Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata, tanaman itu mempunyai potensi besar termasuk dieksport ke luar negara kerana permintaan yang tinggi.

Menurutnya, daun kelor telah lama dikomersialkan di Indonesia dan banyak ditanam di Sarawak yang mempunyai pelbagai khasiat termasuk dari segi perubatan bagi mengelak penyakit gout dan diabetes.

“Sebagai permulaan, Jabatan Pertanian telah menanam 1,000 batang pokok ‘moringa oleifera’ di Pusat Pertanian Ayer Hitam, di sini sebagai projek perintis untuk kajian dan pengeluaran benih.

“Malah, kita juga mempunyai kerjasama dengan sebuah kilang berhampiran yang memproses ta­naman itu sebagai produk-produk komersial,” katanya selepas me­rasmikan Program Gelombang Tani Nasional peringkat negeri, di sini semalam.

Selain sebagai produk kesihatan, ‘moringa oleifera’ turut dijadikan jus, minuman seperti teh dan kopi, sabun, losyen serta mi­nyak terapi.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, daun kelor juga sesuai diusahakan sebagai tanaman selingan di 10 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dirizabkan untuk pengeluaran bahan makanan di negeri ini.

“Mungkin untuk peringkat awal ini kita akan tanam pokok tersebut di TKPM Batu Pahat dan Kluang selain menggalakkan petani berhampiran menceburi tanaman itu.

“Apatah lagi terdapat syarikat yang berupaya memproses tanaman ini dan usahawan yang meng­usahakannya berpotensi untuk mendapat pulangan tinggi,” katanya.

Sementara itu, satu memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Pertanian, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Syarikat Living Micro Corporation Sdn. Bhd., dimeterai bagi kajian dan penggunaan teknologi tanaman ‘moringa oleifera’.