Ketua kumpulan, Nor Wana Azmi berkata, mi segera yang berasaskan kulit tembikai itu bukan sahaja dapat mengurangkan sisa makanan malah mempunyai nutrisi yang berkhasiat kepada pengguna.

“Trend pengguna masa kini yang mengutamakan makanan sihat telah mencetus idea kepada kumpulan kami untuk menghasilkan mi segera yang berkhasiat.

“Sumber untuk mendapatkan kulit tembikai juga mudah kerana ia bukan jenis buah-buahan bermusim,” katanya.

Beliau berkata, mesin screw press, mesin pembuat mi dan pengering digunakan untuk penghasilan produk WaRiMee bercirikan konsep Ringkas, Hidup Sihat.

Katanya, nutrisi yang terdapat dalam kulit tembikai seperti citrulline, diet serat, vitamin A dan C dapat memperbaiki kandungan nutrien yang sedia ada pada mi segera.

“Serat penting untuk meningkatkan kesihatan, sementara citrulline pula ialah asid amino yang penting untuk kesihatan jantung serta mengekalkan sistem imunisasi,” katanya.

Kumpulan WaRiMee yang dianggotai Soo Yuen Num, Chiew Hui Lian, Siti Khadijah Khalid, Nurhayati Mokhtar, Nur Azyan Zahirah Mohd Noor, Nurul Fatin Amilia Romli, Siti Norashikin Alias dan Siti Nur Asiyah Zulkefli membawa pulang wang tunai RM400 serta hamper yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Promosi dan Pemasaran Inovasi, Putra Science Park, UPM, Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja’afar.

Pertandingan tersebut memberi peluang kepada pelajar FSTM menghayati proses membangunkan sesuatu produk baharu yang berpotensi dikomersialkan.

Sebanyak 10 produk baharu menggunakan kepelbagaian teknologi diketengahkan, antaranya cendol, beras hitam, beras merah, sagu, nasi, rumpai laut, burger, lobak dan sos percik.