Teknologi boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai inovasi dan memudahkan pekerjaan harian manusia selain membantu menyelesaikan masalah berkaitan.

Hal yang sama dalam bidang pertanian bahawa teknologi membantu dalam proses transformasi untuk meningkatkan pengeluaran, sekali gus menjamin sekuriti sumber makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kreativiti dan inovasi sangat penting dalam memastikan industri pertanian dapat bergerak menuju ke hadapan.

Menurutnya, penubuhan Pusat Inovasi yang dijalankan oleh kementeriannya dapat membantu petani menyelesaikan masalah yang berlaku di lapangan, sekali gus meningkatkan kadar keberhasilan.

“Ia akan membantu petani mendapatkan teknologi terkini supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti.

“Selain itu, ia akan memudahkan aktiviti pertanian menjadi lebih cepat, efisien dan juga meningkatkan pendapatan para petani,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Agri Tech & Engineering Innovation (ATEi) 2018 di Bahagian Kejuruteraan, Jabatan Pertanian, Serdang, Selangor baru-baru ini.

SALAHUDDIN AYUB mencuba alatan pembuka buah durian ketika melawat ke tapak pameran dan demonstrasi m
SALAHUDDIN AYUB mencuba alatan pembuka buah durian ketika melawat ke tapak pameran dan demonstrasi m 

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, inovasi merupakan idea baharu dalam usaha meningkatkan kualiti, produktiviti, keberkesanan dan kejayaan dalam sesuatu projek serta menambah nilai output.

Katanya, pusat inovasi berperanan menyokong sistem pengembangan tekno pertanian, mewujudkan kesedaran peladang serta meningkatkan kompetensi pegawai dari aspek pemesinan dan automasi ladang.

“Selain itu, ia akan menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan kakitangan, selain sebagai sumber rujukan pelajar dan petani serta usahawan. Teknologi dan inovasi yang dihasilkan adalah berdasarkan cetusan idea petani hasil daripada permasalahan di lapangan dan Pegawai Bahagian Kejuruteraan Pertanian membantu dengan mereka bentuk dan menambah baik idea idea petani,” jelasnya.

Tambahnya, Teknologi dan Inovasi yang dihasilkan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Inovasi Jabatan Pertanian yang dijalankan setiap tahun.

Galakkan ceburi pertanian moden

Ternyata inovasi cetusan hasil kreativiti pakar-pakar Jabatan Pertanian menjadi faktor penting mendorong kepada tranformasi pertanian di negara ini dan membuka peluang kepada masyarakat untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut.

Dengan adanya inovasi yang dihasilkan, bidang pertanian kini bukan sahaja terhad kepada masyarakat di kampung sahaja, malah penduduk bandar juga kini boleh menjadi petani moden.

PENANAMAN sayur yang tidak memerlukan tanah dalam kaedah spin tower.
PENANAMAN sayur yang tidak memerlukan tanah dalam kaedah spin tower. 

Antara inovasi yang menarik perhatian ialah menara berputar atau spin tower yang direka oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menerusi Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah, Terengganu.

Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Kejuruteraan Bukit Payung, Terengganu, Raja Safian Raja Abdullah berkata, inovasi berkenaan ialah Menara Aeroponik yang ditambah baik dan diubah suai daripada sistem fertigasi konvensional.

“Rekaan utama sistem ini ialah terdapat tiga tiang tanaman utama diletakkan dalam takungan air dan menggunakan sistem turbin air untuk memusingkan menara tersebut.

“Dengan itu, sayur-sayuran seperti salad dan sebagainya bukan sahaja boleh ditanam di rumah tetapi juga di pejabat dan dijadikan hiasan dengan menggunakan spin tower ini yang mengamalkan kaedah penyiraman larutan air baja mengunakan microsprinkler dan setiap satu tiang mempunyai 46 lubang.

Selain itu, satu lagi inovasi menarik yang telah dihasilkan ialah Muricata Shaker iaitu teknologi pendebungaan berbantu durian Belanda yang dapat meningkatkan peratus pembentukan buah sehingga 90 peratus.

Ketua Penolong Pengarah Pusat Kejuruteraan Ayer Hitam Johor, Mufiddah Mohamad berkata, masalah yang sering dihadapi pengusaha durian belanda ialah pembentukan buah yang kurang sempurna dan menjejaskan harga di pasaran.

“Teknologi ini perlu digunakan secara pakej dengan mengambil kira faktor-faktor seperti masa yang tepat, pemilihan bunga yang tepat dan kaedah atau alat yang tepat iaitu Cangkuk Y dwifungsi untuk memudahkan aktiviti menolak atau menarik dahan untuk menghasilkan kesan goyangan pada bunga.

“Apabila goyangan dibuat, debunga yang tersedia akan dipindahkan kepada stigma yang masih melekit dan akan menghasilkan pendebungaan yang sempurna kepada keseluruhan stigma.

“Ia akan memberikan bentuk buah yang seragam seperti jantung dengan berat purata dua hingga tiga kilogram sebiji,” jelasnya.

SITI ZUBAIDAH JASMAT (kiri) menunjukkan cara menggunakan alat pemotong dan pengumpul buah limau nipi
SITI ZUBAIDAH JASMAT (kiri) menunjukkan cara menggunakan alat pemotong dan pengumpul buah limau nipi 

Dalam pada itu, Bahagian Kejuruteraan Pertanian Ayer Hitam, Johor telah menghasilkan Harvesturi yang berfungsi sebagai alatan bagi membantu petani menuai hasil limau kasturi dengan lebih mudah, cepat dan menjimatkan masa.

Menurut Pegawai Pertaniannya, Siti Zubaidah Jasmat, penggunaan Harvesturi dalam sektor pertanian dapat mengelakkan kulit limau terkoyak semasa proses tuaian dilakukan secara manual.

“Alat yang digunakan untuk inovasi ialah scateurs yang digunakan untuk memotong buah, paip PVC yang disambung pada scateurs untuk menyalurkan hasil dituai ke dalam tong penyimpanan bagi mengelakkan hasil jatuh ke tanah kerana boleh mengurangkan kualiti gred.

“Setelah perbandingan dibuat, didapati seorang pekerja boleh menuai 10.8 kilogram berbanding 6.3 kilogram secara manual iaitu peningkatan sebanyak 26.3 peratus. Dengan peningkatan sebanyak itu, pengusaha boleh mengurangkan pekerja sektor tuaian hingga lima orang sehektar,” katanya.