Pada peringkat huluan pula, pengeluaran buah kelapa agak terhad manakala penanam yang mempunyai azam membangunkan industri kelapa berdepan dengan masalah ketidakcukupan benih yang dihasilkan.

Sebagaimana yang dikongsikan oleh Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Hortikulktur, Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Hilir Perak, Ahmad Ngalim, beberapa isu membelenggu industri kelapa tempatan antaranya pokok sedia ada sudah tua dan sukar untuk dituai selain masalah kekurangan tenaga buruh terutama untuk menuai.

Masalah lain antaranya termasuklah keluasan penanaman berkurangan meskipun pengeluaran meningkat tetapi belum cukup penuhi permintaan industri tempatan dan terpaksa mengimport terutama dari Indonesia.

“Isu yang lebih penting adalah wujudnya keperluan mengeluarkan varieti baharu kelapa yang kualiti tinggi ,’’ ujarnya.

Pergantungan berterusan terhadap kelapa Matag tidak dapat menjamin industri ini akan berkembang.

Kelapa Matag merupakan sejenis varieti hibrid yang popular ketika ini, dihasilkan menerusi kacukan dua induk kelapa berbeza iaitu Tagnanan sebagai induk jantan dengan Malayan Red Dwaft (MRD) atau Malayan Yellow Dwaft (MYD) sebagai induk betina.

Nama ‘Matag’ pula singkatan gabungan antara ‘Ma’ (Malayan) dan ‘Tag’ (Tagnanan) dari Filipina bagi menggambarkan kelapa hibrid hasil kacukan dua varieti berbeza.

Beliau berkata, baka Matag kini sudah memenuhi 30 peratus kawasan bertanam kelapa dan kesukaran mendapat baka tersebut berlaku disebabkan minat kepada baka tersebut terlalu tinggi.

Justeru katanya, kepelbagaian genetik perlu diwujudkan iaitu dengan menghasilkan pelbagai varieti dan sekiranya ada serangan penyakit besar-besaran atau serangga, masih ada pilihan bagi penanam.

Bagi mendepani isu kesukaran mendapatkan baka Matag, pihaknya telah menjalankan penyelidikan pembaikbakaan beberapa varieti baharu kelapa dan yang sedang dijalankan sekarang.

“Kita sedang menjalankan kajian ini dan sekiranya tidak ada masalah, varieti ini boleh diumumkan paling awal tahun hadapan,’’ ujar Ahmad.

Beberapa varieti kelapa hibrid MARDI yang berpotensi untuk diguna pakai sebagai bahan tanaman pilihan selain Matag kini dalam penilaian.