Bukan hanya kerana padi yang menguning emas bila sampai masa matangnya tetapi pemandangan lokasi kebun padi berkenaan ditanam pasti membuat mereka yang melawat ke kawasan tersebut, lebih terpesona.

Tinjauan ke kawasan tersebut baru-baru ini agak mengujakan apabila dapat merasai sendiri pengalaman menuai padi bukit bersama keluarga Dominik Toisin, 47, di Kampung Tomis Lama.

Terletak kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu, Kampung Tomis Lama merupakan kawasan berbukit-bukau, lokasi penduduk kampung di sekitar Nabalu dan Kiulu menjalankan aktiviti pertanian.

Perjalanan yang memakan masa selama dua jam dari Kota Kinabalu dengan menaiki kenderaan darat kemudian perlu mendaki dan meneruni bukit kira-kira 45 minit sebelum sampai ke kebun keluarga Dominik Toisin.

Sepanjang perjalanan, pemandangan yang sangat memukau terbentang di depan mata dengan landskap bukit bukau yang saujana mata memandang.

Menurut adik ipar Dominik, Marryan Razan, sekiranya cuaca tidak berawan, pengunjung dapat melihat Gunung Kinabalu dari lokasi berkenaan. Walau bagaimanapun, ia tidak menghampakan kerana panorama bukit bukau berkabus cukup menambat hati.

Sepanjang perjalanan ke kebun, dapat disaksikan pokok-pokok nanas dan padi ditanam di siring (tepi) bukit ibarat ladang teh di Cameron Highlands yang pasti akan menambat hati anda.

Setiba di kebun, pengunjung disambut mesra dengan sapaan oleh keluarga Dominik memandangkan mereka sedang bekerja mengetam padi ketika itu dan suasana tersebut sungguh mengujakan. Sesiapa sahaja yang berada di situ pada masa tersebut pastinya tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar mereka yang sedang rancak menyiapkan kerja mereka.

Kaedah tanaman benih

Menurut Dominik, padi berkenaan ditanam pada Ogos tahun lalu menggunakan kaedah tanaman benih padi daripada musim sebelumnya.

“Sebelum kami mengatam padi, kami akan mengumpulkan dahulu padi-padi yang sihat dan berisi lebih kurang 10 kilogram (kg) untuk dijadikan benih bagi musim menanam selepas ini.

“Sebenarnya, benih padi ini merupakan warisan turun temurun daripada keluarga kami iaitu padi jenis Silou, yang lebih sedap dan wangi berbanding padi lain. Syukur, tanaman tahun ini memang memuaskan dan padi yang telah diproses menjadi beras ini boleh menampung keperluan harian kami sehingga dua tahun lebih,” kata bapa empat anak itu.

Sementara itu, isteri Dominik, Julianah Razan, 46, berkata, musim menuai padi merupakan masa untuk berkumpul dengan keluarga.

“Amalan berkumpul dan mintabang atau gotong royong menuai padi telah menjadi amalan kami sejak lama dahulu.

“Seperti hari ini, ibu mentua, adik beradik, ipar dan anak-anak membantu menyiapkan kerja menuai dan apabila selesai, kami akan berkumpul di rumah bagi jamuan makan tengah hari.

“Lebih meriah dan mencepatkan kerja apabila sama-sama membantu memandangkan padi perlu segera dituai bagi mengelak daripada rosak, dimakan oleh tikus, burung atau tupai,” kongsinya.

Julianah berharap kerja-kerja menanam padi di kebun akan diteruskan oleh anak-anak dan warisnya suatu hari nanti.

“Biarpun kami tidak menjual padi atau beras ini, saya berharap penanaman padi bukit akan diteruskan oleh generasi seterusnya sebagai sumber makanan mereka.

“Dengan penanaman secara berterusan, anak-anak dan waris saya nanti tidak akan putus sumber makanan walaupun mereka tidak bekerja. Selain itu, saya juga berharap agar dapat memperkenal penanaman dan proses menghasilkan beras ini kepada negara luar.

“Dengan sektor pelancongan yang pesat, kerja-kerja penanaman padi dan penghasilan beras bukit secara tradisi dapat diperkenal kepada pelancong, dengan itu secara tidak langsung petani seperti kami boleh menjana pendapatan tambahan selain dapat membawa pertanian padi bukit kepada dunia,” katanya.

Anak sulung pasangan tersebut, Olly Scully Dominik, 17, berkata, cabaran semasa mengatam padi adalah cuaca.

“Sekiranya cuaca panas, memang agak mencabar kerana kita berada di atas bukit dan bahang panas itu memang sangat terasa. Tetapi dengan gotong royong bersama keluarga, ia dapat membantu mempercepat kerja menuai padi.

“Selain itu, aktiviti gotong royong juga dapat mengeratkan kekeluargaan dan suasana bertambah meriah dengan gurau senda setiap anggota keluarga,” kata Olly. - ASMIDAR ZAINOL