Namun begitu, seiring peningkatan kesedaran dalam kalangan pengguna serta petani akan kesan penggunaan bahan kimia yang terkandung di dalam beras, alternatif lain telah diambil bagi mengurangkan atau mengelakkan penggunaan bahan kimia dalam tanaman berkenaan.

Sebagai sumber makanan ruji rakyat Malaysia, permintaan terhadap beras organik semakin meningkat dan secara tidak langsung, kebanyakan petani telah beralih dan mempraktikkan penanaman padi organik.

Satu kaedah tanaman padi organik yang semakin dipraktikkan ialah Sistem Intensifikasi Padi (SRI) yang kini menjadi amalan penanaman padi di kebanyakan negara seperti Indonesia, Brazil, Filipina, China, India dan beberapa buah negara lagi.

Secara umumnya, SRI merupakan satu kaedah penanaman padi secara organik yang digunakan untuk meningkatkan hasil padi, mencakupi aktiviti menyediakan tapak tanaman, benih, penanaman, pembajaan, pengairan, penyelenggaraan dan kawalan penyakit.

Dikenali sebagai negeri Jelapang Padi, Kedah juga telah memperluaskan usaha pengeluaran padinya apabila bilangan petani yang menjalankan pertanian organik semakin bertambah dan antara pihak yang giat melaksanakan sistem berkenaan ialah Koperasi Agro Belantik yang berpusat di Kampung Lintang, daerah Sik, Kedah

Pengerusinya, Zakaria Kamantasha berkata, pihaknya telah menamakan projek tanaman padi organik itu sebagai projek SRI Lovely iaitu singkatan kepada nama SRI Lintang Organic Valley dan memasarkannya dengan jenama SRI Lovely Organic.

Menurut Zakaria, pihaknya telah memulakan operasi pada tahun 2010 yang memfokuskan kepada penanaman padi secara organik dan sehingga kini, SRI Lovely telah meluaskan skop pertanian kepada penternakan ikan air tawar.

“SRI adalah satu kaedah penanaman padi yang berbeza melalui prinsip-prinsip pembaikpulihan dan penyuburan tanah, pembenihan, penanaman, pembajaan dan pengairan.

“Kesemua prinsip ini terbukti berjaya setelah pelaksanaannya telah memberi kesan yang sangat positif menerusi hasil tuaian, beras yang lebih berkualiti, dapat menjimatkan sumber dan kos serta penjagaan alam sekitar.

“Menerusi projek SRI Lovely, kita sangat berharap agar dapat membantu meningkatkan pendapatan petani dan komoditi setempat terutama di sekitar daerah Sik dan sekaligus dapat membangunkan ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kedah baru-baru ini.

Tambah Zakaria, selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di situ, pihaknya turut membantu para petani dengan berkongsi ilmu secara teori dan praktikal mengenai penanaman padi menggunakan sistem SRI dan pembuatan baja secara organik.

Secara tidak langsung, usaha murni itu dapat meningkatkan kemahiran dan kepakaran para petani untuk menjayakan projek SRI Lovely selain dapat menjadi perintis kepada petani lain untuk mengamalkan kaedah pertanian organik.

Menurut Zakaria, pihaknya juga sedang giat berkolaborasi bersama agensi penyelidikan dan pembangunan tempatan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan sebagainya untuk membangunkan teknologi tersebut.

“Sebagai contoh, kami telah bekerjasama dengan MARDI dan berjaya membangunkan varieti padi organik jenis MRQ 74. Sekarang pula kami sedang giat membenihkan padi malinja organik selain sebanyak 40 varieti padi akan dibenihkan di sini untuk mencari varieti terbaik menggunakan sistem tanaman SRI,” katanya. - Gambar Ghazali Basri

Tampilkan konsep pelancongan dan pendidikan

Selain membangunkan ekonomi, hala tuju projek SRI Lovely juga adalah untuk menjadi pusat pendidikan serta pelancongan berkenaan tanaman padi organik iaitu melalui konsep ‘edutourism’ dan ‘ecotourism’.

Dengan keluasan 9.64 hektar, SRI Lovely menjadi pusat rujukan padi organik dunia apabila penyelidik serta pihak universiti dari dalam dan luar negara berkampung di sana untuk membincangkan konsep pertanian organik.

“Di sini terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui tentang penanaman padi organik secara lebih mendalam.

“Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan ialah dewan serbaguna terbuka yang boleh memuatkan seramai 50 orang dalam satu-satu masa.

“Selain itu, ada juga beberapa unit rumah tumpangan disediakan sekiranya ada pihak yang berminat untuk bermalam di sini,” katanaya.

Istimewanya, rumah tumpangan yang disediakan adalah seperti rumah kampung lama yang dindingnya didirikan dengan buluh dan menggunakan atap rumbia.

Bagi mereka yang ingin merasa nikmat kehidupan di kampung, lokasi ini boleh dikatakan sebagai tempat yang wajib dikunjungi.

Apatah lagi dengan keadaan sekeliling yang dikelilingi bukit bukau dan sawah padi yang saujana mata memandang, ditambah lagi dengan kehadiran bunyi-bunyi unggas hutan dan haiwan ternakan seperti ayam dan itik.

Dalam masa yang sama, usaha yang dilakukan oleh pihak SRI Lovely ini dapat memperkenalkan dan mengetengahkan budaya tradisi serta teknologi lama yang digunakan dalam pertanian kepada orang luar.