Dengan kawasan pembangunan yang terhad, menjadi cabaran utama bagi pembangunan sektor pertanian di negara ini. Kawasan pertanian sedia ada juga berhadapan dengan persaingan sektor pembangunan dengan nilai hartanah yang semakin meningkat berbanding nilai pengeluaran dalam bagi subsektor pertanian yang rendah berdasarkan perangkaan pada 2015, selain faktor bencana alam yang sering berlaku.

Ini menjadikan kawasan tapak pertanian yang berkualiti juga agak terhad terutama di negeri-negeri yang membangun seperti Selangor dan Johor, menjadikan pembangunan kawasan pertanian hanya tertumpu di kawasan yang kurang agronomik untuk aktiviti pertanian secara konvensional di kawasan pertanian luar bandar.

Justeru Jabatan Pertanian memperkenal teknologi veggie factory yang diharap dapat memberi nafas baharu kepada sektor pertanian di negara ini.

Veggie factory berasal daripada perkataan vegetable factory merupakan kaedah tanaman secara menegak (vertical farming) di dalam kawasan terkawal yang boleh diaplikasikan di kawasan bangunan industri di dalam setiap unit kediaman.

Teknologi itu dinspirasikan daripada teknologi Jepun setelah berlakunya bencana alam di Fukushima, Jepun pada 2004. Dengan beberapa pendekatan bagi memudahkan teknologi tersebut diaplikasi di negara ini dengan kos lebih rendah dan mampu milik.

Selain itu, pendekatan teknologi tersebut juga diharap dapat membantu meningkatkan hasil produktiviti tanaman di dalam kawasan yang terhad khususnya tanaman sayuran dengan hasil yang berkualiti tinggi serta bebas daripada bahan racun makhluk perosak. Penggunaan bahan racun makhluk perosak dapat seratus peratus dikurangkan sekiranya pengusaha sentiasa memastikan kebersihan dan sanitasi kawasan bangunan dapat dikekalkan.

Faktor pencahayaan merupakan salah satu elemen yang memainkan peranan yang penting di dalam veggie factory. Pencahayaan penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) berterusan selama 16 jam sehari mampu mempercepat tempoh tuaian hasil tanaman berbanding kaedah konvensional.

Sebagai contoh tempoh tuaian sayur sawi Jepun atau pak choi dapat disingkatkan dari 35 hari kepada 20 hari.

Selain itu, kaedah penanaman juga boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian ekonomi individu dan projek sama ada menggunakan kaedah hidroponik, aeroponik teknik filem nutrien (NFT) yang bebas daripada penyakit bawaan tanah.

Berdaya maju

Ini secara tidak langsung dapat menarik golongan muda untuk berdaya maju dalam sektor pertanian dengan menarik balik tanggapan pertanian itu kotor.

Selain memberikan pengeluaran dan pendapatan yang lebih stabil kepada pengusaha dengan mengurangkan risiko kepelbagaian perubahan semula jadi kawasan persekitaran akibat bencana alam dan cuaca yang tidak menentu.

Pengusaha juga dapat mempertingkat nilai pendapatan dengan tanaman sayuran atau herba yang biasanya ditanam di kawasan sederhana atau temperate atau kawasan tanah tinggi yang mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi seperti daun salad dan daun basli yang boleh dijual dengan harga premium.

Kawalan suhu boleh dibuat dengan menggunakan pendingin hawa bagi mengekalkan suhu persekitaran di antara suhu antara 25 hingga 27 darjah Celsius selain kawalan kelembapan persekitaran dengan suhu persekitaran pokok.

Kawalan suhu dan kelembapan ini boleh diabaikan sekiranya aktiviti ini dijalankan di dalam unit kediaman bagi tujuan sara diri.

Dengan tambahan penggunaan gas karbon dioksida dengan nilai kepekatan 1,000 bahagian per juta (ppm) selain aktiviti saliran sistem pengudaraan yang baik juga disarankan bagi pengusaha yang menjalankan aktiviti pertanian veggie factory secara komersial.

Sebagai agensi yang dekat dengan petani, Jabatan Pertanian telah menjalankan beberapa kajian kesesuaian di beberapa Makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) veggie di Bahagian Hortikulturnya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pertanian, Wan Mohammad Zulkarnain Baharuddin, projek veggie factory sedang dibangunkan di Serdang di dalam unit bangunan berkeluasan 10 kaki x 20 kaki yang menempatkan 768 point tanaman hidroponik dan 72 point tanaman bagi mini NFT. Projek berkenaan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2016.

“Pembangunan veggie factory di Serdang adalah bagi tujuan penyelidikan mengenai teknologi ‘kilang tanaman’ yang menggunakan kos rendah, di samping memberi peluang kepada orang ramai untuk belajar mengenai teknologi ini,” ujarnya.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Abdul Daut, pembangunan veggie factory perlu dilihat dari dua aspek.

Aspek pertama kata beliau, adalah ekonomi pengeluaran iaitu sekiranya kos pengeluarannya rendah berbanding harga jualan produk, ia boleh dikembang luas.

“Namun, jika kos jualannya tinggi maka nilai tambah perlu dilakukan untk meningkat nilai jualan iaitu untuk pasaran terfokus setanding dengan produk organik.

“Aspek kedua adalah masalah penggunaan ruang bagi veggie factory ini kerana ia tidak lagi terhad kepada tanah.

“Ini kerana pengeluarannya boleh dipertingkat pada bila bila masa kerana tidak dikekang oleh faktor cuaca, risiko penyakit dan perosak,” jelasnya.

Justeru katanya, penjadualan dan perancangan pengeluaran boleh dilakukan dengan baik bagi memenuhi permintaan pengeluaran terutama pada msuim perayaan dan cuaca melampau seperti banjir dan kemarau panjang.

Berkongsi lanjut beliau berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan pusat latihan teknologi veggie factory atau kilang tanaman dengan kelengkapan yang lebih baik di Serdang, di samping melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang berkenaan.