolah di seluruh negara untuk melihat potensi pembesarannya, namun didapati tiada perbezaan dengan benih cili biasa. Eksperimen tersebut dijalankan oleh pelajar sekolah dalam mata pelajaran Sains,” katanya.

Sementara itu pada 2013, Angkasa sekali lagi menjalin kerjasama dengan Kibo-ABC dan menghantar benih kacang merah ke angkasa lepas selama sebulan.

Namun, eksperimen kali ini bagi mendapatkan data percambahannya.

“Biji benih tersebut ditanam melalui kaedah rock wool iaitu menggunakan kapas sebagai tempat tampungan air.

Ini kerana sifat di angkasa lepas tidak dapat menampung air menerusi kaedah biasa ekoran tiada graviti.

“Kemudian data itu akan dikongsi di sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

Dalam masa sama, biji benih kacang panjang juga ditanam menggunakan peralatan uji kaji yang sama di bumi.

“Tujuan dua kajian tersebut dilaksanakan serentak bagi melihat perbezaan dari segi komponen percambahan seperti arah akar, kadar percambahan, lebar daun, sifat morfologi tumbuhan dan zat seperti nutrien,” ujarnya.