Umum juga sedia maklum, walaupun tanaman kelapa adalah tanaman keempat terbesar di negara ini, ia tetap menjadi industri penting kepada negara kerana ia menyumbang kepada sosioekonomi khususnya dalam pembasmian kemiskinan dalam kalangan pekebun kecil kelapa.

Selain itu, industri kelapa juga penting untuk memenuhi keperluan kelapa segar dan pemprosesan negara di samping berkeupayaan menjana sumber-sumber pertumbuhan baharu seperti minyak kelapa dara (VCO).

Sebahagian besar daripada variasi kelapa yang ditanam adalah dari jenis tradisional iaitu Malayan Tall dan jenis hibrid komersial seperti Matag (hibrid Malaysian Tall dan varieti Tagnanan), pandan dan mawar dan dianggarkan 61 peratus daripada keluasan kelapa di Semenanjung Malaysia dengan kawasan utamanya adalah Hilir Perak (Perak), Sabak Bernam (Selangor) dan Batu Pahat (Johor).

Sebagai tanaman yang mempunyai 1,001 macam kegunaan, industri kelapa negara juga tidak terlepas daripada cabaran masa kini misalnya usia ladang kelapa yang tua dan tidak berganti dengan tanaman baharu menyebabkan hasil kelapa semakin berkurang.

Kekurangan kawasan tanaman juga menyebabkan pengeluaran kelapa tempatan masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kelapa segar dan industri pemprosesan.

Antara cabaran lain, bekalan benih hibrid kelapa masih tidak mencukupi selain kekurangan teknologi terkini yang dapat digunakan dalam industri tanaman kelapa.

Bukan itu sahaja, kecenderungan pekebun kecil kelapa untuk menukar kepada tanaman lain turut menjadi cabaran utama dalam industri kelapa selain kos pengeluaran dan pemprosesan yang semakin meningkat.

Oleh demikian, melihat akan kepentingan industri kelapa, Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) dengan kerjasama Fakulti Pertanian UPM bersama-sama agensi serta jabatan bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah bekerjasama untuk menganjurkan program Bengkel Kelapa Kebangsaan 2016.

Pengerusi jawatankuasa penganjur program, Datuk Syed Abd. Rahman Abd. Rashid berkata, program tersebut merupakan usaha untuk memulihkan industri kelapa tempatan berdasarkan cabaran yang dihadapi.

Menurutnya, usaha perlu dilakukan dengan mengatur strategi meningkatkan produktiviti supaya pendapatan pekebun kecil turut meningkat dan bekalan kelapa negara bertambah bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport.

“Bengkel ini merupakan platform bagi semua pihak yang terlibat dalam industri untuk memberi dan mendapatkan maklum balas terkini senario industri kelapa di Malaysia menerusi penemuan-penemuan baharu dan kegunaannya dalam mengekalkan dan memajukan ekonomi.

“Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk mengemas kini perkembangan industri kelapa di negara ini serta membantu kerajaan dan agensi terlibat untuk melaksanakan polisi dalam mencapai pertumbuhan dan perkembangannya sebagai industri yang sedang meningkat naik.

“Selain itu, melalui bengkel ini juga kita dapat membincangkan strategi yang dapat membina platform interaksi dan faedah bersama antara pemegang taruh di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di UPM, Serdang baru-baru ini.

Menurut Syed Abd. Rahman, antara topik menarik yang akan dibincangkan dalam seminar tersebut ialah Rangkaian Global Kelapa oleh Dr. Sivapragasam dari Biro Pertanian Komanwel Antarabangsa (CABI), Ekonomi Industri Kelapa oleh Prof. Madya Dr. Ismail Latif dari UPM, Produk Hiliran Kelapa oleh Linaco Manufacturing Sdn. Bhd.

“Secara umum, terdapat beberapa aspek yang akan dibincangkan dalam bengkel tersebut untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan dan industri seperti dari aspek sosial, teknikal, pentadbiran, pengurusan, ekonomi, alam sekitar dan politik.

“Menerusi penganjuran program ini juga, kami berharap agar beberapa cadangan atau tindakan dapat dilaksanakan oleh pihak berkaitan untuk melakukan penanaman semula kelapa serta pemulihan kelapa.

“Penganjuran bengkel ini juga dapat membantu penyelarasan khas untuk penubuhan unit atau badan khas untuk menguruskan segala hal berkaitan hal ehwal tanaman kelapa di Malaysia,” ujarnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka merasmikan bengkel tersebut.