Keadaan cuaca di negeri Perlis menjadikan negeri tersebut amat sesuai untuk penanaman mangga harumanis yang memerlukan keadaan cuaca panas atau kemarau yang panjang untuk berbunga.

Mangga harumanis bukan sahaja menjadi ikon negeri berkenaan bahkan juga negara kerana varieti berkenaan sahaja yang dibenarkan oleh Kerajaan Jepun diimport dari Malaysia.

Kerana keunikan cuaca dan kesesuaian serta kualiti tanah, mangga harumanis ini hanya ditanam di Perlis terutama di kawasan Bukit Bintang dan Sungai Batu Pahat.

Keistimewaan buah ini bukan sahaja terletak pada keenakannya, namun ia kaya dengan vitamin seperti vitamin C dan E. Ia kaya dengan serat yang tinggi untuk membantu sistem pencernaan dan baik untuk mengawal paras kolestrol.

Penanaman mangga harumanis di Perlis secara besar-besaran bermula pada tahun 1985 menerusi pengurusan estet mini bawah projek pembangunan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP).

Sasaran keluasan keseluruhan penanaman adalah 5,000 hektar (ha) menjelang tahun 2000.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini negara dikejutkan dengan pelbagai isu dan masalah yang dihadapi tanaman mangga harumanis seperti kualiti buah yang tidak memenuhi piawaian, penurunan permintaan, harga yang tinggi akibat manipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga ada pengusaha yang menghadapi kerugian besar tahun lalu ekoran lambakan buah dan penurunan harga memaksa mereka membakar hasil ladang untuk mengelakkan penyakit sehingga menjadi viral di media sosial mahupun media cetak.

Justeru, Persatuan Alumni UPM (PAUPM) sebagai penganjur utama dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan penganjur bersama Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) serta Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) berasa terpanggil menganjurkan Bengkel Memperkasa Mangga Harumanis Perlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, baru-baru ini.

Pencapaian keseluruhan yang dicatatkan hanya sehingga 1,000 ha sahaja. Walau bagaimanapun, jumlah keluasan merosot sehingga 200 ha disebabkan faktor pengeluaran hasil tidak stabil, kos pengeluaran meningkat dan harga pasaran tidak menarik.

Namun, semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, industri ini semakin pesat membangun.

Kemajuan tersebut dipacu oleh tindakan dan usaha keras penggiat industri harumanis. Sebagai contoh, Projek Pemulihan Mangga Harumanis yang dijalankan di Kg. Paya Kelubi pada tahun 2009 dan Projek Pemulihan Harumanis pada tahun 2015 di sekitar negeri yang memfokuskan kepada pemulihan tanaman mangga tersebut.

Dalam masa sama, dianjurkan program pemulihan mangga yang kurang nilai komersial kepada mangga harumanis melalui teknik cantuman dewasa, berjaya membantu memacu kepada pertumbuhan industri ini.

Permintaan yang melebihi bekalan menyebabkan harga harumanis meningkat jika dibandingkan dengan tahun 2000. Disebabkan faktor tersebut, peladang harumanis lebih menumpukan kepada pengeluaran mangga berkenaan yang lebih berkualiti dan mempunyai nilai kosmetik yang tinggi. Harga pasaran untuk musim lalu, harga untuk sekilogram mangga harumanis mampu mencecah RM40 sekilogram untuk gred A.

Sesuai dan sepadan dengan namanya, mangga harumanis adalah sangat unik kerana boleh mengeluarkan aroma yang berbau harum dan isi yang amat lazat.

Mangga harumanis ini boleh dimakan segar, boleh dibuat jus dan enak dimakan bersama pulut. Industri hiliran mangga harumanis juga sedang giat dijalankan.

Produk seperti kordial, tat, jem dan biskut berasaskan harumanis sedang rancak dibangunkan dan mendapat permintaan yang amat menggalakkan.

Hal ini menandakan industri harumanis sedang pesat membangun. Varieti tersebut bukan sahaja terkenal dengan aroma dan kemanisan buahnya, tetapi ini amat kaya dengan vtamin C dan E serta serat yang mampu membantu mengawal paras kolesterol dalam badan.

Demi memastikan industri mangga tersebut berada pada landasan yang betul, penganjuran bengkel harumanis baru-baru ini oleh beberapa agensi diharapkan dapat mengenal pasti masalah dan isu-isu semasa industri, di samping meneliti teknologi penanaman yang lebih lestari.

Program tersebut juga memberi peluang kepada peserta melawat ladang harumanis terpilih di negeri Perlis.

Lawatan tersebut mampu memberi pendedahan sebenar kepada peserta mengenai perkembangan terkini penanaman mangga harumanis Perlis.

Semasa bengkel tersebut, beberapa kertas kerja dari MARDI, FAMA, Jabatan Pertanian Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) telah dibentangkan.

Pengisian lain termasuk perbincangan meja bulat yang dibahagikan kepada tiga kumpulan utama.

Antaranya perbincangan menarik adalah berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) harumanis yang dipengerusikan oleh MARDI, agensi pengeluaran harumanis (Jabatan Pertanian) dan agensi pemasaran dan lepastuai (FAMA).

Pada akhir bengkel, satu resolusi hasil daripada bengkel itu diserahkan kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Fokus bengkel

  • Bahan tanaman yang boleh ditentusahkan benihnya
  • Kaedah pengurusan tanaman sama ada konvensional atau moden
  • Kaedah penuaian hasil ladang yang baik
  • Pengendalian selepas tuai yang baik
  • Jualan dan pemasaran mengikut musim

Objektif bengkel

1. Mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi industri mangga harumanis Perlis

2. Meneliti teknologi sedia ada dan baharu

3. Mencadangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah tersebut.

Angkat imej harumanis

Presiden Persatuan Alumni UPM, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Jamalullail selaku penasihat bengkel berkata, cetusan idea mengadakan bengkel tersebut adalah untuk mengangkat semula imej tanaman ini yang pernah dilanda pelbagai kontroversi sebelum ini.

Beliau yakin mangga harumanis mempunyai potensi untuk dikomersialkan ke peringkat lebih tinggi seperti tanaman durian yang kini mendapat permintaan tinggi di Singapura, China dan Hong Kong.

“Sebagai anak jati Perlis, idea mengadakan bengkel ini sebagai sumbangan peribadi saya untuk mencapai tanda aras penambahbaikan, sekali gus memajukan industri pertanian dan ekonomi negeri Perlis,’’ ujarnya.

Satu tarikan dan kejutan pada bengkel tersebut, iaitu peserta diberi peluang menikmati dan merasai pau harumanis yang merupakan antara produk makanan inovasi terkini yang dihasilkan daripada peserta industri asas tani bawah kelolaan pihak FAMA. Lebih 300 biji pau diedarkan dan dinikmati peserta dan tetamu yang hadir dalam bengkel ini.

Satu demostrasi penggunaan dron dinamakan Octo Sprayer bagi semburan racun dan baja mencuri perhatian peserta yang hadir.

Penggunaan teknologi tersebut sebagai aset yang berpotensi untuk diketengahkan dalam bidang pertanian.

Gerai pameran dari organisasi-organisasi terlibat seperti MARDI, Jabatan Pertanian, FAMA, NCIA, USM dan Unimap turut diadakan bagi menarik minat pengunjung dan peserta sama ada dalam kalangan industri, penyelidik, petani dan pelajar.

Bengkel berkenaan merupakan peluang golongan tersebut untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan industri pertanian selain penyelidikan terbaharu berkenaan produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh pempamer.

Pada bengkel ini diadakan satu perbincangan meja bulat yang meliputi topik-topik penting mengenai harumanis.

Bengkel tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Antara tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam pembangunan industri harumanis adalah meluluskan peruntukan RM1 juta yang disalurkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Perlis.

“Harumanis berpotensi untuk diperluas pasarannya hingga ke luar, bagaimanapun proses penghasilannya mestilah memenuhi kriteria dan kehendak pasaran pengguna dari luar negara,” katanya.