Baja Organik

Jabatan Pertanian telah memperkenal dan menggalakkan penduduk bandar menghasil sendiri baja organik dari sisa buangan dapur atau daripada sumber sisa tanaman sebagai sumber baja kepada tanaman.

Baja organik adalah mesra alam iaitu baja yang tidak mengandungi bahan kimia.

Ia merupakan unsur mineral semula jadi yang diperlukan untuk kesuburan tanah dan memulihkan tanah mati.

Penggunaan baja kimia secara terus menerus tanpa diimbangi dengan menggunakan baja organik telah terbukti mengakibatkan terjadinya kerosakan tanah baik dari sifat fizik, kimia mahupun biologi tanah.

Dengan menggunakan baja organik, kerosakan tanah dapat diperbaiki dan dikembalikan sifat kesuburannya di samping meningkatkan produktiviti pertanian.

Racun Organik

Penduduk bandar juga diberi bimbingan teknikal untuk menghasilkan sendiri racun organik daripada bahan semula jadi seperti serai, bawang putih dan cili. Dengan memperkenal kaedah ini, penduduk bandar boleh menjimatkan kos dengan menghasilkan sendiri baja dan racun organik yang mudah dihasilkan dan selamat untuk digunakan.

Terdapat pelbagai cara lain yang boleh digunakan untuk menjamin kualiti hasil pertanian tanpa menggunakan racun serangga serta racun rumpai.

Antaranya adalah penggunaan bahan semula jadi untuk menghasilkan racun organik.

Kebaikan menggunakan bahan-bahan ini adalah kita dapat menentukan keaktifannya dan menyediakan mengikut keadaan yang diperlukan. Bahan yang lebih banyak boleh digunakan jika terdapat serangan-serangga yang lebih ketara dan serius.

Kajian yang telah dijalankan oleh beberapa pakar pertanian yang menunjukkan penggunaan racun organik adalah jauh lebih efektif untuk menjauhkan serangga perosak tanaman. Penggunaannya juga tidak membawa kemudaratan kepada alam sekitar serta kepada kesihatan manusia secara keseluruhannya.

Malah ia dapat mengekalkan beberapa zat serta vitamin penting dalam tumbuhan tersebut tanpa dicemari racun serangga. Cara ini adalah sesuai dan amat praktikal untuk diguna pakai oleh penanam, tambahan pula bahan-bahan ini mudah didapati di sekeliling kita.

Antara negara luar yang turut melaksanakan kaedah ini dan bukti manfaat yang diperolehi?

Merujuk kepada maklumat di laman di https://en.wikipedia.org/wiki/Urban_agriculture, aktiviti pertanian bandar telah dijalankan secara berkesan di negara-negara berikut di Queensland (Australia) Kaherah (Mesir), Havana (Cuba) Mumbai (India) dan Bangkok di Thailand.

Bandar-bandar lain adalah Beijing (China), New York dan California (Amerika Syarikat), Montreal (Kanada), Yorkshire (United Kingdom) dan Rosario di Argentina.

Secara ringkas manfaat yang telah diperoleh oleh beberapa bandar raya di dunia ditunjukkan oleh jadual disertakan (Jadual 1).

Manfaat lain iaitu adalah pertama iaitu impak pertanian bandar ke atas kesihatan, pemakanan dan kesejahteraan penduduk bandar mnakala manfaat kedua adalah impak pertanian bandar ke atas penjanaan pekerjaan dan pendapatan.

Secara anggaran berapa lamakah tempoh untuk kita menyaksikan kesan baik pelaksanaan penggunaan produk biodegradasi?

Produk biodegradasi (biodegradable products) adalah produk yang akan mengurai (biodegradable) oleh aktiviti mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan juga kaedah biologikal lain bagi sesuatu tempoh masa.

Apa silapnya plastik dan styrofoam?

Plastik dan styrofoam ialah hasilan petroleum yang tidak terurai, kekal dalam alam persekitaran selama ratusan ke ribuan tahun, dan menghasilkan bahan-bahan toksik menyerap masuk ke dalam air bawah tanah.

Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, sumber pembuangan kedua terbesar adalah plastik iaitu sembilan peratus dengan nilai RM163 juta. Sisa plastik mengambil masa ratusan tahun untuk diuraikan, manakala penggunaan produk biodegredasi dilaporkan mampu mengurangkan jisim timbus guna tanah sebanyak hampir 30 peratus.

Apa silapnya pinggan kertas?

Hampir semua produk pakai buang diperbuat daripada serat kayu dara (virgin wood fibre) yang akan memberi kesan terhadap pengurangan hutan semula jadi serta khidmat eko yang disediakan oleh hutan.

Tempoh penguraian (biodegradasi)

Dalam Jadual 2 disertakan tempoh masa bagi beberapa produk yang biasa digunakan untuk ia mengurai apabila bertaburan sebagai sampah sarap.Sebagai panduan, penggunaan produk biodegredasi yang lebih cepat terurai menjadi pilihan untuk digunakan dalam aktiviti pertanian di bandar. Hal ini kerana ia lebih cepat mengurai dalam tanah yang mendapat cukup cahaya, air dan aktiviti bakteria yang diperlukan untuk membolehkan proses pereputan dimulakan. - Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian, Putrajaya