Malaysia mengimport 90 peratus biji benih termasuk kesemua benih hibrid adalah diimport dari pembekal utama dari China, Thailand, Taiwan dan Jepun dengan nilai import sebanyak RM67 juta setahun.

Hal ini bermakna industri biji benih tempatan hanya mampu membekalkan 10 peratus sahaja bekalan biji benih.

Masalah tersebut tidak menjamin sekuriti sumber makanan memandangkan biji benih atau bahan tanaman memainkan peranan penting dalam kelestarian sektor pertanian.

Disebabkan itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) komited menjalankan Program Pengeluaran Biji Benih dan Penentusahan Kualiti bertujuan untuk mengeluarkan benih dan bahan tanaman asas berkualiti hasil penyelidikannya selain membangunkan inovasi serta pengetahuan berkaitan teknologi biji benih.

Program yang dijalankan bawah unit Pusat Bank Gen dan Biji Benih itu memainkan peranan utama menghasilkan bahan-bahan tanaman melalui varieti-varieti baharu dan benih asas padi yang dihasilkan oleh MARDI menerusi program penyelidikannya.

Di samping itu, bahan tanaman lain yang diperlukan oleh industri juga dihasilkan melalui teknik-teknik penghasilan bahan tanaman konvensional dan moden seperti kultur tisu serta teknik-teknik cantuman terkini dan efisyen.

Menurut Timbalan Pengarah program tersebut, Dr. Farah Farhanah Haron, pengeluaran bahan tanaman buah-buahan melibatkan proses pembiakan bagi penghasilan anak pokok yang berkualiti tinggi yang kebanyakannya menggunakan kaedah cantuman mata tunas mengikut prosedur MS ISO.

Katanya, bagi memastikan bekalan mata tunas untuk program pengeluaran bahan tanaman yang bermutu dan mampan, program tersebut membangun dan menyelenggara plot mata tunas.

“Penghasilan bahan tanaman yang berkualiti merupakan misi utama institut (MARDI).

“Proses pengeluaran bahan tanaman MARDI dipantau sepenuhnya menerusi operasi ketat dan menyeluruh melalui Proses MS ISO 9001:2015.

“Keseluruhan rantaian nilai pengeluaran benih diurus secara berkala dengan penyediaan semua aspek keperluan peralatan, jentera, staf dan premis yang ditetapkan yang mengikut kehendak piawaian ISO,” ujarnya.

Tambah Dr. Farah Farhanah, jaminan bekalan benih asas padi juga merupakan tanggungjawab yang dipikul oleh program berkenaan.

Jelasnya, dua buah stesen MARDI telah diperuntuk bagi menghasilkan benih padi asas negara iaitu di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Parit, Perak.

Setiap tahun program biji benih menghasilkan 150 metrik tan benih padi dan dibekalkan kepada pengusaha yang dipilih oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Benih asas tersebut dijadikan benih daftar oleh syarikat yang dipilih oleh kementerian bagi tujuan penghasilan benih padi sah kepada petani.

“Program ini menyediakan kemudahan saluran pasaran di stesen MARDI Kedah, Perak, Terengganu, Johor dan Selangor,” tambahnya.

Memulihara sumber genetik tanaman

Bagi memastikan kelestarian bekalan biji benih, Pusat Bank Gen dan Biji Benih MARDI turut menjalankan program Pengurusan Pemuliharaan Sumber Genetik dan Germplasma yang diberi mandat untuk mentadbir urus sumber genetik di MARDI, khususnya tanaman bawah Bank Gen Agromakanan Kebangsaan.

Program berkenaan berfungsi memulihara sumber genetik tanaman secara in situ (pemuliharaan di habitat asal) dan ex situ (pemuliharaan di lapangan iaitu germplasma dan arboratum yang dipindahkan daripada habitat asal) serta pemuliharaan ex situ di bank gen biji benih.

Menurut Timbalan Pengarahnya, Dr. Farah Farhanah Haron, aktiviti utama program juga adalah menjalankan ekspedisi pengumpulan sumber genetik tanaman di hutan bagi mendapatkan sumber baharu yang elit yang akan dipulihara di germplasma ladang dan dibangunkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk penambahbaikan varieti baharu dan berpotensi.

Katanya, MARDI melalui Pusat Bank Gen dan Biji Benih mempunyai germplasma tanaman buah-buahan tropika, herba dan tumbuhan ubatan, ubian, keladi, sayuran tradisional dan buah-buahan nadir di MARDI Serdang, Jelebu, Sintok, Jerangau, Kemaman dan Bintulu.

Ia diselia di kawasan seluas lebih 180 hektar merangkumi 143 spesies tanaman, 16,588 aksesi yang meliputi 11,564 batang pokok.

Perkhidmatan dijalankan bagi menguruskan pemindahan biji benih yang dimohon oleh penyelidik dan ahli akademik dari institusi pelbagai dalam dan luar negara melalui Perjanjian Piawai Pemindahan Bahan (SMTA) atau MTA.

Tambahnya, dua pangkalan data dibangunkan ialah Sistem Maklumat Agrobidiversiti (AgrobIS) di Serdang dan Sistem Maklumat Pengurusan Biji Benih (SMIS) di Seberang Perai yang menyimpan koleksi sumber genetik yang terdapat di MARDI.

Makmal kawal kualiti

MARDI melalui Pusat Bank Gen dan Biji Benih lebih 10 tahun telah mengeluarkan biji benih tanaman berkualiti tinggi dengan mematuhi piawaian kualiti MS ISO 9001:2015.

MARDI telah berjaya mengeluarkan pelbagai biji benih dengan variety MARDI sendiri iaitu biji benih asas padi sebanyak 150 tan metrik setahun, biji benih sayur-sayuran, benih tanaman pelbagai jenis buah-buahan seperti durian, mangga, pisang secara tisu kultur, nenas, betik dan pelbagai lagi.

Selain itu, menurut Dr. Farah Farhanah Haron, dalam menjamin bahan tanaman yang dihasilkan oleh MARDI bermutu dan terjamin dari segi kualiti ketulenan, percambahan, kelembapan, dan bebas penyakit, maka fungsi penentusahan kualiti telah diwujudkan dalam program ini.

Oleh itu, Makmal Kawalan Kualiti Biji Benih telah diwujudkan bagi melaksanakan fungsi berkenaan dengan berpandukan prosedur dari piawaian antarabangsa, Persatuan Pengujian Biji Benih Antarabangsa (ISTA) dan merupakan satu-satunya ahli kepada ISTA di Malaysia.

Kawalan mutu dan pemeriksaan ladang pengeluaran biji benih dan bahan tanaman dilaksanakan secara berjadual yang sejajar dengan misi program itu bagi memastikan jaminan kualiti adalah teras kepada penghasilan bahan tanaman MARDI.

“MARDI mempunyai makmal kawalan kualiti biji benih yang menjalankan perkhidmatan analisis biji benih yang menjalankan ujian ketulenan benih, kadar percambahan, kelembapan dan kesihatan benih bagi memastikan mutu produk biji benih MARDI adalah tinggi dan bebas penyakit sebelum dijual di BBshoppe MARDI dengan harga yang rendah.

“Ujian telah dijalankan bagi menentukan ketulenan benih melalui kaedah molekular berteknologi tinggi melalui teknik DNA fingerprinting’’, jelasnya.

Setelah itu, MyGenebank juga telah diwujudkan bagi tujuan pemuliharaan dan pengumpulan benih-benih yang berpotensi digunakan untuk tujuan pembiakbakaan varieti baharu pada masa akan datang.