Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap, kewujudan kumpulan dengan kira-kira 124,000 ahli di seluruh negara itu bakal menjadi satu lagi pemang­kin membudayakan pertanian komersial berteraskan teknologi terkini, dengan produk berkualiti yang memberikan pendapatan tinggi.

Katanya ini sekali gus dapat mengikis persepsi negatif yang masih menebal bahawa bidang ini sebagai kerjaya tradisional yang membosankan dan tidak sesuai diceburi generasi muda berpelajaran kerana tidak memberi pulangan besar.

“Gambaran imej peladang yang menjalankan urusan kerja seharian menggunakan gajet se­perti iPad di samping mengendalikan drone bagi meracun dan pembajaan bukan sesuatu yang asing kerana sudah dilihat di negara ini.

“Dahulu orang mengatakan pertanian ini tidak cool serta hanya untuk orang tua dan mereka yang tidak memiliki pelajaran tetapi jika digerakkan oleh golo­ngan sasar, pasti pandangan itu berubah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan Ke-42 dan menyempurnakan pelancaran penubuhan gerakan itu di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Zainal Dahalan; Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahri Suib dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Peladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Menurut Ahmad Shabery, aktiviti Peladang Muda termasuk berkongsi pengkalan data dan maklumat yang mempermudahkan urusan misalnya menerusi aplikasi drop box bagi kegunaan ramai bakal menjadi trend kelak.

Sementara itu, Ahmad Sabry berkata, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyasarkan keuntungan terus meningkat mencecah RM130 juta pada tahun ini berdasarkan prestasi pelaburan dan perkhidmatannya.

Menurutnya, pertubuhan induk peladang negara itu telah mencatat keuntungan sebanyak RM120 juta dalam uruniaga tahun lalu.

Sehubungan itu juga, beliau memgumumkan Nafas melulus­kan agihan dividen sebanyak 10 peratus buat tahun keempat berturut-turut bagi pelaburan Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Dana Peladang Kebangsaan (DPK).