Berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan telah menunjukkan komitmen untuk membantu rakyat meringankan kos sara hidup. Komitmen tersebut tidak hanya tertumpu kepada pekebun kecil dan petani sahaja, malah fokus juga diberikan kepada penduduk bandar dan pinggir bandar. Antara langkah yang diambil untuk mengurangkan perbelanjaan dapur harian ialah dengan menggalakkan penyertaan penduduk bandar untuk bertani bagi memenuhi keperluan bahan makanan sendiri.

Kelebihan pertanian dalam bandar dari segi ekonomi dan alam sekitar?

Selain mengaktifkan laman dapur untuk mengurangkan kos sara hidup isi rumah di kawasan bandar, serta kempen bumi hijau yang berterusan untuk semua rakyat, Jabatan Pertanian berperanan sebagai peneraju utama dalam pembangunan pertanian di bandar dan pinggir bandar.

Pelbagai projek pengeluaran tanaman makanan dan pemprosesan hasil-hasil tani akan diadakan secara terancang untuk dijayakan oleh penduduk bandar bagi tujuan menghasilkan makanan sendiri, menjana pendapatan, menggalakkan interaksi sosial yang sihat, meningkatkan kualiti persekitaran di samping melibatkan mereka untuk mengitar semula sisa bahan makanan dan air.

Sejauh mana kesedaran masyarakat bandar mengenai pertanian dalam bandar sebelum Jabatan Pertanian mempergiat usaha kempen?

Sebelum Jabatan Pertanian memperkenal Program Pertanian Bandar pada 2014, Projek Bumi Hijau telah dilancarkan pada tahun 2006. Projek Bumi Hijau memberi fokus di kawasan bandar dan desa dengan menggalakkan penduduk bercucuk tanam dan menternak ayam dan ikan atau dengan kombinasi yang sesuai ditanam kegunaan sendiri dan selebihnya boleh diproses. Penanaman sayur-sayuran akan dilaksanakan di halaman rumah dengan mengambil kira konsep kitchen garden atau edible landscape secara langsung akan memperindah landskap kawasan kediaman mereka.

Aktiviti yang dilaksanakan meliputi tanaman yang dipilih terdiri daripada sayur-sayuran jenis daun dan sayur-sayuran jenis buah, herba, rempah ratus, ulam-ulaman, ternakan ikan dalam kanvas dan ternakan ayam kampung yang boleh dihasilkan secara berterusan. Program ini dilaksanakan secara individu atau keluarga dan secara kumpulan, komuniti atau institusi.

Kesedaran masyarakat bandar sedia wujud sebelum Program Pertanian Bandar dilaksanakan bagi menyambung impak positif Projek Bumi Hijau. Masyarakat bandar mempunyai kesedaran mereka perlu menghasilkan makanan sendiri, menjana pendapatan, menggalakkan interaksi sosial yang sihat, meningkatkan kualiti persekitaran dan mengkitar semula sisa buangan bandar dan air.

Melalui usaha dan pendekatan yang praktikal, Jabatan Pertanian memperkenal kaedah pertanian tanpa tanah dan kaedah penanaman yang menggunakan ruang yang minima, penduduk bandar telah sedar bahawa pertanian boleh dilaksanakan di bandar.

Bagaimana pula setelah program dilaksanakan? Apakah perkembangannya kini?

Dalam hubungan ini, Program Pertanian Bandar telah diperkenal sejak tahun 2014. Pencapaian program ini pada tahun 2014 menyaksikan penglibatan seramai 5,767 peserta berdaftar dari 334 lokasi projek.

Bagi tahun 2015 pula, bilangan peserta yang berdaftar telah meningkat dengan mendadak iaitu seramai 26,967 orang daripada 1,040 lokasi telah menyertai projek-projek yang dianjurkan bawah program pertanian bandar.

Bagi tahun 2016 pula angka penyertaan menyaksikan lebih ramai warga bandar menunjukkan minat menjalankan pertanian di bandar, dengan pencapaian bagi tempoh Januari-Disember 2016 pelaksanaan program Pertanian Bandar telah berjaya mencapai 32,955 (102.98 peratus) orang peserta dari 1,445 orang (180.63 peratus) lokasi projek, berbanding sasaran 32,000 peserta dengan 800 lokasi projek.

Ini bermakna sejak ia mula diperkenal sehingga sekarang (2014-2016), program Pertanian Bandar Jabatan Pertanian telah mencapai penyertaan yang sangat menggalakkan, iaitu seramai 63,130 penduduk bandar dan pinggir bandar telah menyertai program ini dari 2,715 lokasi di seluruh negara.

Adakah kementerian menyasarkan tempoh waktu yang tertentu?

Secara khususnya, Program Pertanian Bandar tidak mempunyai sasaran tempoh masa yang tertentu. Program ini merupakan kempen yang berterusan bertujuan menggalak serta membudayakan warga bandar menanam sendiri sayur-sayuran dan tanaman makanan lain di sekitar kediaman mereka untuk membantu mengurangkan beban kenaikan harga makanan.

Bantuan yang disediakan 

Apakah jenis skim bantuan atau galakan yang disediakan?

Jabatan Pertanian membimbing warga bandar menjalankan aktiviti-aktiviti berikut:

  • Pertanian di sekeliling kediaman/premis.
  • Integrasi edible garden dengan landskap.
  • Melaksanakan vertical farming (bangunan terbiar)/roof farming (atas bangunan).
  • Ornamental dan nurseri.
  • Hidroponik.
  • Pengamalan Teknologi Pertanian Hijau.
  • Membangun dan menyelaras kebun kejiranan.
  • Menggalakkan aktiviti-aktiviti gotong-royong dan pembersihan di kawasan lapang.
  • Melaksanakan pengkomposan sisa buangan dan kitar semula.
  • Perladangan organik.
  • Pengeluaran tanaman bernilai tinggi untuk ‘niche market’ (contohnya tanaman melon).
  • Menjalin kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara jabatan, agensi dan swasta berkaitan dalam aktiviti pertanian bandar.
  • Khidmat nasihat teknikal dan latihan pertanian di bandar.
  • Menyelaras pemasaran produk pertanian bandar dengan penggalakan ‘agropreneur’ muda bandar.

Apakah rancangan pihak Jabatan Pertanian bagi mencapai matlamat jangka panjang program ini terutama dalam membantu penduduk kawasan bandar?

Jabatan Pertanian sentiasa menggerakkan usaha bagi mencapai matlamat jangka panjang Program Pertanian Bandar. Hebahan melalui pelbagai platform komunikasi akan diteruskan bagi mempromosi program ini untuk melahirkan kesedaran dan menarik minat orang ramai.

Antara aktiviti yang sedang dijalankan dan dalam perancangan adalah seperti di bawah:

  • Memperkasa kempen kesedaran dengan mengadakan aktiviti kempen yang berterusan kepada penduduk bandar mengenai kepentingan sumbangan mereka terhadap keperluan bahan makanan negara, terutama untuk penduduk bandar sendiri.
  • Menambah usaha promosi melalui media tradisional dan elektronik. Promosi melalui akhbar, radio, televisyen dan aplikasi dalam talian seperti Facebook dan Twitter sedang ditingkatkan.
  • Meningkatkan program pada peringkat sekolah dan institusi melalui penambahan bilangan projek pertanian bandar.
  • Membantu warga bandar dalam aktiviti jualan hasil kebun bandar, misalnya jualan di kebun, pasar tani, kedai runcit dan sebagainya.
  • Mewujudkan direktori kedai/premis jualan input dan peralatan kecil pertanian bagi memudahkan penduduk bandar mendapatkan bekalan benih, baja dan kimia organik serta peralatan yang diperlukan.
  • Membimbing pekebun bandar dalam mengamalkan teknologi pertanian yang sesuai termasuk teknologi penghasilan bijibenih, penjagaan tanaman, dan kawalan perosak dan penyakit tanaman.
  • Memberi penghargaan kepada masyarakat kebun bandar seperti menganjurkan pertandingan Kebun Bandar Terbaik bagi tujuan meningkatkan motivasi untuk membudayakan amalan pertanian di bandar.
  • Meningkatkan usaha penyelarasan antara jabatan agensi yang terlibat dalam Program Pertanian Bandar. Kerjasama menerusi kesepakatan dan penggemblengan usaha pelbagai pihak seperti jabatan, agensi, institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya pada peringkat Persekutuan dan negeri akan diperkasa supaya perkhidmatan yang berkualiti dapat disediakan kepada penduduk bandar.